UMNO Gadai Maruah Melayu?

DALAM satu ceramah umum di Padang Pak Mat, Pasir Putih lebih setahun yang lalu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Zulkifli Mamat dengan nada penuh yakin meletakkan jangka hayat bagi survival parti Umno. Beliau memberi tempoh paling lama pun hanya sepuluh tahun sahaja lagi bagi Umno untuk terus berkuasa, sebelum parti itu dikuburkan. Alasannya, perjuangan Umno sudah tidak relevan lagi dengan masa kini, apatah lagi untuk dekad akan datang.

Sama ada hujah Zulkifli itu disandari pengkajian dan analisis yang konkrit, beliau sendiri lebih mengetahuinya. Yang nyata, batang tubuh Umno kini sememangnya nampak kelihatan tapi menunggu masa untuk rebah menyembah bumi. Perjuangannya jauh menyimpang landasan asal. Umno kelihatan muflis dari segi idea perubahan dan pembangunan ummah. Dalam kamus Umno sudah tidak ada rangka kerja yang sesuai untuk dijadikan model pembangunan. Kamus terkini Umno dipenuhi istilah kronisme, nepotisme, rasuah, politik wang, penyelewengan, salah laku, keruntuhan akhlak dan gejala sosial. Malah hampir semua istilah pemusnah nilai kemanusiaan terkumpul di dalamnya.

Umno nyata gagal dalam rangka kerja pembangunan kemanusiaannya. Apa yang ada hanyalah retorik usang pembangunan kebendaan. Sedangkan, dalam dunia kini soal kemajuan kebendaan tidak boleh dijadikan umpan politik. Rakyat sudah sedar bahawa menyediakan pembangunan kebendaan adalah tugas pemerintah. Mana-mana parti yang memerintah pun, pasti menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyatnya.

Rakyat sudah tahu, China yang diperintah Komunis turut mengadakan jalan raya. Kendaraan di sana tidak berjalan di atas tanah selut. Kapal terbangnya tidak mendarat dalam semak walaupun bukan Umno yang memerintah China. Thailand yang diperintah bangsa Siam beragama Buddha, pun ada taliair, ada jambatan dan balairaya, ada sekolah.

Bahkan, dalam negara kita, Kelantan yang sudah lapan tahun tidak diperintah oleh BN/Umno, turut mengadakan pembangunan; ada projek taliair Kemasin-Semarak, ada pelabuhan Tok Bali, Bandar Baru Kuala Krai, Jambatan Tok Guru, Jambatan Haji Omar. Bandar Kota Bharu tetap mengalami proses pembangunan setaraf dan serancak bandar-bandar lain yang diperintah Umno. Ada macam-macam pembangunan walaupun Kelantan miskin dan kerajaan pusat pula sekat bantuan. Ertinya bukan Umno/BN sahaja yang mampu membawa pembangunan kebendaan.

Dengan kesedaran rakyat, modal utama Umno meraih simpati dan undi rakyat semasa pilihan raya sudah tidak setebal dulu lagi. Retorik pembangunan kebendaan tidak relevan lagi dengan keperluan semasa rakyat negara ini.

Umno sering mendabik dada, kononnya ia memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Lagu Setia yang sering dikumandangkan melalui media elektronik milik kerajaan saban hari jelas menyimpulkan bahawa perjuangan kerajaan Malaysia (yang kebetulan kini diterajui Umno) ialah untuk agama, bangsa dan negara. Namun setelah hampir 45 tahun Umno menjadi kerajaan, semakin jelas kegagalan parti itu. Malah semakin banyak bukti bahawa perjuangan Umno jauh menyimpang.

UMNO DAN ISLAM

Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad pernah mendakwa Umno parti Islam ketiga terbesar di dunia. Malaysia pula dianggap negara Islam contoh oleh negara-negara umat Islam lain.

Sebenarnya Umno tidak boleh berbangga sangat dengan kerja-kerja yang disifatkan Islam. Umno tidak boleh rasa ia sudah Islam apabila membina masjid, kerana kerajaan China komunis pun membenarkan masjid dibina, juga membayar gaji imam-imam. Begitu juga soal universiti Islam dan bank Islam, di Filipina yang menganut kristian pun ada universiti Islam (Islamic University of Mindanao) dan bank Islam juga (Phillipines Amanah Bank). Kalau Umno mahu berbangga kerana kerajaan Malaysia membayar gaji mufti dan kadhi, kerajaan Siam yang Buddha itu pun ada membayar gaji mufti dan kadhi. Kerajaan Malaysia anjur musabaqah al-Quran, kerajaan India yang Hindu itu pun hantar wakil juga untuk musabaqah.

Ertinya, mana-mana kerajaan pun terpaksa meraikan tuntutan dan keperluan rakyatnya. Itu bukan bermakna kerajaan berkenaan mahukan Islam.

