Peguambela Sifatkan Perbicaraaan Mempersenda undang-undang8 Mac - Para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim dua dari lalu menyifatkan perbicaraan kes rasuah beliau sebagai satu "persendaan undang-undang" dan mendakwa saksi utama telah disogok. Mereka menggesa Mahkamah Rayuan supaya membatalkan keputusan bersalah dan hukuman enam tahun penjara yang dikenakan ke atas bekas TPM dan menamatkan "penderitaannya yang tidak perlu". Datuk Seri Anwar didapati bersalah April tahun lalu berdasarkan bukti-bukti bercanggah yang diberikan para saksi pendakwa "yang tercemar" dan beliau sendiri (Datuk Seri Anwar) "dihalang secara giat daripada mengemukakan pembelaannya sendiri", kata peguam bela, Encik Christopher Fernando. "Mereka merupakan para saksi yang sudah disogok, diberikan ganjaran, kemudian ditampilkan di mahkamah... dan keputusan bersalah dibuat berdasarkan keterangan yang mereka berikan," demikian Encik Fernando memberitahu panel rayuan tiga orang hakim, merujuk kepada saksi pendakwa, Encik Azizan Abu Bakar. Menurut Encik Fernando, Encik Azizan, bekas pemandu isteri Datuk Seri Anwar, telah diberikan jawatan pengarah sebuah syarikat pemaju dan diberi sebuah kereta. "Anda tentu tidak memberi jawatan penting kepada seseorang yang tidak mempunyai sebarang pengalaman langsung... Sulit untuk menyatakan tiada orang yang sedar akan hal ini." Menurut Encik Fernando, apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar adalah "satu ketidakadilan". "Ini adalah satu persendaan proses keadilan dan saya menggesa Yang Arif menamatkan penderitaan yang tidak sepatutnya ditanggung perayu ini," kata beliau. Para peguam Datuk Seri Anwar semalam turut menarik perhatian mahkamah bahawa Encik Azizan, yang mendakwa dirinya seorang Muslim yang taat, memecahkan tembelangnya sendiri apabila dia dipenjara tiga bulan kerana kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita tidak lama dulu. Mereka memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Encik Azizan mengaku bersalah di sebuah mahkamah syariah September tahun lalu kerana cuba melakukan hubungan seks dengan seorang wanita. Bekas pemandu isteri Datuk Seri Anwar itu mengahwini wanita tersebut dua hari selepas dia ditahan tetapi kemudian dikenakan hukuman tiga bulan penjara. "Inilah keterangan orang yang mendakwa dirinya bermoral tinggi," kata Encik Fernando. "Tetapi ternyata dia berbohong." -- AFP, Reuters. |