PENGAKUAN WAN MOKHTAR

TAMAK KUASA PUNCA KEJATUHAN UMno

Bekas Menteri Besar Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad berkata perpecahan dalam Umno di Terengganu bermula pada pertengahan 1994 apabila wujudnya puak-puak dalam UMno untuk menjatuhkan beliau.

"Kita hanya ada satu puak sejak tahun 1974 dan keadaan itu berterusan dengan baik dan aman sehingga pertengahan 1994 apabila gerakan untuk mewujudkan satu puak lain untuk menjatuhkan menteri besar bermula".

Wan Mokhtar yang menjadi Menteri Besar selama 25 tahun sehingga kerajaan Barisan Nasional di Terengganu tumbang tahun lepas, berkata usaha itu mula menjadi kenyataan pada 1995 apabila penganjurnya mencari dan mengumpul anggota-anggota Umno yang tidak berpuashati dengan kepimpinan yang ada.

Anggota-anggota berkenaan terdiri mereka yang tidak terpilih sebagai calon dan yang tidak lagi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri, katanya.

"Golongan itu telah bergerak dan menjadi racun sehingga menggugat perpaduan yang kita pupuk sekian lama. Mereka telah berusaha dan bekerja kuat untuk menjatuhkan orang lain sehingga akhirnya seluruh kerajaan negeri jatuh dan berpindah ke tangan lawan," katanya.

Beliau berkata kekalahan BN di Terengganu pada pilihan raya lepas membolehkan UMno mengenal pasti siapa di kalangan ahlinya "kawan yang betul-betul berjuang untuk parti dan siapa pembelot di dalam parti".

Kekalahan itu juga sebagai peringatan kepada semua anggota Umno bahawa kesenangan tidak kekal selama-lamanya dan ia sepatutnya membuatkan mereka bekerja lebih keras selepas mengalami kekecewaan, kata Wan Mokhtar.

Beliau berkata pengalaman pada pilihan raya lepas juga mengajar supaya Umno tidak berbangga dengan bilangan anggota yang ramai tetapi "kualiti mereka begitu rendah".

"Sebelum ini, kita bangga dengan bilangan ahli yang ramai sedangkan ramai yang dikatakan ahli sebenarnya adalah 'ahli hantu'. Mereka tidak sedarpun yang mereka ini menjadi ahli, semuanya angkara kesilapan kita terutamanya kerana hendak berebut jawatan di cawangan dan bahagian," katanya.