|
ABDULLAH BADAWI : SI BUTA YANG
BARU MENDAPAT TONGKAT ?
Saudara Abdullah,
Tigabelas tahun lalu,
saudara merupakan salah seorang manusia yang tersingkir dari arus perdana politik
Malaysia bilamana saudara menyertai Team B pimpinan Ku Li untuk menentang Mahathir.
Kekalahan Ku Li dalam Pertandingan 87 di tangan Mahathir dengan 41 undi membawa
kepada pengharaman UMNO oleh Mahathir dan saudara menjadi salah seorang yang
dihanyutkan arus bersama kapal Ku Li yang karam itu. Sikap diam dan berdiam diri
saudara rupanya membawa tuah kepada diri saudara apabila Mahathir akhirnya menerima
kembali saudara ke dalam UMNO Baru yang diciptanya selepas tragedi pengharaman
tersebut.
Saudara Abdullah,
Sikap diam dan berdiam diri saudara selama
ini memang membawa tuah kepada saudara dan ramai yang menghormati saudara atas sikap
sedemikian. Tambahan pula, sewaktu di Universiti Malaya dulu, saudara mengambil
jurusan Pengajian Islam dan sikap yang ditunjukkan oleh saudara itu memanglah
sesuatu yang dituntut. Diam kadang lebih baik dari mengucapkan sesuatu yang boleh
menyakitkan hati atau menyinggung perasaan orang lain. Dan kerana sikap diam
saudara itulah maka tuah sentiasa menyebelahi saudara sepertimana terbukti apabila
saudara dipilih oleh Mahathir sebagai TPM selepas beberapa bulan dikosongkan oleh
Anwar.
Saudara Abdullah,
Sebelum ini saya tidak pernah menulis surat
terbuka buat saudara. Sebelum pilihanraya lalu, saya ada menulis beberapa
surat terbuka kepada Mahathir, boss saudara yang berhati kering, berjiwa serigala
itu. Tetapi kali ini saya merasakan saya perlu menulis sesuatu kepada saudara ekoran
tindak tanduk saudara kebelakangan ini semakin menampakkan ketidakwarasan saudara
sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan akal. Apakah ianya bakal
menjadi bunga-bunga yang akan menelurkan sikap saudara yang dipaksakan untuk menjadi
klon Mahathir seperti yang pernah diungkapkannya dahulu ?
Saudara Abdullah,
Tindak
tanduk saudara yang saya maksudkan ialah mengenai keputusan bodoh dan pendek akal
saudara terhadap Harakah. Sebelum mengehadkan permit penerbitan Harakah daripada 8
kepada 2 kali sahaja sebulan, saudara telah mengenakan sekatan penjualan ke atas
Harakah. Itu pun masih tidak mengapa. Tetapi tidak sampai 3 bulan dari keputusan
pertama yang saudara buat, saudara menyusuli pula dengan keputusan berikutnya yang
amat melampau, yang dirasakan terlalu singkat dan saudara pula mengambil kesempatan
untuk bertindak ekoran permit Harakah yang berakhir pada 28 Februari dahulu.
Saudara
Abdullah,
Saudara marah bila orang mahu menyamakan saudara dengan Habibie,
tetapi tindakan tidak konsisten saudara dalam masa yang singkat itu menampakkan
saudara bukanlah seperti Habibie, tetapi sama seperti Gus Dur yang kurang bijak itu
juga. Kalau Gus Dur boleh menukar fikiran songsangnya beberapa kali dalam
beberapa jam, apa pula bezanya dengan saudara ? Saya merasakan saudara pun tak
kurang bodohnya dengan Gus Dur yang menjadi budak Amerika dan Yahudi itu.
Malah pada kacamata sebahagian besar rakyat di negara ini, Habibie jauh terlebih
baik daripada saudara. Habibie seorang yang berfikrian terbuka dan sedia mendengar
pandangan dan kritikan rakyat serta sanggup melebarkan ruang-ruang demokrasi dan
hak-hak asasi manusia serta kebebasan bersuara. Saudara apa ada ?
