HENTIKAN PROJEK YANG MEMBAZIRKAN WANG RAKYAT2 Mac - Kerajaan perlu mengkaji dengan sedalam-dalamnya sebelum memutuskan untuk meneruskan projek landasan berkembar Rawang-Ipoh. Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ling Liong Sik mengumumkan bahawa kerajaan akan meneruskan projek landasan berkembar itu dan bercadang pula untuk melanjutkannya ke Padang Besar di selatan Thailand. Projek itu ditangguhkan tahun lalu kerana kegawatan ekonomi negara. Oleh kerana 'kununnya' ekonomi sudah pulih maka projek itu perlu diteruskan. Walau pun sistem landasan berkembar itu akan menyediakan sistem pengangkutan kontainer yang cekap menghubungkan Pelabuhan Klang dengan kawasan industri di pendalaman sehingga ke Padang Besar, ia disifatkan oleh pemerhati ekonomi sebagai 'pembaziran' kerana kawasan di antara Rawang hingga ke Ipoh masih belum dimajukan sepenuhnya, apatah lagi di kawasan utara. Tambahan pula stesyen dan sub stesen di mana penumpang atau kontainer barang boleh diturunkan amat terhad. Alasan mempercepatkan perhubungan rakyat sudah tidak dapat diterima kerana rakyat kini lebih selesa dengan perjalanan kenderaan sendiri yang bilangannya sudah mencecah melebihi 10 juta kenderaan di negara ini. Keputusan untuk meneruskan laluan berkembar keretapi ini adalah setelah perbincangan anggota-anggota lembaga pengarah Orient Ocean Container Line (OCCL) yang telah menyatakan minat mereka kepada PM Mahathir Mohamad semasa mengunjungi beliau di pejabatnya baru-baru ini. Ling berkata, OCCL merupakan pengguna utama jambatan darat di Amerika Syarikat untuk mengangkut kontainer merentasi negara itu. Sementara itu pemerhati ekonomi juga berpendapat Kerajaan perlu menilai semula pemberian taraf A kepada syarikat-syarikat lori pengangkutan kargo jika masih mahu meneruskan juga projek landasan berkembar ini. Ini adalah untuk menjamin bahawa sekiranya landasan berkembar dibina ianya seratus peratus dapat mengangkut kargo barangan dari mana-mana stesyen dan kawasan industri. Sementara pengangkutan kontainer yang dilakukan oleh syarikat pengangkutan lori berkontainer adalah bersifat pengangkutan dalam kawasan tertentu sahaja, iaitu dari pelabuhan darat ke kawasan industri. Jika cara ini digunakan ianya akan membantu mengurangkan kecelakaan jalanraya yang kerap melibatkan perlumbaan lori kontainer dan menjejaskan keselamatan pengguna jalanraya yang lain. Kajian yang mendalam dan reaksi pelbagai pihak diperlukan supaya projek ini tidak menjadi 'pisang berbuah dua kali' selepas kegagalam IWK meneruskan operasinya akibat 'protes' rakyat. Dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan BN secara terburu-buru dan tergesa-gesa, membazirkan wang rakyat yang jika dicurahkan nilai peruntukan-peruntukan tersebut untuk rakyat, nyata ianya dapat membantu taraf kehidupan rakyat yang semakin melarat. |