Pilihanraya kecil DUN Sanggang: Kembalikan Demokrasi Yang
Semakin Terhakis
Para pengundi di DUN Sanggang merupakan kalangan yang bernasib baik kerana dapat
membuang undi bagi kali yang kedua. Kesempatan ini harus menjadi satu titik tolak
yang terbaik untuk membuat pilihan baru setelah ternyata pemilihan sebelum ini
berpihak kepada Barisan Nasional. Rebutlah kesempatan yang terbaik ini bagi
memberikan tamparan terhadap sikap angkuh kerajaan Barisan Nasional yang mulai
menghakis hak-hak demokrasi negara setelah memenangi pilihanraya ke 10 baru-baru
ini.
Hak-hak demokrasi dalam negara semakin terhakis apabila
pemimpin-pemimpin pembangkang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan-pertuduhan yang
direka semata-mata. Manakala permit penerbitan akhbar Harakah pula dihadkan
oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional kepada dua minggu sekali. Paling ketara
lagi ialah permit penerbitan majalah Detik ditarik balik. Ini semua berlaku akibat
keangkuhan Barisan Nasional yang telah memenangi pilihanraya ke 10 baru-baru ini.
Pertuduhan
ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pula dikurangkan kepada
pertuduhan yang lebih ringan setelah lebih dari setahun beliau mengaku bersalah
membelasah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ini jelas menunjukkan campur tangan
politik dalam sistem kehakiman negara yang agak ketara disamping penyalahgunaan
kuasa Peguam Negara. Negeri Melaka iaitu negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional
secara mutlak ternyata menjadi model terhakisnya nilai-nilai demokrasi apabila
siri-siri kezaliman ke atas rakyat diteruskan oleh Ketua Menterinya Datuk Wira Ali
Rustam dengan menyekat dan memutuskan segala hubungan kerajaan negeri dengan
doktor-doktor , peguam-peguam dan pekerja-pekerja bank yang didakwa sebagai
menyokong pembangkang.
Sikap angkuh kerajaan Barisan Nasional yang kian
hari menampakkan taringnya tidak harus dibiarkan berleluasa. Ia perlu disekat dan
dibendung. Lantaran itu , FMUKE menyeru dan merayu kepada seluruh pengundi DUN
Sanggang supaya keluar mengundi pada 1hb April nanti dan memberikan sokongan tanpa
ragu kepada calon Barisan Alternatif iaitu Dato' Hishamuddin Yahya. Kemenangan
untuk calon Barisan Alternatif ini juga pastinya akan dapat memberi pengajaran
kepada Menteri Besar Pahang, Dato Adnan Yaakob agar lebih berakhlak mulia dalam
menguruskan pentadbiran negeri.
Dalam kesempatan ini juga , kami
menyeru kepada petugas-petugas Barisan Alternatif supaya bekerja lebih keras dan
berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kemenangan. Pastikan ruang-ruang penipuan
yang bakal dilakukan oleh Barisan Nasional dapat ditangkis dengan bijak. Kami di
UK dan Eire mendoakan kejayaan buat kalian semua.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.
Zulkifli Hj.Yusoff Pengerusi, Forum Malaysia United Kingdom
dan Eire (FMUKE)
Bertarikh: 28hb.Mac 2000 |