|
KEINSAFAN YANG
MENDATANG BUKAN DIDORONG NAFSU YANG MEMBAKAR
Seorang rakan datang
bertanya kepada saya, bagaimana secara tiba-tiba saya menulis sebanyak ini.
Katanya ada LamanWeb yang mempamirkan koleksi saya. Bermakna saya sudah
banyak mentulis, dan berurutan pula. Kenapa dalam sebulan dua ini saja
bangkitnya ragam begini. Kalau bersebab dari pergolakan Reformasi, tentu
saya sudah menulis sejak dari 2 September 1998. Kenapa sekarang – selepas
pilihanraya ini?
Saya cuma dapat menjawab pendek, “Saya sudah lama
atas pagar berduri. Kini, duri itu sudah mencucuk ke jantung-hati. Sudah
tidak tahan lagi”.
Rakan itu bertanya, bagaimana saya boleh membuat
keputusan yang begitu drastik?
Lantas saya ceritakan…
Bila
tiba masanya, pasti kita akan membuat sesuatu keputusan. Itu adalah satu
kebiasaan dalam hidup seseorang manusia. Tidak kira siapa dia – miskin kaya,
hina mulia, kecil besar, tua muda, lelaki perempuan, samada ulamak atau
penyangak …. Semua!! Kita pasti akan membuat sebarang keputusan untuk diri,
keluarga dan masuarakat. Kita akan lakukan sebagai satu urusan yang pasti
akan dilakukan. Itu adalah satu tuntutan.
Hari ini, kita berhadapan
dengan satu senario yang mewajarkan kita membuat keputusan. Dalam konteks
yang lebih luas, kita harus meneliti dan memandang jauh ke hari-hari yang
mendatang. Pada hari itu, (sebelum ia datang) – bermula dari hari ini kita
harus merancang. Rancanglah, usahakan dan akhir sekali serahkan kepada Allah
swt. yang berhak menentukan. Pasti kita akan nampak kesannya!!
Saya
katakan lagi:
Saya terimbau rasa dan perasaan dengan keputusan yang
buat oleh saudara kita rakyat Kelantan. Kemudian diakhir-akhir ini, kita
kehairanan bagaimana rakyat Terengganu juga membuat keputusan yang sehaluan.
Tidakkah kita kagum bagaimana mereka nekad dalam hati semasa membuat
keputusan?
Kita lihat lagi… rupa-rupa rakyat Kedah, Pahang, Perlis,
Perak dan Selangor juga tidak mahu ketinggalan. Tidaklah semacam N.
Sembilan, Melaka dan Johor yang seolah-olah masih duduk di kepala simpang.
Seakan-akan mereka belum nampak jalan yang terang.
Saya
berputar-putar selama 3 bulan yang lalu melihat perkembangan. Bukan itu
tugas saya, tetapi adalah wajar bagi saya menilai apa yang sedang berlaku
sebelum memutuskan – samada akan terus menetap di rumah yang akan runtuh
atau membantu mendirikan tiang balai buat tempat rakyat sekampung
berteduh.
Saya akui terang-terang, amatlah malu saya kepada diri
sendiri kerana tidak seberani mereka yang menjadi rakyat di Terengganu dan
Kelantan, atau negeri yang memberi petanda – sesungguhnya mereka tidak mahu
diperkuta-katikkan.
Saya tanya diri saya, bagaimana pula perjuangan
saya. Apa saluran yang wajar dan sejauhmana saya akan menang.
Dengan
azam dan ilmu yang secebis, tetapi atas desakan semangat yang kental; saya
mula merobek kertas meluahkan rasa dan perasaan.
Kadangkala, tengah
malam saya terjaga. Saya lihat anak-anak saya terkapai tidur nyenyak menanti
hari esok, lusa, tulat dan seterusnya 50, atau 60 tahun lagi (atas umur
panjang). Saya pandang diri saya sebagai manusia tempat mereka menumpang.
Saya terfikir, adakah saya dipihak yang benar sekiranya jika masa
depan mereka saya abaikan dengan membiarkan mereka hidup dalam kerangka
sebuah negara yang ditadbir-kuasa oleh orang lain? Mampukan mereka berjuang
seperti allahyarham Tunku dan rakan-rakan beliau?
