|
SARANAN UNTUK SELAMATKAN UMno
GALAKKAN PERTANDINGAN
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah meminta anggota
Umno menggalakkan pertandingan di semua peringkat sebagai usaha untuk memperkuatkan
semula parti itu khusus dengan memberi tumpuan kepada golongan muda.
Katanya pertandingan di semua peringkat merupakan peluang untuk setiap
anggota parti itu menawarkan khidmat kepada orang Melayu melalui Umno.
"Jangan
kerana cemburu buta menguasai diri, kita menutup pintu masuk Umno semata-mata untuk
memelihara kedudukan diri sendiri," katanya .
Tengku Razaleigh yang juga
Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata Umno perlu melahirkan banyak pimimpin muda
untuk menentukan masa depan negara, bukan sahaja dalam bidang politik tetapi dalam
semua bidang kehidupan.
"Tokoh-tokoh besar Umno satu ketika dahulu
seperti Tun Razak, Tun Dr Ismail, (Tan Sri) Khir Johari, mula diberikan tempat untuk
memimpin negara sejak usia muda remaja. Maka tidak ada sebab kalau tradisi dan
kepercayaan ini tidak boleh dihidupkan kembali," katanya.
Tengku
Razaleigh mengajak anggota Umno untuk menjadikan parti itu sebagai parti golongan
muda dan dinamik, yang mampu mengumpulkan seluruh aktivis Melayu di negara ini.
"Namun
kalau Umno menolak trend seperti ini dan masih cuba menutup pintu dirinya, Umno
akhirnya menjadi seperti seekor dinasour tua -- besar, kelihatan kuat tetapi lembab
dan menunggu masa untuk pupus," katanya.
Beliau juga meminta golongan
Pemuda dan Wanita Umno untuk terus memainkan peranan besar dalam perjuangan Umno,
khususnya bagi menarik minat generasi muda dan "membina kembali pengaruh kita
yang sudah merosot".
Menyentuh keputusan pilihan raya umum lepas, Tengku
Razaleigh berkata orng Melayu sepatutnya merasa cemas kerana Umno sebagai parti
Melayu, kewibawaan Umno akan dipertikaikan jika ia tidak lagi mendapat sokongan
orang Melayu.
"Umno sebagai parti Melayu akan hilang kewibawaannya kalau
terus bergantung kepada undi bukan Melayu untuk berkuasa." katanya.
Tengku
Razaleigh juga berkata tidak mustahil Umno akan menerima nasib yang sama seperti
banyak parti besar lain di dunia kerana tidak dapat memenuhi cita rasa rakyat.
Beliau
mengambil contoh bagaimana Parti Kuomintang yang memerintah Taiwan selama 55 tahun
hilang kuasanya beberapa hari yang lepas, begitu juga dengan parti Golkar di
Indonesia, LDP di Jepun dan parti Kongres di India.
"Kini, di kalangan
negara demokrasi di rantau ini, Umno adalah parti yang tertua. Kita tidak mahu usia
Umno juga berakhir dan mengalami nasib yang sama kerana ditolak oleh rakyat.
"Kita
mesti belajar dari kesalahan orang lain supaya nasib malang yang menimpa mereka
tidak menimpa diri kita," katanya. |