KU LI ULANGI PENDIRIAN

24 Mac- Tengku Razaleigh Hamzah semalam berkata beliau tidak mempunyai sebarang rancangan untuk merebut mana-mana jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan Mei ini. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata setakat ini beliau tidak ada pengumuman baru untuk dibuat berhubung perkara itu.

"Sehingga ini saya tidak mempunyai rancangan untuk bertanding, saya masih berpegang pada itu, tidak ada apa-apa yang nak dimaklumkan dan tak ada apa-apa nak diumum."

Ini merupakan petunjuk paling jelas daripada Tengku Razaleigh setakat ini berhubung spekulasi bahawa beliau akan bertanding salah satu jawatan utama parti pada pemilihan itu.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk merebut mana-mana kerusi tertinggi Umno," katanya.

Pada 9 Mac lepas, pendirian Tengku Razaleigh terus menjadi persoalan apabila beliau mengeluarkan kenyataan dengan berkata beliau "tidak boleh lari daripada tanggungjawab" dalam Umno sekiranya ia sesuai dengan kemampuannya.

Bagaimanapun setakat ini, dengan 80 daripada 165 bahagian Umno yang bermesyuarat, 79 mencalonkan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, manakala Tengku Razaleigh hanya memperolehi satu pencalonan untuk kedua-dua jawatan itu.

Jawatan presiden memerlukan sekurang-kurangnya 50 pencalonan manakala timbalan presiden 33 pencalonan. Sebahagian besar bahagian parti yang belum bermesyuarat untuk membuat pencalonan akan berbuat demikian Ahad ini.

Tengku Razaleigh berkata, beliau akan tetap mengambil sikap berdiam diri walaupun terdapat beberapa pihak yang "melambung" namanya sebagai calon untuk menandingi pemimpin-pemimpin tertinggi negara.

"Saya macam inilah...Kalau ada orang datang bercakap dengan saya, saya bercakaplah," katanya.