Tun Sri Lanang
menceritakan bagaimana sejarah bangsa Melayu itu amat gemilang. Tetapi jika
negara ini, setelah di Merdekakan, kembali semua diperentah-jajah orang;
apakah sifat saya sebagai seorang ayah, seorang manusia yang
bertanggungjawab kepada keluarga?
Hematnya, saya tidak perlu lagi
menghunus keris atau mengasah parang untuk berjuang menegakkan Kebenaran.
Saya cuma perlu menentukan supaya keputusan yang saya buat adalah tepat dan
benar-benar memberi nilai dan makna untuk masa depan anak-anak saya yang
menanti mentari hari esok.
Saya tulis apa yang terfikir dalam kepada
saya waktu itu. Tujuan saya cuma untuk menyelamatkan zuriat saya yang akan
datang. Jika selari dengan fikiran orang, marilah sama-sama kita
perjuangkan. Rakyat Kelantan dan Terengganu bukan berjuang bersaorangan.
Mereka bersatupadu, sepakat-muafakat dan menentang …terus menentang.
Akhirnya, UMNO TUMBANG!!
Bagi saya, keadaan sekarang memerlukan satu
perobahan yang tidak wajar dibuat secara ‘tampal sana, tempek sini’.
Saya yang sudah sekian lama menganggotai Barisan perdana ini; sudah
terlalu lama dan terlalu banyak menahan ragam puak-puak yang makin hari
makin rakus perawakan mereka. Jika dibiarkan juga, negara ini akan tergadai
ke tangan orang. Bumi mana lagi bagi orang Melayu hendak berpijak? Bagi saya
inilah saja. Saya dan zuriat saya lahir di bumi ini, dan mati disini. Saya
bukan anak dagang, bila sampai angin berlayar lah saya. Tidak!
Tidak!!
Jika kita tidak menyelamatkan tanah tumpah darah kita ini,
tidak ada siapa yang akan tampil menyelamatkannya. Jika rakyat Afghan
berjuang dengan darah dan nyawa; masalah kita sekarang tidak menuntut kita
supaya bertindak seperti rakyat Afghan. Ruang masih luas bagi menetukan apa
yang kita mahu. Masakan tergugat kemahuan kita seramai ini oleh sekelompok
umat yang sedang disingkirkan.
Hematnya, kita hanya berhadapan
dengan satu fenomena yang biasa iaitu perjuangan bagi menegakkan KEADILAN
dan menumbangkan KEZALIMAN. Musuh kita bukan manusia, tetapi ialah falsafah
yang tidak pernah dihayati oleh mana-mana insan yang berugama dan berwadah.
Mustahil kita akan kalah.
Sebenarnya Mahathir dan kuncu-kuncu sedang
gentar berhadapan dengan rakyat. Senjata mereka cuma rasuah, ugutan, kuasa,
fitnah dan pembohongan. Jika ditakrif dengan mudah, Mahathir dan
sekongkolnya bukan saja sedang berbantah-bantah dengan rakyat; malah beliau
sedang melawan tuntutan Tuhan seru sekelian alam. Bermakna, Mahathir sedang
berperang dengan Rakyat dan Allah swt. Belum ada pun satu makluk dimaya-pada
ini pernah menang melawan rakyatnya dan menafikan Tuhannya.
Jadi,
keputusan saya amat mudah. Keputusan saya sama seperti saudara kita di
Kelantan dan Terangganu, dan negeri lain yang mengkecundangkan puak yang
ditentang itu. Selagi nawaitu dan iltizam perjuangan kita adalah menegakkan
KEBENARAN, KEADILAN DAN KETELUSAN; lambat lain pasti kita akan menang.
Rakyat akan bersama-sama kita.
Bagi saya dan keluarga, saya sudah
berada di pihak yang menang. Kerana; saya tidak lagi memihak kepada mereka
yang pengecut melakukan perubahan, takut berhadapan dengan kebenaran, lari
dari tanggungjawab kepada zuriat kita yang sedang menunggu hari
esok…!!
Mungkin ini yang menyebabkan pemimpin UMNO yang ada sekarang
masih tergagap-gagap, tekapai-kapai dalam pergelutan untuk membuat
keputusan. Jika begitu, pasti mereka akan kecundang jua!!
Biarkanlah.
Masanya akan tiba!!
Amin Sapiro (UMNO Atas Pagar
Berduri)
|