APABILA MAHATHIR TERUS TERSALAH JANGKA

Ramai yang tidak puas hati dengan kandungan buku saya sebelum ini, Anwar – Skandal Seks atau Konspirasi Politik. Lebih ramai yang kebingungan: siapa pula yang saya sokong, Anwar atau Mahathir? Kalau saya kata saya tidak sokong kedua-duanya, penyokong Anwar akan mentafsirkan bahawa saya berada di sebelah Mahathir. Bagi mereka, buku saya itu tidak dapat meredakan rasa ingin tahu mereka, sebaliknya menambah bingung lagi.

"Sekarang bukan masanya kita nak menghakimi apa yang dibuat Anwar dalam Umno dahulu. Anwar bukan lagi ahli Umno," kata seorang pernbaca yang menulis catatan ringkasnya kepada saya.

"Sama ada Anwar pernah menjadi pengkhianat gerakan Islam, menyuburkan budaya politik wang dalam Umno, turut terbabit dalam gejala nepotisme, kronisme dan korupsi, atau mungkin terseret dalam kegiatan mungkar, ia tidak relevan lagi." Tidak kurang yang marah-marah menelefon, tanpa memberi peluang saya membela diri.

"Kalau nak rnenyokong Mahathir, tak payahlah tulis buku politik. Lebih baik saya baca suratkhabar Umno." Mulanya saya agak tergamam. Rupanya semua pihak emosional. Reaksi mereka terhadap tindakan Mahathir begitu keras, sekeras langkah Mahathir memecat Anwar. Saya cuba memahami fenomena ini. Tersalahkah saya mentafsirkan apa yang berlaku? "Takkan saya tergamak menyokong Mahathir, yang rekodnya terhadap keadilan sudah diketahui umum," reaksi spontan saya terhadap pemanggil tadi.

"Tapi, apa salahnya kalau kita tunggu perbicaraan di mahkamah. Anwar boleh dan berhak mempertahankan maruahnya, dengan kehebatan para peguamnya." Rupanya penjelasan saya itu lebih menambahkan marah pemanggil. "Apa saudara masih percaya dengan mahkamah, kebebasan kehakiman, Peguam Negara? Mahathir cukup berkuasa sekarang, segala-galanya di bawah kawalan. Begitu juga dengan polis, apa lagi media. Semuanya bersekongkol, di bawah konspirasi pihak tertinggi untuk memusnahkan kerjaya politik Anwar." "Bagaimana kalau mahkamah membebaskan Anwar?" saya cuba memancingnya.

"Masakan begitu. Mahathir sudah yakin Anwar bersalah. Ditambah lagi dengan kenyataan Haniff Omar." Ini mengingatkan saya kenyataan seorang pensyarah undang-undang UIA kepada seorang teman, yang juga editor sebuah tabloid politik:

"Rasanya agak ganjil apabila dengan tiba-tiba kerajaan berperi-peri mempertahankan kehakiman. Dalam teori perasingan kuasa, badan perundangan, eksekutif dan kehakiman adalah cabang-cabang yang berlainan." "Dari segi rekod," tambahnya lagi, "Mahathir bukanlah pencinta kebebasan kehakiman. Malahan dalam tahun 1988 ketika membentangkan pindaan Perlembaga-zz yang memadamkan perkataan kuasa kehakiman dalam Perlembagaan, Mahathir mengkritik konsep itu." Saya sendiri bersama seorang peguam telah menyiapkan buku khusus terhadap tragedi kehakiman tanahair, 1988, Islam, Kehakiman dan Kediktatoran – Kes Tun Salleh Abas.

Manakala perjalanan kes yang membabitkan gadis bawah umur yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pemuda Umno, Abdul Rahim Tamby Chik, turut mencalarkan lagi imej Mahathir yang sedia buruk. Belasan lelaki yang dituduh merogol anak gadis itu didapati bersalah tetapi tidak dihukum penjara mandatori. Begitu juga dengan pengakuan bersalah adik angkat Anwar, Sukma dan bekas penulis ucapannya, Dr Munawar. Pelbagai misteri dan kekalutan ditemui dalam kes ini, yang menyebabkan keyakinan umum terhadap institusi keadilan kian terhakis.

"Dendam Lutfi terhadap Anwar, jika dinilai buku terbarunya ini, sukar dipadamkan," kata seorang wartawan veteran wanita. "Saya tidak pernah tertinggal membaca bukunya, kritikannya terhadap Anwar lain macam saja." Melalui internet, saya menjadi sasaran kritikan, khususnya apabila seluruh kandungan buku saya itu disiarkan, entah oleh siapa. Prof. Jomo menunjukkan kepada saya, satu di antara sekian banyak kritikan itu.

Saya turut dituduh cuba mengaut keuntungan dengan mendedahkan aib orang. "Tulis-tulis tu ingat sikit dosa pahala, akhirat dan neraka. Jangan main bantai saja. Rezeki yang awak dapat tu belum tentu halal, boleh dijadikan bahan bakar di hari kiamat nanti."

