PILIHANRAYA KECIL SANGGANG: PENGUNDI CINA PENENTU MASA
DEPAN NEGARA
Malaysian Chinese Students Association (MACSA) yang mewakili penuntut-penuntut
Cina Malaysia di United Kingdom dan Ireland ingin mengambil kesempatan ini untuk
menyeru kepada semua pengundi-pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri Sanggang supaya
bertindak bijak dengan melakukan perubahan pada pilihanraya kecil ini dengan
memberikan undi kepada calon Pas iaitu Dato Hishamuddin Yahaya dari Barisan Alternatif.
Pendirian
dan seruan kami ini adalah bersandarkan kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku
akhir-akhir ini terutamanya pada ketika hari penamaan calon tempohari. Perbuatan dan
tingkah laku biadap yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Pahang iaitu Dato Seri
Adnan Yaakob sudah cukup untuk kita menolak kepimpinan Barisan Nasional di negeri
Pahang ini.
Aksi dan isyarat lucah itu bukan sahaja menggambarkan betapa rendahnya akhlak
dan sikap pemimpin-pemimpin UMNO bahkan mendedahkan lagi betapa rosaknya akal
fikiran mereka. Memberikan undi kepada Barisan Nasional adalah sama seperti kita
memberikan mereka kebebasan melakukan kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral yang telah
pun berleluasa di negeri Pahang ini.
Kami merasa amat bimbang perbuatan tidak
senonoh Dato Seri Adnan itu akan menjadi ikutan anak-anak muda dan generasi kita
yang akan datang. Kaum Cina amat dikenali sebagai suatu kaum yang sangat berakhlak dan
tinggi budi pekerti. Kita harus bersama-sama mempertahankan kedudukan ini
sebagaimana nenek moyang kita menjaga dan memelihara kita semua.
Kami sekali
lagi menyeru dan merayu kepada semua kaum kerabat kami pengundi-pengundi Cina di
Sanggang agar jangan menghampakan harapan kami. Masa depan kami bergantung kepada
kebijaksaan anda semua. Berikanlah undi anda kepada calon Pas dari Barisan Alternatif
demi untuk menyelamatkan masa depan generasi muda kita yang akan datang.
GAN
SIEW LIM Presiden, Malaysian Chinese Students Association (MACSA), United Kingdom
& Ireland.
|