|
Warkah Anwar dari Penjara Sg Buloh - Akibat Lurus
Bendul
Pada saat ini saya
dikurung di penjara Sungai Buloh selepas saya dibebaskan daripada cengkaman
konco-konco Mahathir di Bukit Aman. Disebabkan saya telah membuat permohonan
habeas corpus, maka kehendak Mahathir ialah supaya saya terus-menerus
ditahan tanpa dibicarakan, dan dia mahukan supaya, walau dengan apa cara
sekalipun, permohonan saya itu mesti digagalkan.
Jikalau permohonan
saya itu didengar mengikut cara-cara yang betul, ia akan mendedahkan peranan
yang dimainkan oleh Mahathir di dalam konspirasi terhadap saya. Itulah
sebabnya dia amat takut, dan dia tidak berani berdepan dengan saya di dalam
mahkamah yang terbuka, ataupun di mana-mana sahaja.
Mahathir mahukan
supaya saya dikurung sekurang-kurang nya selama empat tahun. Rancangan
asalnya ialah supaya saya dikurung terus-menerus di bawah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu, tetapi tekanan yang diterimanya terlalu
kuat.
Permohonan habeas corpus saya, kutukan masyarakat antarabangsa
apabila saya ditahan tanpa dibicarakan, ditambah lagi dengan sokongan rakyat
yang luar biasa besarnya kepada diri saya, semuanya itu berjaya melemahkan
tangan si kuku besi itu. Meskipun demikian, dia tetap tidak mahu sebarang
risiko. Maka itulah sebabnya, saya tidak dibenarkan diikat jamin dan sampai
sekarang saya masih terus dikurung.
Suasana tenang di dalam penjara
ini sangatlah jauh bezanya dengan keadaan lokap polis di Bukit Aman,
ataupun, lebih buruk lagi, dibandingkan dengan "penjara tunggal" di bawah
pengawasan Special Branch. Sebelum ini saya tidak pernah tahu di mana
sebenarnya saya berada, disebabkan saya sentiasa dipindah-pindahkan dengan
mata saya diikat dan tangan saya digari.
Alangkah leganya saya rasa!
Sekurang-kurangnya sekarang saya boleh nampak langit yang biru dan
pokok-pokok kelapa sawit yang hijau. Saya juga berpeluang membaca buku
dengan sepuas-puasnya, dan saya dapat berfikir dengan tenang tanpa lagi
diganggu dengan tidak putus-putusnya macam dulu. Berkat aktiviti
bersembahyang, banyak membaca dan banyak bersenam, dapatlah saya mengelakkan
perasaan lesu dalam penjara.
Sikap ramah mesra dan dorongan yang saya
terima daripada kakitangan penjara dan rakan-rakan banduan yang lain membuat
saya berasa lebih yakin dan bersemangat. Namun, penjara adalah penjara, ia
bukan tempat yang penuh selesa. Pihak berkuasa penjara sendiri hairan oleh
kenyataan palsu Mahathir yang mengatakan di sini saya dilayan sebagai "orang
penting".
Meskipun saya mengakui bahawa secara amnya anggota polis
memberikan simpati mereka kepada saya, dan mereka juga tidak menyembunyikan
kebencian mereka kepada Mahathir serta kebencian mereka kepada
pegawai-pegawai tertinggi polis, sesungguhnya saya teruk diseksa selama
tempoh tiga minggu polis menahan saya. Saya dimalukan, dihina, diazab,
ditelanjangi, saya tidak dibenarkan membaca dan saya cuma diberi makanan
yang dibungkus dengan suratkhabar buruk ataupun dalam kertas
plastik.
Azab yang saya tanggung bermula kira-kira sepuluh minit
selepas saya dimasukkan ke dalam lokap Bukit Aman, dengan mata saya diikat
dan tangan saya digari. Saya ditumbuk berkali-kali dengan amat kuatnya pada
sebelah kanan kepala saya, pada bahagian kiri dahi saya, pada mata kiri saya
dan pada leher saya. Darah meleleh keluar dari hidung dan mulut saya.
