PEGAWAI SPR DIDAKWA RASUAH!! |
|
1 April - Pegawai Pilihanraya Negeri Perak Nik Mustafa Nik Mat semalam
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh membuat lapan tuntutan palsu
berjumlah RM63,400. Nik Mustafa yang menghadapi lapan tuduhan dengan nilai tuntutan antara RM4,200 dan RM9,800 setiap satu itu didakwa mengikut Seksyen 4(c) Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan. Nik Mustafa dituduh melakukan kesalahan itu antara 15 Jun dan 15 Oktober 1995 di Jabatan Akauntan Negara, Negeri Perak apabila mengemukakan pesanan kerajaan untuk tuntutan perbelanjaan dan pembekalan barangan secara palsu. Antara tuntutan palsu yang dibuat ialah untuk tujuan mencetak dan menyalin transparensi, menyewa projektor slaid, mencetak kulit Buku Daftar Pemilih, menyewa komputer, mencetak poster dan menyelenggara komputer yang digunakan bagi tujuan menyemak daftar pemilih pilihan raya 1995. Hakim Aziz Khalidin yang mendengar kes itu menetapkan perbicaraan dari 12 hingga 14 Jun ini setelah Nik Mustafa yang diwakili peguambela M. Karuna Nanthan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Hakim turut membenarkan Nik Mustafa diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Nik Mustafa menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah. Nik Mustafa yang mula bertugas sebagai Pegawai Pilihanraya di Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak pada tahun 1994 kelihatan tenang ketika hakim membuat ketetapan tersebut. Terdahulu, Karuna Nanthan memohon agar mahkamah tidak menyimpan pasport Nik Mustafa kerana tertuduh bercadang untuk menunaikan Umrah bulan depan. Bagaimanapun, Aziz bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya Isa Hashim bahawa Nik Mustafa boleh memohon kepada mahkamah jika mempunyai sebab yang penting untuk menggunakan pasportnya. Isa dibantu oleh pegawai pendakwa dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) Azam Baki. BERNAMA |