Tambahan pula fakta-fakta yang menonjol yang diketahui umum dari segi perundangan (perlembagaan negara gubalan sekular Barat), sikap dan pandangan pemimpin Umno terhadap hukum Islam (terang-terang menolak perlaksanaan hukum syariah di Kelantan) dan sistem hidup Islam keseluruhannya (termasuk mencabul kemuliaan hari Jumaat sebagai cuti mingguan) membuktikan umno bukan parti Islam dan tidak pernah meletakkan kerja-kerja memartabatkan agama sebagai agenda perjuangannya.

UMNO JATUHKAN MARTABAT ULAMAK

Sikap jengkel para pemimpin Umno terhadap ulamak tidak dapat diselindung sama ada melalui tindakan atau perkataan yang menyindir atau merendah-rendahkan martabat ulamak.

Bagi sesetengah pemimpin Umno, agama bukan hanya milik ulamak. Mereka mahu mereka juga digelar ulamak. Bagi mereka, ulamak bukan hanya seseorang yang alim dalam bidang agama, tetapi juga meliputi bidang-bidang yang lain.

Akhirnya, mereka tidak boleh terima hakikat bahawa mereka perlu tunduk kepada nasihat dan fatwa ulamak yang bagi mereka tidak kenal realiti dan masalah sebenar ummah. Ulamak hanya pandai berkhutbah dengan merujuk kitab-kitab lama sedangkan zaman cepat berubah. Banyak perkembangan yang berlaku tidak diterangkan dalam kitab-kitab lama.

Mengapa para pemimpin Umno harus tunduk kepada orang yang, bagi mereka, gagal memahami tuntutan zaman yang serba canggih ini, yang hanya ingatkan mati dan membiarkan dunia ini dikuasai golongan bukan Islam. Walhal, bagi mereka, rakyat dapat kemudahan beribadah dalam keadaan aman dan selesa kerana usaha para pemimpin Umno untuk menstabilkan negara dan memperteguhkan ekonomi.

Kecenderungan sebilangan pemimpin utama Umno untuk membuat fatwa dan tafsiran sendiri yang kerap bertentangan dengan ajaran Islam amat menyiat perasaan umat Islam. Bahkan, mereka pergi lebih jauh dengan menghina beberapa aspek ajaran Islam itu sendiri. Antaranya yang masyhur ialah: Assalamualaikum dengan Selamat Pagi sama sahaja.

Saidina Hamzah (yang syahid di Uhud) tidak dimandi dan dikafankan kerana di negara Arab payah nak dapat air bukan kerana syahid.

Di zaman Nabi, orang menyimpan janggut kerana tak ada pisau cukur gillette. Tujuan menutup aurat (perempuan) ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain.

Malangnya, para pemimpin Umno, khususnya yang berpendidikan agama, tidak seorang pun menyanggah keceluparan pemimpin mereka ini. Tidak mustahil sampai ketikanya, Umno akan mengemukakan beberapa pelan tindakan bagi mengurangkan, hingga ke peringkat minimum, pengaruh ulamak terhadap orang Melayu setelah berjaya memburuk-burukkan ulamak tanpa mendapat sebarang halangan daripada ahli-ahli Umno.

Umno Menutup Suara Islam

Jika ada yang berpendapat, masih ada ruang untuk menyuarakan Islam dari dalam Umno, orang itu sebenarnya menipu diri sendiri atau tertinggal keretapi. Memang benar dalam Umno pun ada ulamak. Tetapi ulamak yang diperintah, yang menjadi pak turut kepada pemimpin sekular. Bercakap hanya dalam ruang lingkup yang dipersetujui oleh pemimpin tertinggi parti, walaupun terpaksa menyembunyikan kebenaran. Kalau ada di antara mereka yang agak berani bercakap benar mengenai Islam, tokoh agama itu tidak akan kekal lama dalam hierarki Umno.

Sejarah membuktikan, Pengerusi Biro agama Umno, Tuan Haji Ahmad Fuad, seorang ulamak yang menentang penubuhan Loteri Kebajikan Masyarakat, terpelanting keluar dari Umno sehingga memaksa beliau menubuhkan PAS bagi meneruskan perjuangannya. Haji Nakhaie Ahmad yang pernah menyanggah pandangan Dr. Mahathir dalam kes Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan tiga perempuan Melayu berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai beberapa tahun lalu, sampai sekarang gagal mencari tapak dalam Umno.

Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai tunjang suara Islam di dalam Umno mutakhir ini, dan sering pula berkhutbah dan menjadi imam, dihalau keluar dari Umno dengan taktik yang sangat jijik dan penuh keaiban. Seolah-olahnya,Umno lebih rela kehilangan pemimpin utamanya dan sebilangan ahli-ahlinya, asalkan parti itu tidak dikaitkan dengan imej Islam.

