SINGKATKAH MEMORI MELAYU

KALAH ATAU menang, Anwar masih dianggap wira dan orang yang teraniaya. Minda rakyat sudah dipersiapkan untuk menerima apa saja keputusan mahkamah. Mereka mendengar, membaca dan menonton apa yang berlaku, tetapi majoriti rakyat tidak peduli lagi dengan apa yang terhidang di hadapan mereka.

Sudah sekian lama rakyat memendam rasa. Mereka melihat bagaimana segelintir tokoh-tokoh penguasa membahagikan khazanah kekayaan negara di kalangan kroni dan suku-sakat mereka sahaja. Majoriti rakyat tetap menderita. Mahathir pula nampak semakin angkuh, mementingkan pendapat dan pandangan peribadinya saja, asyik mengutamakan segelintir kecil golongan hartawan yang sedia kayaraya dan hidup penuh membazir.

Apabila anak-anak Mahathir menjadi jutawan (malah billionaire) segera, rakyat tidak iri hati. Kalau mereka berjaya kerana titik peluh dan usaha keras mengutip kemewahan, persilakan. Sebagai anak Perdana Menteri, mereka juga berhak menikmati hasil dari apa yang mereka kerjakan. Begitu juga dengan kawan-kawan rapat Mahathir. Mereka berpeluang bemiaga, menawarkan kepakaran dan khidmat untuk memajukan negara.

Soalnya, apakah itu yang benar-benar berlaku! Apakah benar anak Perdana Menteri menikmati kemewahan dan kekayaan yang melimpah ruah ini tanpa sedikitpun dipengaruhi oleh kedudukan dan kehebatan ayah mereka! Apakah semua peluang pemiagaan yang dibolot, dari yang sebesar-besamya kepada projek membekalkan tong sampah atau membersihkan bangunan, hasil persaingan sihat mereka dengan usahawan-usahawan yang lain? Orang boleh melihat, mendengar dan membuat kesimpulan sendiri.

Di kala ekonomi berkembang hebat, peluang tersedia untuk lebih ramai orang. Tetapi apabila' krisis ekonomi menjelma, kek menjadi kecil untuk dibahagi-bahagikan, semua pihak menjadi lebih sensitif terhadap apa yang dilakukan Mahathir dan Daim. Siapa yang patut diselamatkan terlebih dahulu kalau bukan konco-konco mereka! Wang rakyat bukan lagi amanah yang perlu dipertahankan sebaliknya sentiasa dijeling sekian lama dengan begitu rakus sekali bagi menyelamatkan suku-sakat masing-masing. Yang penting syarikat-syarikat besar milik rakan taulan tokoh-tokoh besar yang berada nyawa-nyawa ikan itu mesti dipulihkan. Hutang yang ditanggung, yang melampaui berbilion dolar itu, mesti dipindahkan kepada beban kerajaan. Kalau beban kerajaan, ia bermakna beban buat rakyat. Sudahlah ketika ekonomi negara mewah, rakyat tetap dirundung malang, apatah lagi apabila suasana menjadi parah, yang miskin papa kedana, yang kaya melepaskan beban kepada kerajaan.

Rakyat bukan bodoh lagi untuk menilai apa yang dilakukan Mahathir dan Daim, Bukankah selama ini Mahathir hanya mementingkan golongan sedia kaya, atas alasan daripada kekayaan itu ianya akan menitis ke bawah, menolong si miskin, meratakan nikmat pembangunan? Maka segala projek besar-besar dan dipastikan mendapat pulangan kekayaan dengan segara diserahkan kepada kroni dan saudara mara. Penswastaan menjadi instrumen paling berkesan untuk mengagih-agihkan kemakmuran dan kekayaan ini sesama sendiri. Majoriti rakyat terus memendam rasa. Keringat mereka diperah, tenaga mereka ditagih, kesetiaan mereka diperlukan, demi memastikan kuasa tidak bertukar tangan.

Isu Anwar menyingkap segala-galanya. Ia bukan lagi masalah penyalahgunaan kuasa memaksa polis mendapatkan pengakuan Ummi Hafilda dan Azizan, juga bukan masalah salah laku seks dan liwat dengan lima jejaka lainnya, tetapi isu utamanya ialah pengekalan kuasa. Manakala sentimen anti-Mahathir sememangnya sudah sekian lama dipupuk, khususnya ketika Tengku Razaleigh bersama Team B menentang Mahathir pada tahun 1987. Orang Melayu tidak takut lagi derhaka kepada pemimpin. Mereka bukan lagi lembu yang boleh dicucuk hidung untuk diarahkan berbuat apa saja demi kepentingan pemimpin atasan.

Mitos orang Melayu yang boleh diperlakukan apa saja oleh raja dan pemerintah adalah tidak benar sama sekali. Orang Melayu juga ada harga diri. Dalam diam, dalam senyap, mereka tetap membuat penilaian dan pemerhatian. Mahathir sememangnya pemah berjasa besar kepada orang Melayu. Mahathir telahpun mencapai kemuncak kegemilangannya. Jasa-jasanya tetap dikenang, tetapi ia tidak bermakna orang Melayu akan memaaflcan apa saja kesalahan besar yang sengaja dilakukannya. Ingatan orang Melayu tidak sesingkat yang diduga. Mereka nampak boleh melupakan, tetapi sebenamya memori mereka menyimpai segala kepedihan dan keperitan.

Mahathir mempunyai banyak pengalaman bagaimana untuk menangani kemelut politik orang Melayu. Mentaliti Melayu lebih merujuk kepada "hangat-hangat tahi ayam". Jika marah mereka telah diluahkan, orang Melayu mudah melupakan segala sengketa dan perbalahan. Mereka diajar untuk tidak menderhaka kepada pemimpin biarpun pemimpin itu berani melarikan isteri mereka dan merogol anak gadis mereka. Biarpun tanah dirampas, dihalau dari kampung tanah tumpah darah, namun akhimya pemimpin itulah juga yang disanjung dan disokong. Orang Melayu sukar membuat perubahan meskipun mereka didesak untuk berbuat demikian.

Isu Anwar menjadi kaya pengukur kepada dilema Melayu yang berpanjangan ini. Apakah memori Melayu sememangnya cukup singkat dan mudah memaafkan keterlanjuran Mahathir? Beruntungkah Mahathir dengan budaya tahyul Melayu yang selama-lamanya menganggap hanya Umno dapat mengekalkan kestabilan, kemakmuran dan keamanan di negara ini, meskipun rekod Umno menunjukkan parti itu sudah tidak relevan lagi dengan masa depan? Masa akan menentukan sama ada Melayu menjelang abad 21 sudah berani berkata "tidak" kepada Mahathir.

Othman Muda