Infomedia PAS Kawasan Ampang Jaya,
Selangor
Darul Ehsan
HENTIKAN
PENINDASAN KE ATAS
UMAT ISLAM DI
AMPANG JAYA !
SELAMATKAN
SURAU AL-IKHLAS,
PANDAN
PERDANA !
PAS Kawasan Ampang Jaya mengutuk dengan sekeras-kerasnya
arahan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) agar dirobohkan Surau Al-Ikhlas di
Rumah Pangsa Pandan Perdana 3, Jalan 9 /10C, Pandan Perdana, 55300 Kuala Lumpur. Arahan
MPAJ ini merupakan satu arahan yang tidak menghormati umat Islam bukan sahaja di Pandan
Perdana malah di seluruh Ampang Jaya dan Negeri Selangor. MPAJ langsung tidak
memperdulikan keadaan umat Islam di rumah pangsa itu yang tidak
mempunyai sebarang tempat untuk menunaikan solat berjamaah sekiranya surau itu
dirobohkan.
Kami difahamkan akibat dari kelalaian MPAJ pihak pemaju
telah tidak menyediakan sebarang surau bagi rumah pangsa itu. Oleh itu memandangkan
keperluan yang mendesak maka penduduk telah membina sebuah surau sementara. Malangnya MPAJ
bukannya bertindak untuk membantu mereka dengan mendapatkan sebuah surau yang kekal tetapi
notis supaya merobohkan surau telah diterima pada 20 Mac yang lepas.
Tindakan mengeluarkan notis ini tanpa menghiraukan
keperluan umat Islam setempat merupakan satu pencabulan ke atas hak masyarakat Islam
Pandan Perdana. Kami begitu sangsi mengapa beberapa tahun yang lepas apabila pihak MPAJ
mendapati sejumlah pub dab kafe haram beroperasi di sekitar Ampang Jaya maka tindakannya adalah dengan
memaafkan pemilik-pemilik premis tersebut dengan mengeluarkan lesen-lesen kepada mereka.
Tetapi apabila masyarakat Islam yang ingin beribadah mendirikan surau sementara yang tidak
mengacau-ganggu sesiapa maka notis untuk meroboh telah dikeluarkan. Kenapakah dengan
pemilik-pemilik premis yang boleh mewujudkan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat
dilayan dengan begitu mesra ? Tetapi kenapakah umat Islam Pandan Perdana didera sedemikian
?
Kami juga ingin tahu apa yang telah dilakukan oleh
ADUN-ADUN UMNO, terutamanya YB Mad Aris Mad Yusuf ( ADUN Pandan )
yang juga merupakan ahli majlis MPAJ sehingga boleh dikeluarkan notis tersebut ?
Dengan itu kami menuntut agar YB Mad Aris meletakkan jawatan sebagai ADUN Pandan di atas
kegagalan beliau mempertahankan hak masyarakat Islam Pandan Perdana. Kami juga menuntut
agar Yang Di Pertua MPAJ, Tuan Haji Mohammad Nik juga meletakkan jawatan di atas kegagalan
beliau untuk memahami akan sensitiviti umat Islam dan juga di atas pelbagai
keputusan-keputusan MPAJ yang jelas hanya memihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu.
Sebenarnya apa yang berlaku di Ampang Jaya ini merupakan
sikap sebenar UMNO/Barisan Nasional terhadap Islam di negara kita. Beginilah keadaannya
apabila kita diperintah oleh sebuah parti yang tidak prihatin kepada kehendak-kehendak
umat Islam.
Dengan itu kami menyeru kepada umat Islam di Ampang Jaya dan mereka yang cintakan keadilan sejagat supaya menyatakan sokongan kepada masyarakat Islam Pandan Perdana yang berhadapan dengan satu bentuk penindasan. Kami juga menggesa mereka supaya menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan oleh undang-undang untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan yang tidak berperikemanusian ini serta sikap tidak bertanggung-jawab ADUN Pandan itu.
Jangan biarkan peristiwa Masjid Babri berulang
di Ampang Jaya !
Iskandar Abdul Samad
Kawasan Ampang Jaya
19
Zulhijjah 1420/25 Mac 2000
PAS Kawasan Ampang Jaya, No. 47A, Jalan Dagang 8, Taman
Dagang Jaya, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan. Tel : 03-4516057 E-Mail :
pas_ampangjaya@hotmail.com