|
TIDAKKAH KITA
DILAHIRKAN SEBAGAI INSAN YANG BERAKAL DAN BERWADAH?
Rakyat Negeri
Melaka tercengang hairan, apa dosa mereka sebagai penyokong UMNO/BN yang
telah meletakkan parti itu sebagai pemerentah walau tanpa pembangkang dalam
Kerajaan?
Dengan keluarnya arahan membatalkan kontrak tenaga
profesional yang diambil Kerajaan UMNO/BN (perkhidmatan mereka secara
kontrak) oleh kerajaan Negeri Melaka, dan Dr. Mahathir sebagai Perdana
Menteri menyokong tindakan itu sebagai ‘patut dan selaras dengan hak
kerajaan Negeri itu’ (kerana tenaga profesional itu menyokong parti
Pembangkang); makin nampak kepada rakyat Melaka (dan juga rakyat negeri lain
dalam Malaysia) bahawa falsafah pentadbiran Kerajaan UMNO/BN sudah
terang-terang “meletakkan pertelingkahan politik sesama mereka mengatasi
kepentingan rakyat”.
Senario Khidmat Perubatan
Khidmat tenaga
perubatan profesional – khusunya seperti doktor, adalah antara perkhidmatan
kerajaan yang terpenting dalam negara membangun seperti Malaysia. Kerana
majoriti rakyat tidak mampu (kerana kerajaan UMNO/BN gagal meningkatkan
taraf pendapatan rakyat) membayar perkhidmatan perubatan yang tinggi di
hospital-hospital yang diswastakan; kadar purata khidmat seorang doktor
kerajaan dengan jumlah rakyat di negara ini amat jauh berbeda dengan kadar
di negara maju.
Bermakna, dalam perkhidmatan perubatan kerajaan di
hospital-hospital kerajaan, doktor-doktor kerajaan yang berkhidmat
sepenuhmasa di hospital kerajaan tidak mencukupi. Dengan itu, khidmat dari
tenaga doktor swasta yang diambil berkhidmat secara kontrak sangat-sangat
diperlukan bagi menampung keperluan rakyat yang kian bertambah dengan
drastik.
Kerana jumlah doktor-doktor Kerajaan itu masih tidak
mencukupi (walaupun dengan bantuan khidmat kontrak doktor swasta tempatan),
maka Kerajaan telah mengambil khidmat doktor negara-negara luar untuk
menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat itu. Itu senario
rengkas.
Wajarkah Rakyat Menerima Padah
Sekarang timbul
persoalan: Apakah kerana pertelingkahan sesama parti politik, maka parti
yang menerajui Kerajaan (Kerajaan pimpinan UMNO/BN) menganggap sebagai
berhak membelakangkan kepentingan rakyat dengan membatalkan kontrak
perkhidmatan doktor-doktor swasta (rakyat tempatan) dengan kerajaan –
semata-mata kerana mereka menyebelahi Pembangkang?
Apakah dalam
sebuah negara demokrasi yang memperakukan kebebasan rakyat berpolitik dan
memilih kerajaan wajarkah “membalas dendam” kepada parti lawan hingga rakyat
harus menerima padah dan dijadikan korban?
Bagi rakyat, masalah
percakaran politik sesama parti politik tidak ada kaitan dengan tuntutan dan
hak mereka sebagai rakyat. Apa yang berlaku dan apa jua keputusan
pilihanraya itu adalah selari dengan perakuan dan peruntukan Perlembagaan.
Begitu juga perkhidmatan dalam bidang-bidang khidmat yang lain
seperti bantuan pelajaran (eg. buku-buku teks, biasiswa, tenaga pengajar,
dll), khidmat utilities (eg. bekalan air, letrik, perhubungan, pembinaan
jalanraya, pembersihan bandar, dll) – kerana itu adalah tanggungjawab
kerajaan untuk menyelaraskan khuidmat dengan sempurna tanpa membezakan
kecenderungan parti dan faham politik individu yang memberi khidmat atau
yang diberi perkhidmatan; mengapa mesti wujud sebarang diskriminasi keatas
rakyat?
