|
MINDA MINGGUAN KEKEBALAN MAHATHIR AKAN REPUT SEDIKIT DEMI SEDIKIT Pertamanya kali ini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tun Teja kerana idea bernasnya dalam tulisan beliau kali ini bertajuk Meneliti riak 'Tsunami'. Hanya melalui pemerhatian yang halus kita akan disedarkan betapa liciknya permainan politik seorang diktator tua yang dikatakan nyanyok tetapi masih mampu memukau sebahagian pemikiran rakyat negara ini. Justeru kehadiran penulis seperti Tun Teja sudah bersedia mengasah belakang parang sebahagian lagi minda rakyat yang membaca tulisannya. Kebanjiran penulis-penulis baru nampaknya diperakui oleh penulis residen yang kita hormati sebagai 'pelapis' kepada suara kebangkitan rakyat. Perjuangan rakyat mesti berkesinambungan kerana sebenarnya kita sedang berjuang meruntuhkan seorang diktator yang sudah lama bertapak kukuh dan kekebalannya menyamai keutuhan sebuah gunung. Jika tidak laksana kerasnya Gunung Himalaya yang meniupkan hawa kesejukan supaya dibawa awan dan angin yang berada di bawahnya, namun bolehlah ia disamakan mungkin sekeras Gunung Tahan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Soalnya apakah keutuhan dan kepejalan batu itu hanya mampu ditewaskan oleh ledakan sebutir bom bertaraf 'atom'? Tidakkah kita pernah mengingati pepatah Melayu lama yang bermaksud kekerasan batu hanya mampu ditewaskan oleh beberapa titisan air yang menitis ke atasnya secara konsisten dan berkesinambungan? Justeru itu saya menganggap koleksi penulisan seperti Tun Teja adalah laluan kepada keruntuhan sebuah kerajaan diktator yang telah memalitkan kehitamannya pada catatan sejarah politik bangsa Melayu. Komitmen yang diberikan melalui 'kesabaran' penulis alam siber yang tidak jemu-jemu mencatat penulisan masing-masing untuk dirujuk oleh anak bangsa mulai hari bergelar semalam. Perjuangan ini nampaknya bergerak seiring dengan kepimpinan BA hari ini. MR pernah mengungkit bahawa hampir amat pasti bahawa tidak akan wujud sarjana yang mencatatkan sejarah betapa pincangnya kepimpinan Mahathir dan regim Mahathirismenya. Ianya bersamaan dengan sejarah Mustapa Kamal Ataturk yang dikenali sebagai Bapa Turki Moden. Namun saya masih ingat bahawa seorang guru sejarah pernah menjelaskannya semasa saya di darjah lima yang mengatakan bahawa pembelajaran tajuk berkenaan hanyalah satu catatan sejarah moden yang jelasnya amat bertentangan dengan kehendak dengan Islam dan perkembangannya. Penjelasan guru berkenaan tentang peradaban sejarah sebenar telah berjaya membawa kefahaman murid sekelas dengan saya bahawa jangan hanya mengenali Mustapha Kamal Ataturk sebagai seorang Bapa Turki Moden, tetapi juga hendaklah mengenalinya sebagai seorang yang mendurhakai Allah dan melakukan kezaliman dalam pemerintahannya. Melarang kaum wanita berpurdah dan menutup aurat kerana dibimbangi tidak akan moden, tidak ubah seperti mana kemahuan dan contoh tauladan Perdana Menteri hari ini dan isterinya. Jolokan Bapa Turki Moden amat membanggakan Mustapha Kamal yang juga seorang Perdana Menteri di negara ini mahukan beliau diagung-agungkan. Lihatlah betapa sudah ada suara kanak-kanak yang dirakamkan 'mahu menjadi doktor, Dr. Mahathir!!'