Memandangkan tumbukan-tumbukan kuat itu ditumpukan pada kepala dan
leher saya, nampak sangatlah bahawa tujuannya ialah supaya saya mengalami
kecederaan dalaman yang takkan boleh disembuhkan lagi.
Berkali-kali
saya diberitahu oleh berbelas-belas pegawai polis dan anggota bawahan,
bahawasanya sudah tentu pihak berkuasa tertinggi dalam polis terlibat, dan
sudah tentu ia direstui oleh menteri berkaitan, kalau tidak tindakan seperti
itu tidak mungkin dilakukan.
Isu ini sekarang sedang disiasat dan,
sebagaimana yang biasa terjadi, janji-janji diberikan kepada orang awam dan
masyarakat antarabangsa bahawa siasatan itu akan dijalankan dengan adil.
Saya amat meragui hasil siasatan itu.
Saya tahu bahawa
anggota-anggota polis yang bertugas mengawasi saya diarahkan supaya tidak
menyimpan sebarang rekod berkenaan orang-orang ternama yang datang ke lokap
saya. Lihatlah sahaja bagaimana pada satu ketika, macam biasa, apabila
Mahathir tidak dapat mengawal emosinya lagi, dia mengatakan kecederaan yang
terjadi kepada saya adalah buatan saya sendiri.
Saya menghormati
kesungguhan pasukan polis yang menjalankan siasatan itu, tetapi mereka itu
juga sedar akan adanya niat jahat dan sikap berpihak baik di kalangan
ketua-ketua mereka mahupun pada pihak pejabat Peguam Negara. Kedua-duanya
adalah di bawah kekuasaan Mahathir.
Setiap kali saya terkenang
peristiwa itu, ia membuat tengkuk saya berasa sejuk. Pertama, saya cuma
sedar daripada pengsan keesokan paginya. Selepas kejadian itu, saya
berkali-kali bertanya kepada anggota-anggota polis yang bertugas apakah ada
orang-orang lain yang masuk ke dalam lokap saya dan melakukan apa-apa kepada
diri saya. Kedua, mengapakah selama lima hari saya tidak diberi rawatan
perubatan? Apabila saya disuruh membuka semua pakaian saya, saya beria-ia
menolak.
Saya berasa amat malu, tetapi mereka paksa juga saya kerana
kata mereka, mereka mesti menjalankan tugas mereka. Saya perasan
anggota-anggota polis itu asyik menengok dan memeriksa bahagian kemaluan
saya dan punggung saya. Hati saya mengesyaki ia tentu ada kaitan dengan
tuduhan palsu yang ditimpakan ke atas saya, di mana gambaran
bahagian-bahagian sulit tubuh saya boleh diberikan kepada pihak-pihak
tertentu untuk mereka gunakan sebagai dalil
tambahan.
Sepanjang-panjang tiga minggu saya ditahan di bawah ISA,
masa yang betul-betul dihabiskan dengan soal siasat serius tidak pun sampai
dua jam. Ada soalan berkenaan Reformasi dan ada teguran yang mengatakan saya
sepatutnya bersabar sedikit sahaja lagi sehingga saya menjadi Perdana
Menteri sebelum saya bawa perubahan. Saya bincangkan soal perbuatan Mahathir
melakukan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan bagaimana dia dan rakan-rakannya
mengumpulkan harta untuk suku-sakat mereka.
Saya beritahu mereka,
tengoklah sendiri bagaimana Peguam Negara Mokhtar Abdullah begitu
bersungguh-sungguh cuba membuktikan rasuah teknikal ke atas diri saya.
Nampak sangat dia berbuat demikian atas arahan Mahathir dan bagaimana dia
sengaja memejamkan mata kepada kenyataan bahawa Mahathir dan suku-sakatnya
melarikan wang berbilion-bilon.
Mokhtar jangan cuba hendak mengaku
dia tidak tahu perkara ini; dia pernah beberapa kali berbincang dengan saya
berkenaan jenayah ini di mana Mahathir, Daim Zainuddin, Rahim Tamby Chik dan
menteri-menteri lain terlibat sama.
