PAS Mahu Heret Ke mahkamahPermintaan bahas isu di Parlimen ditolakKUALA LUMPUR -- Parti pembangkang terbesar di Malaysia berkata semalam ia akan mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung sekatan yang dikenakan terhadap akhbar terbitannya dan menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai "titik hitam" bagi demokrasi. Harakah, akhbar terbitan Parti Islam (PAS), muncul semalam buat pertama kalinya setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) membaharui lesen penerbitan akhbar itu dengan membataskannya kepada dua keluaran dalam sebulan. Sebelum ini akhbar itu dibenarkan terbit dua kali seminggu. Pelesenan semua akhbar tertakluk di bawah Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar. Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor, meminta supaya Parlimen membahaskan isu Harakah itu yang disifatkannya sebagai "satu tindakan terhadap kebebasan hak asasi" kebebasan bersuara dan satu titik hitam dalam amalan demokrasi di Malaysia. Beliau berkata batasan itu telah melanggar ketetapan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggambarkan "satu penindasan terhadap hak asasi". Bagaimanapun, speaker Parlimen menolak usul perbahasan itu dengan mengatakan "perbahasan mengenainya bukan suatu perkara penting". Datuk Fadzil memberitahu satu sidang akhbar kemudian bahawa PAS akan menimbangkan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap KDN atas alasan tindakan kementerian itu telah melanggar hak yang terkandung dalam perlembagaan. "Mengenai tindakan undang-undang itu, PAS akan cuba melaksanakannya secepat mungkin," kata Datuk Fadzil. Beliau juga berkata para pemimpin PAS akan mengadakan perhimpunan umum di seluruh negara untuk "menjelaskan tentang tindakan kerajaan yang tidak wajar itu". Kumpulan media antarabangsa dan juga badan-badan hak asasi setempat turut membidas langkah mengenakan sekatan terhadap Harakah itu yang menurut kerajaan bukan bertujuan politik tetapi satu usaha "penyeragaman" penerbitan akhbar-akhbar parti politik. -- AP. |