Meskipun agak terkejut dengan reaksi itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi mengingatkan. Bukankah kita insan yang mudah alpa ini perlu diperingatkan selalu? Apakan tidak? Mahathir pun saya hentam, Anwar pun saya kritik. Bagi kebanyakan pembaca, cukuplah kritik sikit-sikit Anwar, bukankah Anwar sudah jatuh, bukan lagi pemimpin kerajaan, juga pemimpin Umno, malah bukan lagi ahli Umno pun. Anwar kini berada bersama pembangkang, bersama PAS, DAP, PRM dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Malah seorang ahli akademik terkemuka mencadangkan agar Anwar saja dilantik menjadi ketua kepada apa-apa pertubuhan atau gabungan pakatan organisasi bagi menumbangkan Mahathir. PAS mahupun DAP, katanya, mempunyai kelemahan tradisi untuk memimpin gerakan menyingkirkan Mahathir. "Sokongan yang diterima Anwar hebat tetapi organisasi yang mendokongnya lemah sekali." "Pilihan raya akan datang adalah kesempatan terbaik, malah lebih cerah berbanding 1990 bilamana Ku Li mengetuai pembangkang, bagi sekurang-kurangnya menafikan majoriti dua pertiga BN," tambahnya. "Tidak mustahil Pulau Pinang, Terengganu dan Perlis milik pembangkang. Kedah, negeri Perdana Menteri, juga boleh tersungkur." Salah tanggapan terhadap tulisan-tulisan saya mengenai Anwar kadang kalanya merunsingkan juga.

Masakan tidak, saya dilabelkan sebagai penyokong Mahathir, sesuatu yang tidak pernah saya impikan! Hanya kerana memberikan beberapa perspektif yang berbeza dan cuba melihat kewajaran tindakan Mahathir, bertalu-talu kecaman dan cemuhan yang dilemparkan. Apakah fenomena ini kerana mereka sayangkan Anwar ataupun sentimen anti-Mahathir sudah cukup menebal di hati rakyat.

"Anwar sepatutnya isytihar menentang Mahathir awal-awal lagi," kata seorang aktivis Pemuda. "Kecenderungan ahli-ahli Umno sendiri mahukan perubahan kepemimpinan peringkat tertinggi. Tanpa bahang reformasi dari Indonesia, Mahathir wajar berundur. Mahathir adalah khazanah masa lalu. Anwar adalah potensi masa kini dan masa depan."

"Lutfi, you terpinggir sekarang. Mood rakyat bersama Anwar. Mereka tidak boleh menerima kezaliman Mahathir terhadap Anwar. You tidak boleh sekat kemarahan rakyat ini. Mereka mahu keadilan sejati," tegur seorang teman berulang kali. "Rakyat sudah tidak percayakan polis, tidak percayakan Peguam Negara, tidak percayakan hakim dan mahkamah, tidak percayakan media pro-Umno. Lebih jauh dari itu, mereka sudah tidak percayakan Umno lagi. Umno sudah tidak lagi relevan lagi dengan perjuangan generasi muda." Saya berhasrat untuk menyanggah kenyataan yang akhir ini, bukan kerana mahu mempertahankan Umno tetapi meminta teman saya itu membutirkan lagi fakta yang menyokongnya. Saya tidak mudah percaya bahawa keyakinan rakyat terhadap Umno sudah cukup longgar. Cukuplah kita tertipu dengan keyakinan yang dibuat-buat menjelang setiap kali pilihan raya sedangkan Umno terus mendapat sokongan popular rakyat.

Apabila kolum tetap saya di Harakah, "Cetusan Minda", terhenti, semakin ramai pembaca yang tertanya-tanya, apa sudah jadi? Apakah saya juga sudah digam kerana mempunyai aliran atau sudut pandangan yang berbeza dengan Harakah, lidah rasmi PAS? Menjadi bertambah pelik apabila Catatan Hujung saya dalam Tamadun juga turut ghaib. Gambar Anwar melayan seorang kanak-kanak, penuh warna-warni menjadi ganti. Majalah Tamadun keluaran khas Anwar lbrahim itu mencipta rekod, hampir 150,000 naskhah terjual.

Jika benar kesedaran berpolitik rakyat, khususnya mereka yang sebelum ini langsung tidak berminat dengan pergolakan politik tanahair, saya adalah antara orang yang paling awal mengucapkan syukur. Bukankah selama ini kita cukup kecewa dengan kematangan berpolitik orang-orang Melayu? Apa pun yang berlaku, asalkan jangan menimpa batang hidung sendiri, anak isteri tidak dilarikan orang, kampung halaman tidak diceroboh, semuanya dibiarkan. Paling hebat pun, menggeleng kepala tanda tidak setuju. Lain-lain hal, tanggung sendirilah. Itulah yang berlaku dalam kes-kes rampasan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah, seperti di Pantai Tanah Merah dan Pantai Kundur, Melaka, juga Kerpan, Kedah.