Biasanya mereka yang menyoal
siasat saya memberhentikan perbincangan serius itu apabila mereka minta
pisang goreng ataupun mee, dan selepas itu kami pun berbual-bual dengan
mesra.
Kemudian daripada itu, 14 orang pegawai daripada Bahagian
Siasatan Jenayah (CID) bergilir-gilir mendapatkan kenyataan daripada saya di
bawah seksyen 112 dan 113 Kanun Tatacara Jenayah berkenaan kemungkinan
pelbagai kesalahan, termasuklah rasuah, liwat dan kesalahan seks dengan enam
orang perempuan. Kes-kes yang melibatkan perempuan itu kini diketepikan buat
sementara waktu disebabkan dari segi politik adalah lebih mudah apabila
tuduhan ditumpukan pada kesalahan liwat sahaja.
Pada waktu yang sama
ada percubaan untuk mengenakan tuduhan ke atas isteri saya Azizah apabila
dia bercakap tentang rasa bimbangnya terhadap keselamatan saya dalam tahanan
polis dan kemungkinan saya disuntik dengan virus HIV. Saya beritahu mereka
bahawa selepas terjadinya serangan ala-Gestapo oleh polis dulu, saya tidak
menolak kemungkinan tersebut.
Saya tidak dapat menyembunyi perasaan
benci saya apabila mendengar kata-kata dusta seperti itu; saya bertanya
kepada seorang pegawai kanan CID apa lagi tuduhan-tuduhan jahat lain yang
hendak mereka kenakan ke atas diri saya. Mengkhianati negara? Menjual rahsia
negara? Membunuh? Pegawai-pegawai CID itu terus-terusan mengganggu saya
kerana mereka hendak mendapatkan contoh rambut saya, termasuk bulu kemaluan
saya, serta memeriksa bahagian-bahagian sulit saya.
Saya katakan
kepada mereka supaya berunding dulu dengan peguam-peguam saya, di mana
peguam-peguam saya kemudiannya menasihati saya supaya jangan setuju dengan
kehendak mereka. Walau bagaimanapun, dua orang doktor forensik dari Hospital
Besar dapat mengambil contoh darah saya untuk ujian HIV. Saya tidak ada
pilihan kecuali mengalah apabila mereka membacakan Seksyen 7 dalam Akta
Dadah Berbahaya. Kemudiannya baru saya diberitahu oleh penasihat
undang-undang saya bahawa sepatutnya saya jangan mengalah kerana saya bukan
dituduh di bawah akta tersebut.
Selepas menjalani azab selama tiga
minggu itu, sehari sebelum saya dibebaskan daripada tahanan ISA dan sebelum
saya dibawa ke penjara, saya dijemput makan tengah hari yang amat mewah di
tempat tertutup. Saya tidak sangka bahawa ia adalah suatu dalih polis untuk
membohongi rakyat dan seluruh dunia kononnya selama saya di dalam tahanan
polis saya diberi layanan yang baik.
Alangkah murahnya cara yang
mereka gunakan untuk menggula-gulakan hati tuan-tuan politik mereka! Tidak
dapat tidak, saya tentulah rindukan Azizah dan kaum keluarga saya, terutama
sekali ibu saya yang sakit-sakit. Pada saat ini pula, Azizah dan anak saya
Nurul Izzah, diancam akan ditahan.
Undang-undang ISA digunakan untuk
tujuan menjaga Mahathir dan suku-sakatnya. Kritikan dan bantahan rakyat
terhadap rasuah yang berleluasa serta bantahan terhadap salah guna kuasa
dicap sebagai anti-nasional dan ancaman kepada keselamatan negara. Tidak ada
orang yang boleh lepas daripada ancaman, soal-siasat ataupun tangkapan, baik
pemimpin-pemimpin Umno, pembangkang, NGO, aktivis Islam, para pembantu
peribadi saya, dan terutama sekali para pendukung Reformasi. Penyokong
Reformasi di seluruh negara sedang diburu. Ini adalah tindakan gelabah
seorang diktator terbenci yang hendak terus berkuasa.
