|
PENDAKWA GAGAL BUKTIKAN DAKWAAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim patut dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan
rasuah kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa bekas timbalan perdana
menteri itu telah menyalahgunakan kedudukannya untuk menyelamatkan dirinya daripada
mendapat malu, Mahkamah Rayuan diberitahu semalam.
Peguam bela Christopher
Fernando berkata pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk
menunjukkan bahawa Anwar mempunyai niat untuk menyelamatkan dirinya daripada
mendapat malu seperti pertuduhan.
"Jadi bagaimana ia dapat dikatakan
bahawa intipati paling penting telah dibuktikan? Jika satu intipati tidak dapat
dibuktikan, jadi keseluruhan kes gagal. Jadi mahkamah mempunyai kuasa, berdasarkan
satu alasan itu sahaja, untuk melepas dan membebaskan perayu (Anwar)," katanya.
Fernando
berkata demikian semasa berhujah pada hari keenam rayuan Anwar terhadap sabitan
hukuman penjara enam tahun yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April tahun
lepas.
Hakim Datuk S. Augustine Paul telah menghukum Anwar, masing-masing
penjara enam tahun bagi empat pertuduhan dengan hukuman itu berjalan serentak
daripada hari berkenaan selepas mendapati Anwar bersalah campur tangan dalam
penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksualnya.
Rayuan itu didengar
dihadapan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Yunus, Datuk Ahmad Fairuz Sheikh
Abdul Halim dan Datuk Mokhtar Sidin.
Fernando, semasa menggesa panel itu
membenarkan rayuan itu berkata mahkamah patut menamatkan kesengsaraan yang tidak
sepatutnya dideritai oleh Anwar.
Fernando berkata berdasarkan pertuduhan
asal, Anwar dituduh cuba melindungi dirinya daripada pertuduhan jenayah tetapi pihak
pendakwaan gagal membuktikan kes itu.
"Kami berhujah bahawa keterangan
yang digunakan oleh pihak pendakwaan adalah direka kerana tidak ada asas sama
sekali," katanya dan menurutnya hakim mahkamah tinggi adalah jelas silap semasa
beliau memutuskan bahawa kebenaran atau kepalsuan adalah tidak relevan kepada kes
pembelaan.
Mengenai surat penarikan balik pengakuan yang pihak pendakwaan
katakan digunakan oleh Anwar untuk menyelamatkan dirinya daripada mendapat malu,
peguam itu berkata bahawa surat itu bukan idea Anwar tetapi datang daripada pegawai
kanan cawangan khas yang mendakwa bahawa ia adalah bagi keselamatan negara.
Beliau
berkata jika Anwar benar-benar mahu menyelamatkan dirinya daripada mendapat malu,
beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung dakwaan seksual terhadapnya dan
memfailkan saman fitnah berhubung kedua-dua dakwaan itu.
Fernando berkata kes
pendakwaan adalah berdasarkan keterangan oleh saksi-saksi yang beliau sifatkan
sebagai pembohong, rasuah dan tidak berkredibiliti, seperti Ummi Hafilda Ali dan
Azizan.
Peguam itu juga menyatakan bahawa Paul telah mengguna pakai standard
yang berlainan dalam menilai keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan
pihak pembelaan.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozilah
Salleh, semasa dihubungi berkata mahkamah akan memutuskan Isnin depan, bila untuk
menyambung semula perbicaraan liwat, berikutan rayuan yang sedang berlangsung.
Dalam
petisyen rayuannya, Anwar telah menyenaraikan 29 alasan termasuk hukuman yang
dikenakan terhadap beliau yang jelas berat.
Beliau berkata hakim telah gagal
melaksanakan tanggungjawab kehakimannya iaitu beliau telah membenarkan dirinya
dipengaruhi oleh soalan yang tidak relevan dan gagal mengambil kira dan memberikan
perhatian kepada soalan yang relevan semasa menjatuhkan hukuman.
Mengenai
hukuman itu, Anwar berkata keengganan hakim untuk mengambil kira tempoh beliau
berada dalam penjara semasa direman adalah tidak munasabah.
Anwar telah
direman sejak 20 Sept 1998 selepas beliau ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam
Negeri selepas mengetuai demonstrasi anti kerajaan di sini dan kemudiannya direman
di penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Tinggi pada 14 Okt, tahun yang sama, tidak
membenarkan beliau diikat jamin. |