|
MINDA MINGGUAN 2 JULAI USAHA MAHATHIR MENYEDIAKAN PELAPIS MUDA KERJA TANGAN Hishamuddin Hussein menampakkan hasilnya apabila sejumlah belia dan beliawanis dapat dikumpulkan sempena Hari Belia 15 Mei lalu. Saya sempat mengikuti acara sambutan itu yang disiarkan secara ulangan di TV 1 malam tadi. Apa yang dibimbangkan sangat bukanlah kehadiran belia dan beliawanis. Tidak keterlaluan rasanya jika belia dan beliawanis mahu berdampingan dengan seorang pemimpin negara. Namun seperti yang kita semua jangkakan terdapatnya unsur atau elemen yang merosakkan pendirian para belia dan beliawanis terutama apabila Mahathir mengatakan beliau kelihatan lebih muda tanpa misai dan janggut. Tidak setakat itu sahaja, malahan Mahathir mengulangi hinaannya terhadap sunnah Rasul itu!! Pemimpin Maha Boleh @ Maha Zalim itu sangat bangga apabila sekelian belia dan beliawanis meneriakkan 'Hidup Mahathir!!'. Sesiapa yang menyaksikan reaksi Maha Boleh ketika itu akan pasti dapat merasakan betapa kembangnya perasaan beliau yang suka dipuja-puja. Sekali merenung dan menganalisis agenda sambutan hari belia itu dapatlah kita nyatakan bahawa Hishamuddin memang pandai menjalankan falsafah 'ampu sana, ampu sini'. Sudah pastilah insan serba boleh seperti Hishamuddin Hussein adalah idola kepada generasi yang ingin Mahathir wujudkan, iaitu Melayu Baru!! Definisi Melayu Baru Apakah itu Melayu Baru seperti yang diwar-warkan oleh pemimpin Maha Boleh @ Maha Firaun itu? Melayu Baru ialah suatu bangsa yang bertuhankan wang ringgit. Boleh menyanggupi apa sahaja mengikut kesesuaian dan peredaran masa. Jika berhadapan dengan masjid, Melayu Baru (Melayu Baru) akan menunaikan sembahyang. Apabila berhadapan dengan disko atau kelab dangdut, Melayu Baru mampu membawakan tarian dan lenggokan mengikut irama yang dimainkan. Jika di hadapan ialah coffee-house @ yang sewaktu dengannya, Melayu Baru akan meneguk apa sahaja yang terhidang tanpa mengira hukum halal dan haram. Amalan Kehidupan Melayu Baru Jika dalam suatu majlis ada pelbagai hidangan termasuk hidangan makanan daripada babi, maka Melayu Baru hanya menjamah makanan yang lain. Melayu Baru tidak akan menjamah babi itu kerana mereka dari kecil diajar bahawa 'babi itu jijik'. Melayu Baru adalah suatu generasi pelapis yang akan menggantikan pekikan Bilal bin Rabah (Allahhuakbar) Allah Yang Maha Besar kepada Hidup Melayu atau Hidup Mahathir. Generasi Melayu Baru akan duduk berbaris taat menyambut kedatangan pemimpin Maha Boleh sambil meneriakkan 'Hidup Mahathir!'. Generasi Melayu Baru akan menghina ulama dan tuan-tuan guru. Mereka akan mengecam ulama sebagai terlalu fanatik kepada ajaran Islam dan lari dari pegangan agama sebenar. Sebaliknya generasi Melayu Baru akan terus beragama Islam. Tetapi mereka hanya sekadar sembahyang (mengikuti istilah mereka), berpuasa, berhaji, berzakat dan berkahwin mengikut selera mereka. Berpolitik sekali-kali tidak akan dikaitkan dengan generasi Melayu Baru, kerana pemimpin Maha Boleh sudah mengeluarkan fatwa politik dan agama tidak boleh disatukan. Jika hendak berpolitik, lupakan soal agama. Hidup Melayu Baru juga akan diterapkan nilai yang baik seperti menghormati pemimpin, dan orang yang lebih tua. Agenda generasi Melayu Baru ialah wang dan ringgit kerana tanpanya orang Melayu Baru akan dicop sebagai bangsa yang mundur dan ketinggalan. Justeru itu tidak hairan jika semua agenda yang dijalankan oleh kerajaan yang memerintah itu berasaskan wang. Ini adalah untuk memberikan semangat bahawa kerja keras kita selama hidup tidak bererti tanpa wang. Wang adalah segala-galanya dalam prinsip dokongan generasi Melayu Baru. Generasi Melayu Baru akan memulakan hidupnya seawal pagi yang boleh dan mengakhiri masa sepanjang hari untuk tekun bekerja mencari wang. Soal ibadat, Allah lebih mengetahui kerana kesibukan