Dia bukannya
cuba mendapatkan sokongan sah daripada rakyat, sebaliknya dia menanamkan
budaya takut di kalangan rakyat.
Rakyat kini marah kerana pelbagai
penindasan digunakan untuk menamatkan perbezaan pendapat. Ada usaha yang
sengaja dibuat dengan tujuan memprovokasi mereka yang menunjuk perasaan
dengan aman, yang digambarkan sebagai golongan perusuh yang mahu
menumbangkan kerajaan demokratik yang sah.
Hingga hari ini, polislah
yang mencetuskan tiap-tiap peristiwa ganas yang terjadi. Penangkapan demi
penangkapan dibuat. ISA digunakan untuk menangkap para pemimpin mereka. Akta
Polis dan apa-apa sahaja undang-undang yang boleh digunakan, mereka gunakan
untuk menangkap para penyokong pemimpin-pemimpin itu.
Mahathir masih
terus bercakap dengan gaya orang tua perengus dan degil. Semakin hari orang
semakin benci dengan mulutnya yang bisa, sikapnya yang suka marah-marah dan
angkuh. Tabiat keras kepalanya itu berpunca daripada pandangannya yang picik
terhadap rakyat yang disangkanya bodoh dan lembap.
Kuasa mutlak
digunakannya dengan sewenang-wenang untuk menindas hak-hak rakyat, demi
membalas dendam peribadinya, bukan demi negara. Makin lama Mahathir jadi
makin kepala batu dan makin tidak waras. Dia menjadikan politik suatu
kerjaya yang kotor, manakala ahli-ahli politik dijadikannya kaki-kaki ampu
yang tidak bermaruah.
Idea-ideanya yang tidak masuk akal pun mesti
digembar-gemburkan dengan hebatnya oleh media yang dikuasai kerajaan demi
menonjolkan dia sebagai orang yang sentiasa betul. Dan dia adalah seorang
manusia yang tidak mempunyai rasa bersalah.
Malah Umno pun tidak
terlepas. Dia mengerahkan petugas-petugas parti supaya menganjurkan
pertemuan-pertemuan khas untuk mengecam saya dan orang-orang yang dikatakan
pengkhianat. Dalam majlis-majlis itu, orang-orang yang sudah bankrap politik
dan kuno pun digunakan semula, bersama dengan tokoh-tokoh yang pandai
berpidato tapi mereka sendiri bergelumang dengan skandal.
Sebelum
saya dipecat, rakan-rakan sejawat saya menasihati saya supaya berhati-hati
dan banyak bersabar, serta supaya saya terus menyokong Mahathir demi menjaga
kepentingan kerjaya politik saya. Sewaktu dalam tahanan, pegawai-pegawai SB
yang ingin tahu cerita sebenar bertanya kepada saya apa yang sudah terjadi
ke atas hubungan saya dengan Mahathir. Kepada mereka saya katakan bahawa
pada mulanya hubungan kami baik dan rapat.
Tetapi sejak beberapa
tahun kebelakangan ini, dengan dorongan anak-anaknya dan mereka yang rapat
dengannya dalam politik dan perniagaan, makin lama sikap diktator dan kuku
besinya semakin menjadi-jadi, dan dia bercita-cita hendak meninggalkan
kesan-kesan kehebatannya dalam sejarah.
Disebabkan dia tidak boleh
ditegur dan dikritik sama sekali, dia hentam NGO dan media habis-habisan.
Dia gunakan polis, Peguam Negara dan mahkamah untuk menjaga kuasanya. Malah,
selepas berjaya mengetepikan setiap orang yang mencabarnya, dia fikir dia
Superman dan pakar selok-belok strategi pecah dan perintah, baik dalam
parti, negara, mahupun dalam hubungan antarabangsa.