Penafian Hak Rakyat
Arahan terbaru Kerajaan Negeri
Melaka yang dipersetujui oleh Mahathir (sebagai Perdana Menteri dan Presiden
UMNO dan BN) itu, mengimbau kita sebagai rakyat untuk bertanya kepada diri
kita sendiri: Apakah dalam sebuah masyarakat yang merdeka dan demokratik
seperti negara kita; hak dan kepentingan rakyat sudah menjadi perkara No.2
oleh Kerajaan yang mentadbir semata-mata kerana mereka rasa kecundang?
Adakah Parti yang diamanahkan menerajui kerajaan yang telah dipilih
oleh majoriti rakyat dan telah melafazkan sumpah dihadapan DYMM Yang Di
Pertuan Agung untuk berkhidmat kepada tanahair, bangsa dan ugama; tiba-tiba
telah melupakan tanggungjawab mereka dengan menafikan khidmat mereka kepada
rakyat kesan dari percangahan politik sesama mereka?
Adakah mereka
yang menerajui kerajaan itu masih diiktiraf sebagai peneraju Kerajaan yang
beramanah jika dalam tempoh 3 bulan mereka telah mengambil sikap
mengharu-birukan rakyat dengan pelbagai karenah hingga rakyat jadi korban;
semata-mata kerana mereka terus-menerus bersengkita sesama parti dan
mengatur agenda semata-mata kerana memuas hati untuk “membalas dendam”?
Apakah rakyat harus menerima kesan dendam kereka?
Rakyat Sudah Tahu
Menilai
Sebagai rakyat yang berpendidikan, matang dalam sebuah
masyarakat yang terbuka; kita sentiasa menilai sesebuah parti yang menerajui
Kerajaan itu berasaskan kepada khidmat kelompok mereka dalam menilai diri
kita (sebagai rakyat), hak kita, keperluan kita dan sejauhmana hak-hak kita
dilindungi dan dianggap bermaruah dan berdaulat.
Kerajaan yang
memerentah perlu memperakukan hak-hak asasi kita sebagai rakyat dan status
kita sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka. Jika faktor-faktor itu tidak
dijadikan perkara utama oleh parti politik terbabit, pasti kita sebagai
rakyat yang dilindungi Perlembagaan akan merasa diri kita umpama dijajah
semula. Jika itu berlaku, bermakna kita sudah tersilap besar memilih dan
mendukung sebuah parti untuk menerajui Kerajaan yang hanya dan cuma
mementingkan hak diri dan kelompok pemimpin sesama mereka semata-mata. Dalam
waktu yang sama, mereka bersikap angkuh dengan kuasa yang diamanahkan dengan
tidak memperakukan hak kita yang melantik mereka sebagai pemimpin dan
peneraju Kerajaan.
Hakikat itu adalah persoalan pokok yang wajar
dipertimbangkan oleh sebarang parti politik yang bercita-cita menerajui
Kerajaan – tidak kira UMNO/BN atau Barisan Alternatif. Tetapi apa yang jelas
sekarang, Kerajaan Melaka (khusunya) dan Kerajaan Pusat (amnya) dibawah
UMNO/BN telah sewenang-wenangnya menafikan hak rakyat dengan membatalkan
kontrak perkhidmatan tenaga perlu itu tanpa menimbangkan impliksi
jangkapanjang kepada kesejahteraan rakyat umum dan kebebasan rakyat
berpolitik dan memilih.
Bukan saja rakyat Negeri Melaka sendiri
tertanya-tanya, malah rakyat di negeri lain juga akan menyoal. Jika dalam
Pilihanraya ke-10, rakyat Negeri Melaka telah memberi sokongan penuh dan
total kepada UMNO/BN hingga negeri itu 100% dikuasai oleh UMNO/BN; apakah
justifikasi tindakan kerajaan Negeri Melaka seburuk itu terhadap rakyat
Negeri Melaka?
