JIWA TERJAJAH DI BUMI MERDEKA

Empat ratus empat puluh enam tahun lamanya, kita dijajah Inggeris, Portugis dan Belanda. Mereka semuanya sama; suku-sakat, saudara-mara berkonspirasi memadam kebenaran agama cahaya, dari persada dunia Tuhan Pencipta.

Seribu lima ratus sebelas, tahun tragedi penuh sengsara, mereka mulakan dengan Melaka, yang telah menikmati merdeka, selama lebih seratus tahun lamanya, daripada perhambaan berhala dan animisme, di zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, di bawah payung Islam sebagai agama. Melaka cuba untuk bersuaka, namun ‘Uthmaniyah Turki tidak terdaya, serangan datang dari setiap penjuru benua.

Baru dua dekad sebelumnya, tahun seribu empat ratus sembilan puluh dua tidak dilupa, nama Sepanyol bertukar daripada Andalusia, Jabal Tariq menjadi Gibraltar, Qurtubah dipanggil Cordova, segalanya bertukar nama, maka kubu terakhir Gharnatah dikenali Grenada; angkara pakatan jahat King Phillip dan Isabella. Seluruh umat selain mereka disembelih disiksa, atas nama ‘ethnic-cleansing’ (penghapusan anak bangsa), tinggallah mercu tanda sejarah negara kota, Al-Hambra menjadi saksi utama, masih mendambakan para pejuang pembela, yang entah bila kan kunjung tiba. Terima kasih kepada M. Nasir kerna mengingatkan kita dengan lagu nostalgianya Andalusia.  (lagu Andalusia diputarkan…)

Selain angkara musuh durjana, mungkin juga salah kita, apabila Islam tidak dibangga, maka tunggulah akibatnya, kan ternyata janji firman dan sabda, seperti kata Nabi kita; (nas hadis dibacakan)Dibimbangi suatu hari nanti kamu akan direbut-rebut dan dibahagi-bahagikan oleh umat-umat yang lain seperti setalam makanan direbut-rebut oleh para penjamu.” Sahabat bertanya,”Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda,”Bahkan kamu amat ramai, tetapi kamu ibarat buih di permukaan air”.

Kita tiada matlamat nyata, leka dengan suasana, ke muara air mengalir kita pun ke sana, bila dipukul gelombang gelora, hancurlah buih entah ke mana. Malang sungguh, buih itu adalah kita.

Lagi Nabi bersabda, (nas hadis dibacakan)“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta, sehingga mereka memasuki lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya”. Mereka punk, punklah kita; dadah mereka, kita pun sama; dedah mereka, kita seia, seni suara menjadi seni tayang dada, seni lakon menjadi seni pamer paha; kapitalis mereka, kita pun senada, yang kaya bertambah kaya, yang miskin makin papa, yang pintar berpeluang besar, yang lembap biarkan saja; mereka kata politik tidak campur agama, kita pun angguk mengia. Itulah kita masih terjajah minda dan jiwa.

Kini, sesudah empat puluh dua tahun merdeka, hasil pengorbanan datuk dan bapa, setelah lebih empat ratus tahun merana, seribu sembilan ratus lima puluh tujuh dilaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Tapi umpama terlepas dari mulut harimau terperangkap di mulut buaya, terselamat dari kolonialis pengacau diterkam pula sistem sekular.

Bilakah kemerdekaan sebenar menjelma? Bila manusia hanya menyembah Yang Esa, bila manusia dilingkungi aturan agama. Merdeka adalah bebas dari cengkaman kolonialis durjana, tapi bukan bermakna bebas melakukan segala. Apabila manusia bebas bertindak mengikut rasa, dah tentu ada manusia yang kecewa dan tersiksa, maka itu bukanlah merdeka, tapi merdeka adalah mengamalkan agama sejahtera adil saksama. Bila manusia bebas mengikut suka, tika itu manusia kembali menjadi hamba, dijajah oleh nafsu hawa, dikongkong oleh pangkat dan harta, halal dan haram tidak dikira, asalkan sahaja ada selera.

Ayohlah pemudi dan pemuda, belia dan orang tua, para pejuang agama bangsa dan negara, kita bebaskan jiwa dan minda, yang masih terjajah di bumi merdeka!

Bandar Baru Serting
18 Jumadil Awwal 1420H
bersamaan 30 Ogos 1999M