mereka bekerja yang juga satu tuntutan ibadat. Di setiap tempat kerja mesti didirikan surau untuk generasi Melayu Baru melakukan ibadat solatnya. Biar pun tempat itu kecil, terasing dan keadaannya bergelap, maka itulah surau atau tempat ibadat bagi generasi Melayu Baru. Melayu Baru juga boleh bergaul bebas sesama bukan muhrim. Bersalaman, berpegangan tangan kerana itu adalah lumrah hidup Melayu Baru. Tidak ada salahnya jika antara seorang lelaki dan perempuan itu berbuat demikian jika mereka suka sama suka. Kepada para gadis generasi Melayu Baru, mereka boleh mengikuti pertandingan ratu cantik yang mendedahkan seluruh bahagian tubuh kepada para hakim dan sebahagian tubuh yang ditutup kepada para penonton. Mereka tidak akan ditangkap kerana jika ada tangkapan yang dibuat, generasi Melayu Baru diizinkan menyaman pihak yang menangkap mereka terutama jika dari Jabatan Agama Islam. Begitu juga kepada pihak lelaki Islam Melayu baru. Tidak salah rasanya jika mereka duduk semeja dengan orang yang meminum arak, asal sahaja mereka tidak meminum arak itu. Membawa, menuang atau menyediakan peralatan meja dan kerusi bagi peminum arak tidak boleh dijadikan bukti bahawa generasi Melayu Baru itu terlibat minum arak. Jika ada tangkapan oleh Jabatan Agama Islam, mereka akan dibebaskan dan tuduhan mereka akan digugurkan. Mufti yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam dalam generasi Melayu baru akan disingkirkan dan digantikan dengan yang lain, iaitu yang mengaku bahawa tangkapannya itu satu kesalahan dan akan menghukum penguatkuasa yang berbuat demikian. Apabila generasi Melayu Baru kian dewasa, jika ditakdirkan menjadi pemimpin, mereka boleh berbuat sesuka hati. Ini adalah kerana pemimpin Melayu Baru bebas dari undang-undang. Jika semasa di sekolah generasi Melayu Baru ini boleh membakar sekolah sesuka hati, merampas, memeras ugut serta melakukan pencabulan ke atas gadis sunti, maka setelah bergelar pemimpin, ia boleh meneruskan prinsip Melayu Baru dokongannya. Carilah gadis sunti dan kerjakanlah sebolehnya. Jika ada peguam yang mahu membela nasib gadis itu, penjarakan peguambela itu. Generasi Melayu baru tidak boleh mengamalkan rasuah. Menerima pemberian RM50 atau RM100 dari pihak lain itu sama erti menggadai maruah bangsa dan pengkhianat. Tetapi memberikan projek kepada bangsa lain dan kroni, mengarahkan BPR tidak menangkap seseorang yang menerima sogokan berjumlah RM100,000 ke atas itu dibolehkan kerana mereka berkhidmat untuk bangsa. Mereka berkhidmat untuk kepentingan rakyat. Melayu Baru akan terus berbangga dengan apa sahaja kemajuan fizikal yang akan didirikan. Meskipun bangunan setinggi 60 tingkat itu kosong antara tingkat 40 - 60, tetapi bangunan itu mesti didirikan juga dengan beberapa alasan. Pertama untuk bermegah-megah, kedua untuk membuktikan Melayu Baru generasi serba boleh dan sama taraf dengan negara maju. Sebab paling penting ialah untuk mengagihkan projek kepada kroni-kroni. Begitu juga dengan jalan tol terhebat atau jambatan terpanjang. Semua dibuat adalah untuk kemegahan dan sebagai lambang kerajaan Maha Boleh Melayu Baru yang setaraf dengan negara maju. Lihatlah litar lumba Formula One kerajaan Melayu Baru. Jika digunakan sekali setahun tidak mengapa asal ianya ada untuk tempat generasi mereka yang berminat berlumba. Biarkan mereka yang tidak berumah terus menangis dalam hujan dan panas. Tidurlah bawah jambatan atau di mana sahaja asal tidak menggangu-gugat tingkat 40 - 60 Menara Berkembar puncak kemajuan Melayu Baru. Demikianlah antara episod terpenting dalam agenda Melayu Baru ciptaan pemimpin Bolehland. Soalnya jika ada orang bertanya kepada anda, apakah bangsa anda, adakah ingin sekali anda menyatakan bahawa, saya adalah bangsa 'Melayu Baru?'
Polong Cyber |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
|