Dengan tindakan Kerajaan Melaka itu , kita dapat
membayangkan apakah agenda buruk dan busuk yang tersedia oleh Kerajaan
UMNO/BN terhadap rakyat Terengganu dan Kelantan (yang dikuasai BA/PAS?),
atau Kedah, Perlis dan Pahang yang telah menggugat kekuatan UMNO/BN di
negeri-negeri tersebut.
Walaupun setakat ini kita belum dengar
sebarang tindakan oleh MB-MB di negeri lain, tetapi perakuan Dr. Mahathir
yang telah merestui dan bersetuju dengan tindakan Ketua Menteri Melaka itu,
pasti akan dijadikan “signal” yang menghalalkan tindakan yang sejejar untuk
ikutan MB-MB di negeri lain. Ini diyakini akan berlaku kerana sifat semua
MB-MB dan Ketua Menteri UMNO/BN adalah seperti “pondan” yang tidak mempunyai
prinsip dan pendirian sendiri yang memungkinkan mereka membantah sebarang
arahan Dr. Mahathir!!
Jangan Kesal Nanti
Jika perkara seumpama
ini dilakukan oleh Kerajaan pimpinan UMNO/BN, jangan sekali-kali rakyat
dipersalahkan sekiranya parti Pembangkang akan lebih hebat mengkritik
gelagat “balas dendam” UMNO/BN terhadap rakyat.
Apakah Dr. Mahathir
dan UMNO/BN akan hanya berfungsi dengan baik sekiranya Dr. Mahathir dan
UMNO/BN memerentah negara ini tanpa Pembangkang 100% (Totalitarian)
baharulah rakyat akan diberi khidmat penuh dan sempurna?
Selagi
negara ini mengamal demokrasi dengan Perlembagaan yang sedia ada, sekiranya
rakyat memberi riaksi memperkuat sokongan terhadap Pembangkang (yang telah
menunjukkan daya kematangan dan rasional yang lebih tinggi berbanding
pemimpin UMNO/BN) dengan lebih hebat dari masa-masa sebelum ini; sekiranya
Kerajaan UMNO/BN tumbang – maka itu bukan lagi satu perkara yang wajar
dikesalkan oleh seluruh kepimpinan UMNO/BN.
Mahathir dan pemimpin
UMNO/BN harus faham bahawa sesebuah kerajaan yang mengugut dan menzalimi
rakyat tidak akan lama bertahan. Sejarah telah membuktikan, dan Firman dan
Sunnah juga telah memberi kepastian yang luhur lagi benar. Seandainya
UMNO/BN menafikan “kebenaran” itu, bermakna kepimpinan UMNO/BN sendiri
sedang mencipta episod duka yang pasti akan mengheret mereka menuju
kehancuran diri bersebab dari penentangan mereka terhadap “kebenaran” hakiki
itu.
Rakyat tidak peduli siapa Mahathir, UMNO, MCA, MIC atau GERAKAN
dll. Jika Mahahthir mampu menguasai pemimpin dalam kelompoknya dengan
pelbagai cara dan peraturan yang memperkuatkan kedudukan beliau; tidak
bermakna rakyat tertakluk dengan kehebatan beliau (Mahathir), mereka
(pemimpin sekongkol) sebuah Barisan (UMNO/BN); walau sehebat
mana…!!
Bagi rakyat, kedudukan majoriti UMNO/BN di Parlimen tidak
bermakna wakil-wakil mereka harus sekongkol hingga memperakukan sesuatu yang
bertentangan dengan tuntutan rakyat. Jika persekongkolan mereka itu
berterusan seperti yang sudah-sudah dengan tujuan menafikan kepentingan
rakyat banyak dan mengutamakan kepentingan kelompok mereka; lambat-laun
parti yang bersikap Zalim dan menafikan Keadilan itu pasti akan ditumbangkan
oleh rakyat.
Itu adalah hukum alam dan tabii manusia sejagat yang
berakal dan berwadah!! Sesungguhnya RAKYAT tidak akan mengalah lagi. Makin
hebat tuntutan REFORMASI rakyat!!
Amin Sapiro (UMNO Atas Pagar
Berduri) |