. Serangkap ayat dalam lagu tersebut. Perlukah seseorang pemimpin itu diagung-agungkan laksana sedemikian rupa? Hanya seorang yang gilakan kuasa dan angkuh dengan kekuasaan itu mahu berbuat demikian. Peranan penulis siber kini bukan sahaja melahirkan apa yang sebenarnya berlaku hari ini sebagai pendedahan kezaliman yang dijadikan amalan dalam kehidupan kepimpinan 'gila kuasa', tetapi mereka lebih penting dari para sarjana yang enggan menulis hakikat catatan sejarah bangsa sebenarnya!! Para penulis siber lebih unggul dari seorang sarjana yang menulis sejarah melalui bait-bait fakta yang berlaku hari demi ke hari. Sesungguhnya catatan hari ini akan dirujuk kembali esok atau lusa, bulan esok atau bulan lusa, tahun esok mahu pun tahun lusa seterusnya dekad esok, serta juga dekad lusa sebagai tinta sejarah sebenarnya yang berpaksikan kebenaran serta tidak memihak kepada sesiapa secara 'membuta tuli'. Kesedaran penulis seperti Tun Teja dan yang seperjuangan dengannya amat penting menghidup serta mewarnakan situasi politik negara agar tidak tunduk akur kepada kezaliman dan ketidakadilan. Malahan pendedahan penulis-penulis siber dalam laman yang lebih popular seperti MalaysiaKini mampu mewarnakan arah politik negara agar tidak bersekongkol dengan kezaliman. Bukti yang jelas tentang itu ialah beberapa keping gambar peguam Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin yang mula tersiar dalam laman tersebut dan hampir ke semua laman pro reformasi dan keadilan di negara ini. Paling mengejutkan juga ialah kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR Datuk Shafiee Yahya yang mengaku telah diarahkan (rasuah kuasa) oleh Mahathir supaya menghentikan siasatan BPR ke atas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, JPM sewaktu itu iaitu ('Sir' sebutannya se) Tan Sri Abul Hassan Sulaiman yang kemudiannya dilantik menjadi Gabenor Bank Negara. Kita tahu bahawa duit RM100,000 yang tersimpan dalam lacinya itu tentulah bukan duit gajinya kerana gaji seorang PM pun tidak sampai setakat itu. Peranan para penulis siber kini sudah mencapai satu tahap kedewasaan dan kematangan. Tarmizi Mohd Jam (TMJ), Ali Allah Ditta, Cucu Datuk Bahaman (CDB), umpamanya sudah mampu membuat kupasan terbaik serta analisis yang perlu diberikan perhatian oleh pemimpin pembangkang hari ini. Dengan panduan yang diberikan oleh ketua penulis siber kita Marhain Tua, barisan pelapis penulis siber yang baru seperti Pena Suasa, Azhari S (melalui seloka bervisinya), Tuk Ketampi, Fathi Baihaqitullah dan lain-lain akan dipimpin oleh penulis yang sudah sedikit matang seperti Amin Sapiro, Penghulu Brutal dan lain-lainnya untuk melukiskan sejarah politik negara ke martabat yang sebenarnya agar tidak dipesongkan oleh agenda parti politik memerintah. Sebagaimana teguhnya sebuah gunung atau kepejalan batu itu pasti akan runtuh jua dengan ketekunan setitis air yang menitik di atasnya setiap detik. Begitulah laksananya sebuah regim Mahazalim, meskipun teguh kerana di kelilingi oleh jentera-jentera yang dikuasainya termasuk jabatan kerajaan yang penting seperti SPR, BPR dan sistem kehakiman negara, namun akan pasti runtuh (saya ulangi PASTI RUNTUH!!) dengan asakan berbisa penulis-penulis siber yang membawakan suara hati rakyat dan mencanai pemikiran pengundi-pengundi. Ingatlah, sesungguhnya mata pena itu lebih tajam dari mata pedang!! Polong Cyber |
Sampaikan pandangan serta informasi kepada mindarakyat@hotmail.com
TheCounter.Com |