Saudara
Abdullah,
Saya ingin bertanya, apa untungnya saudara bertindak menyekat
Harakah itu? Apakah saudara mendambakan sanjungan dan pujian atau meraih sokongan
ekoran “faktor Harakah” yang menyebabkan UMNO kalah teruk dalam pilihanraya
lepas ? Atau adakah saudara ingin membuktikan kepada Mahathir bahawa saudara
adalah seorang timbalan yang taat setianya tidak berbelah bagi dan sanggup melakukan
apa sahaja demi membuktikan kesetiaan itu ? Atau juga saudara mahu mengikis
tanggapan umum akan prestasi lemah dan kewibawaan yang amat tidak meyakinkan yang
ada pada diri saudara ? Lantas dengan menunjukkan imej ‘garang’ terhadap akhbar
pembangkang itu, saudara dapat meyakinkan rakyat bahawa kewibawaan saudara tidak
kurang hebatnya jika dibandingkan dengan boss saudara ? Sudahlah saudara, kalau dah
batu sungai, digilap dengan emas berlian pun, tidakkan mungkin akan berkilat seperti
intan yang cahayanya sentiasa menyilau ! Terus terang saya katakan bahawa
prestasi saudara jika dibandingkan dengan Anwar, dalam apa jua segi dan keadaan,
ibarat batu sungai dengan intan yang saya sebutkan tadi ! Maaflah. Ini kenyataan !
Bukan bermakna saya menjadi seorang pemuja fanatik Anwar, tetapi saudara sememangnya
tiada tokoh langsung menjadi orang nombor 2 negara, apatah lagi menjadi orang nombor
satu.
Saudara Abdullah,
Dari dulu, kini dan selamanya…..saya tidak
pernah dan tidak mahu menganggap saudara sebagai "Mr Nice Guy”, meskipun
orang lain mungkin beranggapan sebegitu. Saya punya pendirian, kalau seseorang yang
lemah dan lembik seperti saudara ini mahu dipanggil ‘mr nice guy’ rasanya kurang
tepat. Nice Guy sepatutnya seorang yang punya prinsip dan pendirian yang mantap dan
jelas, bukannya sekadar menjadi pak turut atau lebih tepat dipanggil sebagai “mr
angguk” sahaja. Kalau saudara sebegitu, memang layaklah saudara menjadi klon
Mahathir kerana saudara meletakkan diri saudara sama seperti peon pejabat sahaja
kepada manusia usang yang tak pernah mahu sedar diri itu. Atau mungkin juga saudara
takut mengalami nasib seperti Anwar yang punya pendirian dan jatidiri yang teguh itu
?
Saudara Abdullah,
Ingin saya tegaskan bahawa tindakan saudara ke
atas Harakah itu bukanlah tindakan yang bijak. Bahkan suatu hari nanti saudara akan
terjerat dan terjerut dengan tindakan bebal saudara itu. Percayalah. Hari ini
saudara berada di atas. Hari lain bakal menunggu saudara berada di bawah. Bukankah
sejarah itu sentiasa memutarkan roda pusingannya? Jika saudara beranggapan tindakan
saudara ke atas Harakah itu bakal menjadi kredit kepada kewibawaan dan keunggulan
jatidiri saudara dalam menyakinkan rakyat dan ahli-ahli UMNO yang beku dan jumud
itu, ternyata saudara cetek pertimbangan dan dangkal perhitungan. Apakah saudara
berfikir PAS akan pudar serinya di mata rakyat tanpa Harakah ? Apakah saudara
beranggapan PAS akan padam di hati rakyat tanpa adanya saluran media yang boleh
disampaikan kepada rakyat ? Adakah saudara ingat rakyat sebodoh dan secetek saudara
tahap ingatan dan pemikirannya? Saudara Abdullah,
Juga ingin saya
mengingatkan, kepimpinan adalah suatu amanah dan amanah itu akan
dipertanggungjawabkan di depan Allah s.w.t. nanti. Apakah demi menambat hati seorang
manusia tua kutuk bernama Mahathir, saudara sanggup melacurkan amanah yang
dibebankan ke atas pundak saudara ? Lalu dengan kuasa yang ada pada saudara itu
saudara tergamak menghiris perasaan jutaan rakyat negara ini yang tidak sebulu
dengan parti saudara ? Bagaimana nanti saudara akan menjawab di depan Allah s.w.t.
