|
Mengapa Dibimbangi Kebebasan Media?
Kebebasan media sudah menjadi momokan. la hanya idea yang terbungkus di dalam
buku-buku akademik dan terkepung di bilik-bilik kuliah. Di alam realiti, jangan
siapa persoalkannya. Elit pemerintah menganggapnya sebagai musuh yang perlu
diperangi dan dimusnahkan. Tiada kebaikan prinsip itu bagi mereka. Rakyat harus
disekat daripada berhubung terus dengan saluran maklumat yang sahih, apatah lagi
analisis dan sudut pandangan berwibawa.
Orang ramai pula, yang sudah lali
dengan berita bohong dan manipulasi berita menganggapnya sebagai fenomena biasa.
Tiada kejutan bagi mereka jika ada mana-mana majalah atau akhbar yang tidak serasi
dengan pandangan pemerintah ditamatkan permit penerbitannya. Biasalah, kata mereka.
Masakan ada pemerintah yang boleh menerima teguran dan kritikan tajam lagi pedas,
dari helai ke helai. Justeru, tuntutan supaya industri media di negara ini bebas
dari cengkaman peraturan dan akta mengongkong tidak mendapat respon sewajarnya.
Elit
pemerintah pula berhujah: kebebasan mutlak membawa bencana dan malapetaka, maka ia
mesti disekat.
Itu adalah dalih yang sengaja dicari untuk melarikan maudhuk
persoalan sebenar. Pengamal media tidak pernah mendesak agar media dibebaskan secara
mutlak daripada sebarang peraturan dan disiplin. Mereka hanya dahagakan kebebasan
yang berpaksikan kebenaran. Bukan kebebasan yang boleh menyiar apa saja bahan
walaupun intinya kebobrokan moral dan penyelewengan fakta.
Selamanya pengamal
media tidak diberitahu secara jelas dan sahih apa yang tidak boleh mereka siarkan,
selain gambaran umum sahaja. Apakah menyiarkan laporan berita dan wawancara dengan
parti-parti pembangkang merupakan kesalahan besar yang natijahnya permit boleh
diharamkan? Mengapa pula tidak diminta akhbar-akhbar harian utama, misalnya Berita
Harian, Utusan Malaysia, NST, Star-yang pengaruh mereka cukup besar-menyiarkan
laporan yang seimbang, tidak terlalu mencerca dan mengadu-domba pembangkang?
Sedangkan KDN menjadi begitu peka dan cukup prihatin dengan kandungan
majalah-majalah nyamuk yang diurusterbitkan oleh individu kecil tidak ternama.
Kita
memang menuntut kebebasan didisiplinkan menurut lunas-lunas Islam agar tidak
terpesong dari landasan kebenaran, sentiasa berpaksikan akhlak luhur. Namun cukup
menyedihkan laika ada pembaca yang merungut: "Terlalu mudah membeli VCD lucah
daripada mendapatkan Harakah, dan mengapa pula DETIK digantung penerbitannya
sedangkan banyak lagi majalah hiburan separa lucah dibenarkan, sedangkan TV3 terus
menyiarkan siri Tarzan yang lucah dan tahyul itu di waktu perdana."
|