TOL AKAN NAIK LAGI?Kerajaan dilaporkan akan membenarkan kenaikan kadar baru tol jika syarikat pemegang konsesi lebuh raya boleh memberikan alasan yang kukuh dan menetapkan satu kadar yang berpatutan yang boleh diterima rakyat. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, berkata, pihaknya juga telah mencadangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bahawa sebarang keputusan untuk menaikkan kadar tol pada masa akan datang, perlu dilakukan dengan berhati-hati. Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama serta meminta pandangan badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang terbabit terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menaikkan kadar tol. Kata beliau, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, kerajaan akan tetap terus membina lebuh raya atau jalan bertingkat dalam mengatasi kesesakan lalu lintas. ''EPU juga sedang mempertimbangkan kertas cadangan syarikat tertentu untuk menaikkan taraf beberapa jalan yang mengalami kesesakan teruk di Kuala Lumpur seperti Jalan Pahang, Jalan Gombak dan Jalan Cheras. ''Ini akan dilakukan tanpa menaikkan kadar tol di jalan-jalan terbabit. Jika perlu dinaikkan juga, ia dibuat pada kadar yang berpatutan dan dapat diterima rakyat,'' jelas Samy. |