Dia cukup bangga
apabila menyebut-nyebut kejayaannya meminda Perlembangaan untuk mengurangkan
kuasa raja-raja, malah dia angkuh dengan kejayaannya memecat Tun Salleh
Abbas. Memanglah, kita pernah menyokong dia dalam isu pindaan Perlembagaan,
kerana kita menyangka kuasa yang diambilnya daripada raja-raja itu akan
diserahkan kepada rakyat, bukan untuk dirinya sendiri.
Alangkah
butanya kita waktu itu kerana tidak nampak niat jahatnya yang mahu
menggulingkan raja-raja Melayu supaya sebagai ganti dia dapat menabalkan
dirinya sebagai pemimpin feudal agung bagi seluruh orang Melayu. Memang
betul, tanda tangan raja adalah syarat wajib bagi memecat saya, tetapi bagi
Mahathir, dialah raja.
Malu rasanya bila kita nampak hidungnya
kembang kempis mendengar dirinya dipuji-puji, terutama sekali dalam
perhimpunan-perhimpunan agung Umno, apabila dia diberi jolokan "PM paling
agung, jurucakap Dunia Ketiga, pemimpin yang menjadi contoh kepada dunia,
arkitek pemodenan Malaysia", dan macam-macam lagi, sampai muak kita
mendengarnya.
Didorong oleh nafsu hendak mengejar impian-impiannya
yang maha besar belaka makin hari dia semakin terpisah daripada dunia yang
sebenar. Pada satu ketika dia sudah tidak dapat lagi hendak membezakan
antara hasrat dan keperluan rakyat dengan kemahuan-kemahuannya sendiri yang
angkuh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia semakin terasing kerana
tidak sabar-sabar hendak menyiapkan projek-projeknya yang bakal menjadi
tugu-tugu kekuasaannya.
Dengan dikelilingi oleh para pembantu yang
kaki ampu, dia sudah tidak sedar lagi bahawa idea-ideanya mula menjadi lapuk
dan tidak sesuai lagi. Dia khayal dengan segala yang besar-besar. Yang dia
tahu ialah mengaitkan pemerintahannya dengan projek-projek mega dan semua
yang "ter-ter" belaka – jambatan terpanjang, bangunan tertinggi, lapangan
terbang tercanggih, ampangan paling termenggerunkan.
Demi memenuhi
nafsu egonya, kediaman rasminya pun mestilah yang termahal. Kenyataan dalam
Parlimen yang mendakwa kos pembinaan rumah itu ialah RM17 juta adalah suatu
pembohongan. Saya tahulah cara yang digunakan untuk memutar-belit
angka-angka itu. Rumahnya akan menjadi istana yang paling besar dan paling
canggih di negara ini. Rekacipta rumah itu adalah ilhamnya sendiri.
Serba-serbi berkenaan rumah itu adalah dari Perancis. Belanjanya ialah RM200
juta.
Saya bersyukur kerana akhirnya rancangan hendak membina
kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dibatalkan. Pada mulanya kos rumah
itu dianggarkan RM40 juta. Hati saya berat hendak menyetujui rekabentuknya
yang amat mewah. Walaupun sesudah para arkiteknya mengecilkan projek itu,
saya masih rasa ia terlalu mewah. Akhirnya, Azizah juga setuju supaya saya
tidak luluskan sama sekali projek tersebut.
Sebagai anggota
pentadbiran peringkat tertinggi, kerap kali saya perlu membuat penjelasan
dan melaksanakan dasar-dasar penting. Apabila dasar-dasar itu secara
peribadi tidak saya setujui, saya jalankan juga walaupun dengan hati yang
amat berat. Tetapi saya akan ambil setiap peluang yang ada untuk menekankan
masalah membasmi kemiskinan, rumah kos rendah, pembangunan luar bandar,
serta pembangunan industri kecil dan sederhana, bukannya projek-projek
mega.
Sekali-sekala, apabila saya mendapat peluang untuk bersuara
dengan lantang, saya akan kritik tingkahlaku haloba golongan kaya, dan saya
suarakan betapa |