di Padang Mahsyar akan kezaliman yang saudara telah lakukan ke atas mereka yang
kehilangan sumber pendapatan akibat tindakan bebal saudara itu ? Jangan saudara
samakan tindakan tidak memperbaharui kontrak kepada 400 kakitangan UPU UMNO
Terengganu oleh Kerajaan PAS itu sebagai suatu perbandingan. Keadaannya tidak sama
dan serupa. Tak perlu saya huraikannya di sini. Saya ingin bertanya saudara,
tidakkah saudara terfikir bahawa selama 13 tahun menjadi Menteri KDN, Mahathir
sendiri pun tidak pernah ‘mengusik’ Harakah walaupun didesak berpuluh-puluh kali
oleh si dungu dan si bebal dalam Perhimpunan Agung UMNO saban tahun. Hatta ketika
kekalahan BN di tangan PAS di Kelantan pada tahun 1990 dahulu pun, Mahathir tidak
pernah menyalahkan Harakah sebagai punca kejatuhan BN itu. Itu menunjukkan yang
Mahathir lebih cerdik dan bijak dalam menguasai suasana berbanding dengan saudara
yang lembab dan bengap ini.
Saudara Abdullah,
Mungkin saudara
beranggapan bahasa saya agak kasar dan kurang sopan, tetapi saudara patut sedar
bahawa kadang-kadang hempedu dan jadam yang pahit itu akan menjadi penawar jika kita
pandai mengadunnya sesuai dengan penyakit yang kita hidapi. Racun pun kadang boleh
menjadi penawar kalau kita bijak mencari kaedahnya yang sesuai. Kalau saudara tidak
sanggup menerima kepedihan dicerca oleh rakyat, saudara kena banyak belajar menjadi
seorang TPM yang matang dan bijaksana dalam tindak tanduk dan keputusan. Jika tindak
tanduk dan keputusan atau cakap-cakap saudara serupa sahaja dengan pegawai pejabat,
rasanya apa lebihya saudara jika dibandingkan dengan seorang PTD cabuk, yang saudara
pernah jawat dahulu ? Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat dan berwibawa serta
dihormati kawan dan lawan, saudara perlu menjadi seorang yang bijaksana dalam serba
serbi keadaan dan masa. Memang kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang
menurut keinginan mereka, tetapi kita boleh mengambil jalan tengah yang tidak
mengecewakan banyak orang, barulah kita akan dihormati.
Saudara Abdullah,
Saya
berharap saudara tidak akan menjadi seorang lagi mangsa kelicikan permainan politik
Mahathir si tua kutuk itu. Janganlah dek kerana pangkat dan kedudukan, saudara jadi
buta dan gelap mata dari mengambil iktibar terhadap apa yang telah terjadi ke atas
Anwar, Tun Ghafar dan Musa Hitam dahulu. Manusia Mahathir itu, kalau saudara nak
tahu, ibarat seekor anjing yang tersepit ekornya. Masa tersepit itu dia akan
terpekik terlolong meminta tolong, tetapi apabila dilepaskan kita akan digigitnya
balik. Saudara dipungutnya dulu kerana mahu ‘menyelamatkan’ dirinya yang hampir
lemas dilambung gelombang reformasi rakyat yang mendesak beliau meletak jawatan.
Ghafar Baba dulupun dikutipnya semula demi untuk memulihkan imejnya yang rosak teruk
akibat pengharaman UMNO dan perbalahannya dengan Musa Hitam itu. Kini, beliau sudah
merasa selesa dan selamat, terutama selepas berjaya mengharungi saat-saat cemas
pilihanraya baru-baru ini, maka bolehlah dianggap yang Mahathir telah lulus ujian
terakhirnya itu. Percayalah saudara, saudara nanti akan diperlakukan seperti seekor
anjing kurap bilamana saudara sudah tidak diperlukannya lagi. Saudara adalah sampah
apabila beliau merasakan yang saudara sudah menjadi liabiliti kepada kerakusan ego
gila dan sialnya itu.