Tidak cukup sekadar tokoh agama di dalam Umno, mereka yang di luar juga turut di kekang. Tengoklah apa berlaku kepada bekas Mufti Selangor yang mempertahankan tindakan JAIS menahan tiga peserta ratu cantik. Bahkan para ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam juga turut ditapis agar bercakap hanya dalam ruang lingkup yang diluluskan oleh pemimpin Umno. Mereka yang agak lantang seperti Dr. Harun Din (yang mengecam ibadat sembahyang dilakonkan), Ustaz Ismail Kamus (yang menyebutkan sesiapa mempertikaikan hukum hudud adalah murtad) dan Dr. Hassan Ali, sudah lama lenyap dari kaca tv. Tegasnya, Umno berusaha sedaya mungkin agar bukan sahaja partinya, malah kerajaannya dan tv miliknya tidak menyuarakan Islam sebenar.

UMNO BIARKAN UMAT ISLAM MURTAD

Tidak ada penghinaan yang lebih dahsyat dan menyayat perasaan daripada gejala kemurtadan yang berleluasa dan dijamin oleh undang-undang. Sebagaimana yang didedahkan oleh bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno, Saifuddin Nasution Ismail (Berita Harian, 22.3.98) bahawa kegiatan memurtadkan umat Islam, terutamanya perempuan, dilakukan secara terancang oleh kumpulan tertentu melalui saluran mahkamah dengan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah perkara kebebasan beragama.

Maka berlakulah rentetan peristiwa bagaimana gadis Islam ditukar agama mereka secara sah di sisi undang-undang. Antara kes masyhur yang melibatkan gadis Islam dimurtadkan ialah kes-kes Suzie Teoh dan Jassica Zurich (1988); Norbaizura Abdullah (1990); Hartina Kamaruddin dan Nor Aishah Bokhari (1997).

Apabila PAS melalui Ahli Parlimen Marang, Haji Abdul Hadi Awang, mengemukakan usul di Parlimen agar dibahaskan perkara berkaitan dengan murtad, Parlimen yang dikuasai Umno dan kerabatnya menolak mentah-mentah usul berkenaan atas alasan ia tidak perlu disegerakan.

Cubaan kedua PAS ialah mengemukakan lima Rang Undang-Undang Murtad untuk diluluskan oleh Parlimen. Malangnya rang undang-undang tersebut tidak boleh dikemukakan untuk dibahaskan. Mengikut peraturan Parlimen, sesuatu rang undang-undang yang hendak dibahaskan hendaklah dibawa oleh seorang menteri. Apa yang nyata, tidak seorang pun menteri yang beragama Islam dalam Umno/BN tampil ke hadapan mengemukakan rang undang-undang berkenaan untuk dibahaskan.

Sikap tidak sensitif para pemimpin Umno dengan gejala kemurtadan umat Islam memang mudah difahami.Walaupun kes-kes besar kemurtadan berlaku di akhir 80-an dan 90-an, namun gejala ini sebenarnya sudah berlaku secara meluas sejak lama sebelum itu. Banci penduduk dan perumahan Malaysia 1980, misalnya, boleh dijadikan bukti sahih bahawa wujud orang-orang Melayu yang menganut agama selain Islam. Banci itu mendedahkan, daripada 6.1 juta penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia ketika itu, seramai 4,766 orang Melayu menganut Kristian, 522 menganut Hindu, 746 menganut Buddha dan 456 menganut agama tradisi orang Cina seperti Confucianisma dan Taoisma.

Para pemimpin Umno yang menerajui kerajaan sudah tentu tahu hakikat ini sejak dulu. Malangnya, sehingga kini mereka gagal berbuat apa-apa bagi membendung gajala murtad ini daripada berterusan. Sebaliknya, undang-undang yang memberi ruang umat Islam dimurtadkan secara sah itu terus dijunjung oleh mereka. Malah, mereka tidak malu menolak usaha mewujudkan undang-undang anti-murtad, kononnya ia tidak perlu disegerakan.

UMNO DAN BANGSA MELAYU

Pada prinsipnya, Umno adalah parti yang memperjuangkan kebangsaan Melayu. Betapa taksubnya Umno kepada istilah Melayu, sehingga ia merasakan hanya Umno sahaja satu-satunya parti orang Melayu yang benar-benar memperjuangkan martabat bangsa Melayu di negara ini. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Umno sering mendakwa, kononnya jika Umno (BN) kalah dalam pilihan raya, kuasa politik orang Melayu akan terhakis.

