|
Peringatan Buat Pak Lah: Kalau
Mahu Haramkan DETIK, Persilakan, Jangan Dera Kami Lebih Lama Lagi!
Hari ini, Khamis, 9 Mac 2000, genap 100 hari Kementerian Dalam
Negeri di bawah menterinya, Abdullah Ahmad Badawi tidak membenarkan kami menerbitkan
DETIK, majalah ehwal semasa dua kali sebulan, walaupun KDN telah memberikan
kelulusan bertulis pada 9 Disember 1999. Ia satu tarikh yang patut diingati sebagai
petanda hitam dalam sejarah kebebasan media negara ini.
Ibarat manusia yang
sudah tidak bernyawa tetapi belum dapat dikebumikan kerana doktor tidak memberikan
pengesahan sama ada ia telah mati ataupun masih nazak, sedangkan jantung sudah tidak
berdetak, nadi sudah tidak berdenyut. Kalaupun DETIK sudah mati, kami tidak
diberikan permit untuk mengkebumikannya di mana-mana tanah perkuburan. Jadilah DETIK
bagai polong tidak bertuan, jiwa menderita, batin tersiksa.
Kami menggunakan
pelbagai cara, termasuk menghantar dengan tangan surat kepada Menteri Dalam Negeri,
di pejabatnya, di Jalan Dato' Onn minta Pak Lah memberikan kata putus kepada nasib
malang DETIK. Bagi saya, kalau KDN mahu mengharamkannya terus, kami persilakan,
kerana ia jauh lebih baik daripada membiarkan DETIK digantung tidak bertali. Sayang
sekali, pentadbiran kerajaan yang dikatakan cekap dan mesra rakyat mengambil sikap
tidak peduli terhadap luahan hati kami. Tiada sebarang surat menjelaskan kedudukan
sebenar DETIK.
Hampir setiap minggu saya menghubungi pegawai-pegawai KDN
minta penjelasan lanjut walaupun saya tahu bukan kepada mereka masalah ini
tergantung. Pegawai-pegawai berkenaan melayan kami secara cukup sopan. Kata mereka,
hal DETIK hanya dapat diselesaikan oleh pihak lebih atas, khususnya Menteri Dalam
Negeri. Ya, bukankah mereka telahpun meluluskan permit DETIK setahun lagi sehingga
30 November 2000, yang kemudiannya ditarik balik secara lisan melalui telefon,
itupun selepas kami menghubungi pegawainya, Tengku Mahmood bagi mendapatkan nombor
PP DETIK yang baru.
Ya, apalah yang ditakutkan dengan DETIK, sedangkan
Harakah yang begitu berbisa pun dibenarkan keluar, meskipun dikurangkan
kekerapannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Itupun satu detik
hitam lagi dicatatkan dalam sejarah pencabulan media negara ini. Salam takziah buat
Zul Sulong dan teman-teman di Harakah.
DETIK adalah usaha kami, segelintir
anak-anak muda yang percaya bahawa kebebasan media memberikan kebaikan kepada semua
pihak, termasuk parti pemerintah. Media bebas cuba mengungkapkan sebaik mungkin
senario yang berlaku dan cuba memberikan analisis terhadap fenomena semasa.
Kerajaan
yang bertanggungjawab akan mengambilkira semua pandangan, termasuk yang tidak
berpuas hati dengannya. Dari itu barulah dapat langkah-langkah berkesan diambil bagi
mengatasi segala problem berbangkit. Mahu mengharapkan media kroni membentangkan
rasa tidak selesa rakyat adalah mustahil. Justeru, bagi kami tiada sebarang sebab
munasabah bagi KDN untuk menyekat mana-mana penerbitan yang dilihat tidak sebulu
dengan pemerintah.
Kami sekarang berada di persimpangan. Imbuhan kepada
karyawan yang kini menganggur terpaksa diteruskan. Kos pejabat dan yang berkaitan
mesti dilangsaikan. Walhal kami sudah tidak menerbitkan sebanyak lapan keluaran
DETIK, yakni keluaran 1 dan 15 Disember 1999, 1 dan 15 Januari 2000, 1 dan 15
Februari 2000, 1 dan 15 Mac 2000.
Apakah KDN bertujuan untuk mendera kami,
sebuah syarikat penerbitan yang selama ini berdiri atas kaki sendiri, yang langsung
tidak pernah mendapat bantuan kewangan sesenpun dari sesiapa jua termasuk institusi
kewangan, apatah lagi individu atau perkumpulan tertentu.
Sempena 100 hari
DETIK dimatikan, kami sekali lagi mengharapkan agar kewarasan dan rasional dapat
mengatasi sentimen sempit menangani isu ini. Sukacita kami mengingatkan pihak
Menteri Dalam Negeri, kalau DETIK mahu diharamkan terus, lakukanlah, Dato' Seri
punya kuasa mutlak untuk berbuat demikian. Jangan dera kami lebih lama lagi.
AHMAD
LUTFI OTHMAN BEKAS KETUA EDITOR DETIK, Tel: 40230175, 4630371 Faks: 4630372 |