Saudara Abdullah,
Maka itu, tindakan saudara
menyekat Harakah itu bakal mengundang kebencian dan kutukan rakyat terhadap diri
saudara. Hari ini saudara di atas, mungkin saudara belum merasa betapa perlunya
sokongan dan perlindungan rakyat terhadap diri saudara. Tetapi akan tiba bila hari
saudara sudah jatuh, kalau rakyat sudah membenci dan mendendami saudara, maka ke
mana diri mahu dibawa ? Ketika di puncak kuasa, saudara mengundang rasa
permusuhan dan kebencian di hati rakyat dengan mengambil tindakan yang menghiris
perasaan mereka, maka jika saudara sudah tidak lagi berada di puncak kuasa, ke mana
saudara mahu menagih simpati ? Jangan saudara ingat dan fikir yang Harakah itu cuma
dibaca oleh ahli-ahli PAS sahaja. Rakyat yang bukan ahli PAS dan bukan ahli
mana-mana parti pun menggemarinya. Saudara jangan pula bertindak seperti seolah-olah
mahu mengajak rakyat menjadi jumud dan bengap seperti saudara juga, dengan cuma
membenarkan bahan bacaan yang menyokong sebelah pihak sahaja. Bukankah Allah s.w.t.
menjadikan akal kita untuk menilai sesuatu dan tidak menerima bulat-bulat sahaja
seperti tunggul dan batu ? Untuk apa saudara takut dengan pengaruh Harakah jika
saudara yakin kerajaan saudara berada di pihak yang benar ? Bukankah kebenaran itu
akhirnya akan melenyapkan kepalsuan. Lagi pun, kerajaan saudara punyai seribu peluru
penangkis dan senjata–senjata yang ampuh untuk menyerang balas Harakah, seperti
UM, BH, NST, SUN, STAR, TV3 dan NTV7. Jadi, kenapa saudara harus takut dengan
bayang-bayang yang dicipta sendiri ?
Saudara Abdullah,
Tigabelas tahun
lampau, saudara pernah tersingkir dan ketika itu saudara teraba-raba dalam kegelapan
akan masa depan politik saudara. Namun, tuah akhirnya menyebelahi saudara apabila
Mahathir mengutip saudara untuk menjadi TPMnya (TPM=timbalan pak mengangguk ?? )
setelah nasib malang menimpa Anwar yang ‘terkorban’ kerana mempertahankan sebuah
prinsip dan jatidirinya. Jika sewaktu tersingkir dahulu, saudara ibarat si buta yang
tidak bertongkat, kemudian dipapah berjalan masuk kembali ke dalam lorong-lorong
gelap UMNO, sebelum akhirnya saudara menemui sebatang tongkat yang bernama “TPM”
itu. Dan dengan tongkat kuasa itulah saudara yang pernah ‘buta’ dahulu mahu
membuktikan kekuasaan saudara. Apa yang saudara lakukan terhadap Harakah itu tidak
lebih dari kemaruk seorang buta yang baru mendapat sebatang tongkat, lalu diredah
dan dirempuh apa sahaja demi mahu membuktikan yang dirinya sudah nampak jalan di
depan !
Saudara Abdullah,
Saya bimbang tindak tanduk saudara yang
kurang cerdik sebegitu bakal mengundang seribu penyesalan. Dan saudara akan merasai
penyesalan itu dan pedihnya sekeping hati bilamana nanti saudara sudah tersepit di
suatu ketika dan keadaan yang saudara sendiri tidak dapat jangkakan datangnya.
Ketika di puncak kuasa seperti sekarang, saudara tidak mungkin akan merasa keperluan
itu, tetapi bilamana sudah hampir lemas di lambung fitnah, barulah saudara menyesali
betapa berharganya akhbar seperti Harakah itu. Janganlah menjadi seorang pandir yang
sanggup menggadaikan harga diri semata-mata mahu menjaga hati seorang manusia yang
belum tentu diyakini selamanya akan menyukai atau mempercayai saudara. Sebelum lena
menggamit mimpi, sebelum dengkur membelai nyenyak, saudara berfikirlah
semula akan tindakan kurang bijak saudara terhadap Harakah itu. Masanya masih belum
terlambat untuk memperbetulkan kesilapan saudara itu. Kelak nanti tidur saudara
bakal mengundang mimpi indah, bilamana rakyat seluruhnya menghormati saudara sebagai
seorang pemimpin yang matang dan bijaksana. Usahlah api kebencian yang tertanam di
jiwa rakyat terhadap boss saudara itu menyelinap bagai bara di dalam sekam terhadap
saudara pula. Belajarlah dari kesilapan kerana sesungguhnya kesilapan yang mahu
diambil iktibar itu adalah sebaik-baik guru yang membimbing !
Cucu Datuk
Bahaman |