|
NASIHAT MT TERABAI?
11 Mac -
Nasihat Majlis Tertinggi Umno agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak
dipertandingkan nampaknya diketepikan oleh Umno Tanah Merah apabila bahagian itu
mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk
kedua-dua jawatan tertinggi itu pada pemilihan parti Mei ini.
Bernama melaporkan, walaupun menyedari Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
mendapat pencalonan padu daripada 17 bahagian Umno yang sudah mengadakan persidangan
perwakilan mereka sebelum ini, namun Umno bahagian Tanah Merah tetap mengambil jalan
menentang arus itu atas alasan tertentu.
Pencalonan Tengku Razaleigh dicadangkan
oleh ketua Umno bahagian itu, Datuk Hashim Safin dan disokong oleh majoriti 370 perwakilan
yang hadir menerusi undian angkat tangan.
Tengku Razaleigh memperolehi undi
terbanyak bagi pada undian pertama dan kedua. Hashim menjelaskan kemudian bahawa keputusan
Umno bahagian itu dibuat berdasarkan kenyataan Tengku Razaleigh yang sebelum ini
membayangkan kesediaannya untuk bertanding mana-mana jawatan jika ada pihak bawahan
mencalonkannya.
Tengku Razaleigh sebelum ini mendapat satu pencalonan bagi jawatan
naib presiden daripada Umno bahagian Gerik yang mengadakan persidanganperwakilannya pada 5
Mac lepas.
Untuk bertanding jawatan presiden, Tengku Razaleigh memerlukan sokongan
30 peratus atau 50 daripada 165 bahagian Umno. Bagi jawatan timbalan presiden, beliau
memerlukan sokongan 25 peratus daripada keseluruhan bahagian itu.
Kesemua 165
bahagian Umno dikehendaki menyelesaikan persidangan perwakilan mereka sebelum 31 Mac ini.
MT pada mesyuaratnya 3 Januari lepas telah menasihatkan anggota parti agar jawatan
presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi menjamin perpaduan parti.
Ia
juga mencadangkan agar Dr Mahathir kekal di jawatan Presiden dan Abdullah mengambil alih
jawatan kedua tertinggi parti itu. Sebanyak 17 bahagian yang telah mencalonkan Dr Mahathir
dan Abdullah bagi jawatan-jawatan itu ialah Ledang, Senai, Tenggera, Sungai Benut dan
Segamat (Johor), Tawau, Papar, Penampang, Sipatang dan Bandau (Sabah), Batu Gajah dan
Gerik (Perak), Jelutong dan Tasik Gelugor (Pulau Pinang), Batu Berendam di Melaka, Cheras
di Wilayah Persekutuan dan Sik di Kedah.
Bagi jawatan naib pesiden, sembilan nama
dicalonkan setakat ini iaitu penyandang Datuk Seri Najib Razak (17 pencalonan), Datuk
Abdul Ghani Othman (13), Datuk Osu Sukam (7), Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad (4), Datuk
Seri Abu Hassan Omar (5), Datuk Seri Syed Hamid Albar (3), Datuk Dr Rais Yatim (2), Tengku
Razaleigh Hamzah (1) dan penyandang Tan Sri Muhammad Haji Muhamad Taib (1).
Yang
belum mendapat pencalonan setakat ini walaupun sudah memberi persetujuan bertanding
jawatan itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Calon yang layak bertanding jawatan naib presiden perlu
memperolehi 20 peratus sokongan daripada 165 bahagian parti. Bagi pertandingan jawatan
ketua Pergerakan Wanita Umno, persaingan hebat ialah antara Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz yang mendapat 22 pencalonan setakat ini
sementara ketua pergerakan, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman mendapat 13 pencalonan.
Bagi
jawatan naib ketua, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahrizat Abdul
Jalil terus mendahului dengan 22 pencalonan diikuti ketua wanita Perak Ainon Khariyah Mohd
Abas (10) dan penyandang Datuk Napsiah Omar (3).
Bagi jawatan Ketua Pergerakan
Pemuda Umno, pemangku ketua, Datuk Hishammuddin Hussein terus memperolehi sokongan padu
daripada 41 pergerakan pemuda bahagian yang sudah mengadakan mesyuarat perwakilan
masing-masing.
Bagi jawatan naib ketua, anggota Exco, Datuk Abdul Aziz Sheikh
Fadzir memperolehi 36 pencalonan sementara pencabar-pencabarnya, Zein Isma Ismail (4) dan
Mustapha Khalid (1).
PENCALONAN JAWATAN TERTINGGI UMNO ---------------------------------
Jumlah
bahagian 165 Jumlah Pencalonan pada 10 Mac
PRESIDEN: --------
1. Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad - 17 2. Tengku Razaleigh Hamzah - 1
TIMBALAN PRESIDEN: -----------------
1.
Datuk Seri Abdullah Badawi - 17 2. Tengku Razaleigh Hamzah - 1
NAIB PRESIDEN: -------------
1.
Datuk Seri Najib Tun Razak - 17 2. Datuk Abdul Ghani Othman - 13 3. Datuk Osu Sukam -
7 4. Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad - 4 5. Datuk Seri Abu Hassan Omar - 5 6.
Datuk Seri Syed Hamid Albar - 3 7. Datuk Dr Rais Yatim - 2 8. Tengku Razaleigh
Hamzah - 1 9. Tan Sri Muhammad Haji Muhamad Taib - 1
Ketua Pemuda: ------------ 1.
Datuk Hishammuddin Hussein - 41
Naib Ketua Pemuda: -----------------
1.
Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir - 36 2. Zein Isma Ismail - 4 3. Mustapha Khalid - 1
Ketua
Wanita: -------------
1. Datuk Seri Rafidah Aziz - 22 2. Datuk Dr Siti
Zaharah - 13
Naib Ketua Wanita -----------------
1. Datuk Shahrizat Abdul
jalil - 22 2. Ainon Khariyah Mohd Abas - 10 3. Datuk Napsiah Omar - 3
|