PERUTUSAN AIDIL ADHA DPP PUSAT
(10 ZULHIJJAH 1420 / 16 MAC 2000)

 BERKORBAN UNTUK MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) merakam setinggi kesyukuran kehadrat Ilahi dan mengucapkan Selamat Menyambut Aidil Adha kepada seluruh umat Islam di negara ini sempena sambutan Hari Raya Qurban pada hari ini. Sambutan yang penuh kebesaran dan bermakna ini merupakan satu simbol perpaduan dan kesatuan umat Islam sejagat di dalam merangka usaha dan gerak kerja ke arah merapatkan diri kepada keredhaan Allah swt. Sambutan ini juga merupakan satu penerusan terhadap pengorbanan, komitmen dan keteguhan iman Nabi Ibrahim as. yang sewajarnya menjadi ikutan kepada keseluruhan umat Islam.

Kita semua mengetahui betapa komitmen Nabi Ibrahim as. terhadap segala perintah Allah sehingga sanggup mengorbankan kepintingan diri demi semata-mata untuk membuktikan iltizam Baginda terhadap Allah swt.  Baginda bukan sahaja berkerja keras untuk menyedarkan keluarga dan kaumnya agar beriman kepada Allah, tetapi juga sanggup untuk berhadapan dengan seorang pemimpin yang zalim, angkuh dan lupa diri sehingga sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan. Baginda berjuang untuk menyelamatkan umat manusia daripada kesesatan aqidah dan juga kezaliman pemerintah.  

Isteri Baginda, Siti Hajar rela ditinggalkan di padang pasir yang kontang kerana taat kepada arahan Allah swt. Baginda yang dikurniakan seorang anak yang soleh iaitu Nabi Ismail as. juga telah sanggup untuk mengorbankan anaknya yang tercinta semata-mata kerana taat kepada perintah Allah. Nabi Ismail pula, sebagai anak yang soleh sanggup untuk menjadi korban jika itulah perintah Allah tanpa dipersoalkan kewajarannya. Tidak satu suara pun yang mempersoal dan mempertikaikan arahan dan hukum Allah swt kerana keteguhan iman.

Komitmen inilah yang sedang DPP Pusat perjuangkan untuk seluruh pemuda Islam agar mengambil iktibar terhadap kesungguhan bapa kita, Nabi Ibrahim as. Ketika negara kita sedang dilanda kegawatan politik akibat keangkuhan, kezaliman dan kerakusan pemerintah, maka pemuda Islamlah yang mesti bangkit menuntut kebenaran ini. Tatkala Islam, hukum Allah dan para ulama’  dihina, dicerca, diperlekeh dan dipertikai, maka para pemuda Islam jugalah yang mesti mengorbankan diri untuk mengembalikan maruah Islam ke tempat asalnya.  Sebagaimana iltizamnya Nabi Ibrahim as. untuk menyedarkan keluarga dan masyarakat terhadap kebenaran Islam, maka iltizam itulah yang mesti disemat di hati dan diperjuangkan oleh para pemuda Islam.

Ketika jutaan umat Islam sedang melaungkan kalimah talbiah di tanah suci Mekah, maka kita umat Islam di negara ini juga mesti menyeru laungan yang sama iaitu laungan komitmen dan kesungguhan untuk tunduk, menyerah diri dan taat kepada Allah swt. Bukan sahaja kita perlu untuk menyokong perjuangan Islam, tetapi juga mesti mendukung perjuangan ini berdasarkan ruang dan peluang yang kita miliki. Tidak ada di antara kita yang boleh mengelakkan diri daripada mendukung perjuangan ini apatah lagi untuk menentang perjuangan suci ini. 

Bermula dengan Hari Wuquf yang menghimpunkan  jamaah haji dari seluruh dunia tanpa mengira pangkat, darjat, darah, keturunan, warna kulit dan daerah kelahiran. Mereka berkumpul atas ikatan aqidah dan menyatakan komitmen kepada Allah. Kerana itu, DPP Pusat mengajak umat Islam untuk mengambil semangat perpaduan ini agar kita semua sentiasa mempereratkan hubungan antara umat Islam sedunia atas ikatan aqidah dan sentiasa mengambil berat segala masalah semua saudara kita baik di Acheh, Patani, Mindanao, Ambon, Bosnia, Kosova, Chechnya dan seluruhnya. 

Pada 10 Zulhijjah, bermulanya Hari Nahar yang menggalakkan umat Islam untuk mengorbankan binatang ternakan sebagai bukan sahaja simbol tolong menolong antara kaya dan miskin, tetapi juga sebagai kesanggupan kita untuk mengorbankan jiwa dan harta demi untuk menegakkan hukum Allah di muka bumi. Segala kesenangan, kemewahan dan keseronokan hidup menjadi tidak bermakna sekiranya Islam gagal didaulatkan. Pada Hari Nahar juga takbir Aidil Adha bergema untuk mengingatkan kita betapa umat Islam sentiasa diserang di segenap penjuru sebagaimana serangan barisan Ahzab ke atas Nabi Muhammad saw.

Di tanah suci, pada hari Tasyriq umat Islam dengan penuh semangat merejam para syaitan dan parti syaitan sebagai tanda kebencian, penentangan dan penolakkan terhadap kezaliman, kerakusan, penindasan, tipu daya, kefasikan dan kekufuran yang ditaja oleh syaitan dan partinya.  Sebagaimana kebencian umat Islam terhadap kezaliman syaitan, maka semangat penentangan, kebencian dan penolakan ini juga mesti diterjemahkan oleh umat Islam di negara ini. Penentangan juga bukan sahaja terhadap syaitan, tetapi juga kepada seluruh agen-agen syaitan yang sentiasa mempersendakan hukum Allah, mencaci para ulama dan merendah-rendah Islam.

DPP Pusat mengajak umat Islam agar memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap perjuangan menegakkan Islam di negara ini. Hari Raya Aidil Adha bukan sahaja perlu disambut untuk menggambarkan kegembiraan umat Islam, tetapi juga untuk menterjemahkan semangat dan politik haji itu sendiri untuk mempastikan umat Islam tidak lagi menjadi umat yang ditindas, diperalat dan dipergunakan untuk kepentingan musuh-musuh Islam.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat