|
JABATAN PEGUAM NEGARA PUTUSKAN RAFIDAH TAK BERSALAH?
BERNAMA melaporkan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan tidak akan mendakwa Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz berhubung isu pemberian
saham kepada menantunya kerana tidak ada bukti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Pandikar Amin Mulia berkata pihak Jabatan
Peguam Negara berpuashati dengan hasil siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bahawa tidak
ada bukti dan keterangan yang jelas dan mencukupi bagi membolehkan Rafidah didakwa atas
apa-apa tuduhan.
"Pendakwaan hanya akan dibuat sekiranya mereka (Jabatan
Peguam Negara) berpuas hati bahawa terdapat bukti dan keterangan yang mencukupi dan
bukannya berasaskan fitnah atau cerita di kedai kopi," katanya ketika menggulung
perbahasan Belanjawan 2000 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya
dakwaan pembangkang bahawa BPR dikawal oleh kerajaan terutamanya dalam isu rasuah adalah
tidak berasas kerana BPR merupakan badan bebas yang akan menyiasat sesiapa sahaja mengikut
undang-undang dan peraturan seperti yang termaktub dalam Seksyen 8 Akta Pencegahan Rasuah
1997.
Mengikut seksyen itu: "Maka adalah menjadi kewajipan Ketua Pengarah dan
pegawai-pegawai badan untuk menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan dan
kesalahan di bawah akta ini dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan
patut oleh mereka."
Pandikar Amin berkata BPR telah menjalankan siasatan
mereka dengan sebaiknya tetapi untuk menentukan sama ada sesuatu kes itu dibawa ke
mahkamah atau tidak, terletak di bawah bidang kuasa pendakwaraya.
Beliau yang
sering diganggu oleh anggota Parlimen pembangkang yang inginkan penjelasan lanjut, sejak
awal ucapannya lagi berharap isu itu tidak lagi ditimbulkan terutama oleh anggota Parlimen
pembangkang kerana keputusan muktamad telahpun dibuat.
"Peguam Negara
mempunyai kuasa mengikut budi bicaranya seperti yang dibenarkan oleh undang-undang yang
kita sendiri gubal di Parlimen ini. Kalau budi bicara itu tidak boleh digunakan, kenapa
tidak membangkang dahulu (semasa membahaskan rang-undang-undang itu)," katanya.
Menurut
maklumat yang ada kes rasuah Rafidah sudah selesai penyiasatannya semenjak beberapa
tahun lalu. Laman Mahazalim pernah memaparkan bukti salinan fotokopi penyelesaian
siasatan itu oleh Jabatan Peguam Negara yang siap sedia untuk tindkan pendakwaan.
Malangnya fail kes itu tersimpan kemas di tangan PM Dr. Mahathir. Rakyat lebih tahu
pembohongan pimpinan kerajaan dan tahu pula kepentingan Rafidah di sisi Mahathir, dan jika
pendakwaan itu berlaku itu ertinya menamatkan segala kerjaya Mahathir sebagai PM.
|