Sekiranya isu pemecatan Anwar dari segala jawatan dalam kerajaan dan Umno boleh membangkitkan semula sensitiviti rakyat terhadap perkembangan semasa di sekitar mereka, sememangnya kita patut sujud syukur. Sudah begitu lama orang Melayu merintih sendirian, yang terdaya hanya tumbuk dinding melepaskan kemarahan – sedangkan yang sakit tangan sendiri juga – tanpa keberanian meluahkan apa yang terbuku di dada melalui saluran berkesan. Tunjuk perasaan setiap hujung minggu Jalan Tunku Abdul Rahman dan perhimpunan di depan Istana Negara oleh penyokong reformasi Anwar dan penentang Mahathir merupakan sinaran cahaya buat keadilan dan demokrasi. Siapa sangka bantahan ini dapat diteruskan walaupun Anwar masih dikurung di penjara dan ISA diperalatkan sewenang-wenangnya.

Meskipun diberikan amaran keras oleh pihak polis, diugut dan dipukul, disembur gas pemedih mata dan air gatal, namun perhimpunan petang Sabtu sentiasa mendapat sambutan hangat. Penyokong reformasi – kalau itu gelaran yang boleh disebut – memeriahkan suasana dengan wajah ceria dan girang bagaikan menghadiri satu pesta.

"Anwar mengajar erti sensitiviti dan keprihatinan," kata seorang pemimpin gerakan pelajar. "Wargakota yang selama ini buta tentang politik dan perkembangan semasa tiba-tiba menjadi peka dengan tuntutan lingkungan. Anak-anak muda sudah muak dan menyampah dengan kebobrokan yang memualkan ini. Mahathir tiada pilihan lagi, dia wajar berundur. Kita tidak kekeringan tenaga muda yang bakal memimpin negara." Dikejar dari belakang, muncul pula dari depan. Dikepung sebelah kiri, penuh sebelah kanan. Ditutup jalan utama, bertempiaran di lorong-lorong. Berarak dari depan Sogo dan Globe, berlari ke Dataran Merdeka. Diserbu di depan mahkamah, berkejaran ke Masjid Negara. Tidak berhenti setakat itu, bersesak pula di depan Istana Negara, mahu menghantar memo buat Yang di-Pertuan Agong. Yang peliknya, semuanya dibuat dalam suasana kegirangan.

"Saya memang penyokong kuat Anwar," kata seorang pemimpin Umno peringkat bahagian di Kelantan, "tetapi saya tidak minta Anwar dikembalikan jawatannya. Yang penting, bukan Mahathir lagi yang pimpin negara ini. Siapa saja, asalkan yang lain, dan berwibawa. Misalnya, Pak Lah atau boleh saja, Ku Li." Agak ramai juga yang mempertikai cara atau kaedah Mahathir mengendalikan isu ini.

"Anwar juga seperti orang lain, mungkin berbuat salah, tetapi mengapa perlu dihukum seaib dan sehina itu? Bersih sangatkah pemimpin Umno lain yang menjadi pak angguk Mahathir, misalnya, Sabaruddin Chik, Mohamad Rahmat, Annuar Musa, Sanusi Junid, Daim Zainuddin, dan juga Umno veteran yang sibuk berceramah memburukkan Anwar, khususnya Ghafar Baba dan Rahim Tamby Chik." Kalau betul Mahathir ada bukti kukuh, kata mereka, mengapa PM tidak boleh berbincang dari hati ke hati dengan Anwar. Selesaikan secara kekeluargaan, bagaikan anak dan bapa. Ini tidak, selepas ia disebarkan ke seluruh ceruk penjuru tanahair, barulah Anwar diberi pilihan, sama ada meletakkan jawatan ataupun dipecat dan menghadapi risiko berikutnya. Di waktu itu sebenamya Anwar tidak mempunyai pilihan lagi. Jika Anwar menurut kehendak Mahathir, maka sahlah tohmahan sebelum itu bahawa dia mempunyai rekod jenayah seks yang begitu buruk.

Dengan mengeluarkan afidavit Nallakarupan, Mahathir mungkin menjangkakan Anwar akan terdiam, rupa-nya tidak. Mahathir tersalah jangka. Dia tentunya tidak mengandaikan bahawa bantahan terhadapnya begitu meluas sekali sehingga boleh menyebabkan Umno kehilangan kuasa. Sokongan terhadap Anwar bukannya sokongan yang dibeli. Ia datang spontan, lahir daripada jiwa yang selama ini tertekan dengan pemerintahan seorang yang maha tahu, yang mahu mengawal segala-galanya. Maka, tidak mustahil, Mahathir akan terus tersalah sangka apabila beliau mengadakan pilihan raya nanti. Kali ini, mungkin benar-benar menjadi kenyataan, bahawa kecenderungan pengundi sudah berubah. Mereka memang mahukan reformasi, bukan terikut-ikut dengan bahang di Indonesia.

Akhirnya, buat pembaca yang masih tidak puas hati dengan sudut pandangan saya, tunggulah buku kecil saya khusus tentang hal ini, terutama buat peminat yang menunggu "Cetusan Minda" di Harakah. Terima kasih atas segala sokongan dan kritikan anda selama ini.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Jalan Pahang Barat Kuala Lumpur.