PENDAKWA: TUDUHAN TERHADAP ANWAR SAH KERANA ORDINAN 22 BELUM DIBATALKAN

8 Man - Empat tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Ordinan No 22 yang membawa kepada pensabitan beliau serta hukuman penjara enam tahun didakwa sebagai sah kerana ordinan itu masih berkuatkuasa, mahkamah rayuan diberitahu semalam.

Pendakwaraya Kanan Persekutuan Datuk Abdul Gani Patail mendakwa, tuduhan yang dihadapi Anwar adalah sah kerana Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No 22 Tahun 1970, yang bekas Timbalan Perdana Menteri itu didapati bersalah, masih belum dibatalkan.

Beliau berkata, walaupun satu usul untuk membatalkan ordinan itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi sehingga hari ini, Dewan Negara masih belum meluluskan usul pembatalan itu.

Ini bermakna ordinan itu masih mempunyai kuasa undang-undang kerana Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan kedua-dua Dewan Parlimen meluluskan resolusi membatalkan ordinan, dan syarat itu masih belum dipenuhi, katanya.

Abdul Gani yang mengetuai pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan demikian pada hari ketujuh perbicaran rayuan Anwar terhadap pensabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April lepas.

Pada 14 April lepas hakim Mahkamah Tinggi Datuk S. Augustine Paul menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Anwar atas setiap satu daripada empat tuduhan dengan hukuman itu dilaksanakan serentak daripada tarikh beliau disabitkan kesalahan kerana campurtangan dalam siasatan polis berhubung dakwaan salahlaku seks terhadap beliau.

Rayuan itu didengar di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Yunus yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Datuk Mokhtar Sidin.

Abdul Gani berhujah, oleh itu mahkamah tidak boleh mempersoalkan kesahihan pertuduhan di bawah Ordinan 22 dan pada masa yang sama pihak pembelaan tidak boleh menganggap ordinan itu telah dibatalkan.

Dalam menjawab hujah peguam utama Anwar, Raja Aziz Addruse, Abdul Gani berkata kes ini bukanlah penyalahgunaan proses mahkamah. Abdul Gani berhujah yang mahkamah tidak boleh mengarahkan pendakwaan supaya tidak meneruskan perbicaraan hanya kerana anggapan pembelaan yang ordinan itu telah dibatalkan kerana langkah mereka itu sebenarnya meminta mahkamah membuat keputusan mengenai tindakan badan perundangan.

"Dengan hormatnya, mesti ada keterangan yang jelas dan nyata akan penyalahgunaan proses sebelum mahkamah boleh menggunakan kuasa padanya," katanya.

Mengenai pindaan pada tuduhan terhadap Anwar sebelum pendakwaan menutup kes, Abdul Gani berkata ia tidak kena mengena dengan dakwaan pembelaan yang mereka (pendakwaan) telah gagal untuk membuktikan kebenaran akan tuduhan itu.

Beliau berkata, benar atau tidak dakwaan liwat dan salahlaku seks terhadap Anwar bukan isu di hadapan mahkamah.

Sama ada pertuduhan asal atau dipinda, pendakwaan hanya perlu membuktikan yang Anwar telah menggunakan kedudukannya atau jawatan awamnya untuk mendapatkan surat menarik balik tuduhan daripada Ummi Hafilda Ali dan Azizan, untuk mengelakkan daripada menanggung malu, kata Abdul Gani.

Dalam petisyen rayuan, Anwar telah menyenaraikan 29 alasan termasuk hukuman yang dikenakan pada beliau sebagai keterlaluan.

Beliau berkata, hakim itu telah gagal menggunakan budibicaranya dengan betul dan membenarkan dirinya dipengaruhi oleh soalan-soalan tidak berkaitan dan gagal mengambil kira atau memberi pertimbangan kepada soalan-soalan yang releven dalam mengenakan hukuman.

Mengenai hukuman, Anwar berkata keengganan hakim itu untuk mengambil kira tempoh beliau telah berada dalam tahanan reman di penjara adalah tidak munasabah.

Anwar direman sejak 20 Sept 1998 selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1970 kerana didakwa mengetuai demonstrasi secara besar-besaran di sini dan seterusnya ditahan reman di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi pada 14 Okt tahun yang sama tidak membenarkan beliau diikat jamin.