Slogan Hidup Melayu sering mewarnai rapat-rapat Umno, sama ada secara tertutup atau terbuka. N.J. Funston menulis di dalam bukunya, Malay Politics in Malaysia: A Study of PAS and Umno: Boleh dikatakan Umno mempunyai satu ideologi yang jelas mengenai satu isu sahaja, iaitu mengenai semangat kebangsaan Melayu. Walaupun pada praktiknya ia memberikan orang-orang bukan Melayu peluang yang banyak, ia sentiasa berpegang kepada satu konsep sempit bangsa Melayu dan sebenarnya lebih perkauman daripada apa yang dilihat.

Tepat sebagaimana yang disimpulkan oleh Funston, Umno sememangnya memberikan orang-orang bukan Melayu peluang yang banyak. Malah, terlalu banyak, terutama kepada kerabat-kerabat mereka di dalam BN. Beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan ukuran sejauh mana komitmen Umno terhadap perjuangan Melayunya.

UMNO GAGAL PERTAHAN KETUANAN POLITIK MELAYU

Antara agenda utama perjuangan Umno ialah mempertahankan ketuanan politik Melayu. Manakala ketuanan politik dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia dinilai pada jumlah kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang dimenangi tokoh-tokoh politik sesuatu kaum. Dalam konteks perjuangan Umno, parti itu boleh dianggap berjaya andainya kedua-dua peringkat Dewan Rakyat dan Undangan Negeri didominasi oleh ahli-ahli politik dari kalangan Melayu.

Sejarah menunjukkan perjuangan Umno mempertahankan ketuanan politik Melayu telah gagal. Kuasa pegangan politik Melayu, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri-negeri semakin berkurangan. Beberapa pemerhatian di bawah boleh dijadikan bukti kegagalan Umno.

Ahli Dewan Rakyat Melayu
Ditinjau penguasaan kerusi Dewan Rakyat sejak Pilihan Raya Umum 1959 menampakkan Umno amat tidak bermaya mempertahankan penguasaan orang Melayu dalam Parlimen. Itu pun diambil kira semua Ahli Parlimen berbangsa Melayu, tidak kira sama ada daripada Umno atau bukan Umno, termasuk MP daripada PAS, DAP, dan lain-lain.Perangkaan berdasarkan Melayu/Bukan Melayu dan peratus penguasaan Melayu dalam Dewan Rakyat adalah seperti berikut: Kemerosotan ini wujud bukan kerana kerusi itu terlepas daripada BN kepada pembangkang. la wujud apabila Umno tidak berupaya menolak tekanan parti bukan Melayu/Islam lain dalam Barisan Nasional terhadap pengagihan kerusi. Hasilnya, Umno menyerahkan kerusi yang asalnya ditandingi oleh calon Melayu kepada parti kerabat BN bukan Melayu. Contohnya, dalam Pilihan Raya Umum 1990 sahaja, sebanyak 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri majoriti pengundi Melayu diserahkan oleh Umno kepada parti kerabatnya untuk ditandingi oleh calon-calon bukan Melayu (juga bukan Islam).

Jumlah itu termasuklah 13 kerusi Parlimen dan 24 kerusi DUN, dan tidak termasuk kerusi-kerusi seumpama itu yang sudahpun ditandingi calon bukan Melayu dari BN sebelum itu.

Di antara kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu yang diserahkan kepada MCA dan MIC dalam Pilihan Raya Umum 1990 ialah Padang Serai (55.2% Melayu), Alor Setar (54.8%), Lipis (53.2%), Pontian (52.2%), Kapar (60.0%), Ampang Jaya (68.5%), Selandar (50.8%) dan Telok Kemang (51.3%).

Singapura
Dengan bersetuju menyertai Malaysia pada 16 September 1963, Singapura mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. la juga memperolehi pelbagai keuntungan dari segi ekonomi. Setelah semua keistimewaan itu diperolehi oleh Singapura, Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan perpisahan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 atas pertimbangan politik semasa. Seolah-olah Umno memberi pulau itu secara percuma kepada bangsa Cina. Sejak itu Singapura diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew, dan tidak henti-henti menimbulkan masalah politik kepada Malaysia. Antaranya, beberapa pengeseran yang pada hakikatnya menyentap maruah bangsa Melayu sebagai tuan politik negara ini. Contoh ketara ialah ketidakupayaan Umno menangani isu-isu Pulau Batu Putih, CIQ Tanjung Pagar dan pencerobohan ruang udara Johor dan tentera udara republik berkenaan.

Pulau Pinang
Dalam pilihan raya umum pada 10 Mei 1969, Umno (Perikatan) ditolak mentah-mentah oleh rakyat Pulau Pinang. Parti itu hanya menang di.empat kerusi, manakala parti Gerakan Rakyat Malaysia (GRM) menguasai DUN Pulau Pinang dengan memenangi 16 daripada 24 kerusi. Baki empat kerusi lagi dimena