KU LI DAKWA AKHBAR BERBOHONG!!

25 Mac - Ketua Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah berkata hari ini beliau hairan kenapa kenyataannya berhubung pemilihan Umno akan datang sering dikelirukan.

Beliau menyebut sebagai contoh laporan akhbar mengenai apa yang beliau perkatakan di ruang lobi Parlimen di sini semalam yang menurutnya, berbeza antara satu akhbar dengan akhbar yang lain.

Beliau dilaporkan sebagai berkata kelmarin bahawa sehingga kini beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti pada pemilihan Umno Mei depan.

"Saya masih berpegang pada itu, tidak ada apa-apa yang nak dimaklumkan dan tak ada apa-apa nak umum", kata laporan itu yang memetik kata-katanya.

Dalam kenyataannnya semalam pula, Tengku Razaleigh berkata: "Saya terkejut membaca laporan akhbar hari ini (24 Mac) mengenai apa yang saya perkatakan di ruang lobi Parlimen kelmarin".

Katanya laporan mengenai kenyataannya itu "tidak menepati apa yang saya maksudkan".

Sementara itu, pegawai khasnya Shabery Chik berkata Tengku Razaleigh tidak pernah berkata bahawa beliau tetap tidak akan menjadi calon walaupun sekiranya melepasi had pencalonan untuk bertanding sebagaimana laporan akhbar dua hari lalu .

"Laporan itu tidak benar," kata Shabery.

Tengku Razaleigh setakat ini memperolehi dua pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, satu untuk jawatan presiden dan tiga untuk naib presiden dari bahagian-bahagian Umno yang telah mengadakan mesyuarat.