KENAPA HANYA 2 KALI SEBULAN?

2 Mac - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kebenaran yang diberikan kepada Harakah untuk diterbitkan hanya dua kali sebulan dibuat berdasarkan pertimbangan bahawa ia akhbar parti, bagi keperluan parti dan bukannya akhbar biasa untuk orang awam.

Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata parti-parti lainpun diberikan kebenaran untuk menerbitkan majalah untuk anggota mereka hanya sekali atau dua kali sebulan.

"Jadi kalau kita buat keputusan itu untuk Harakah, itu bukanlah sesuatu yang luar biasa...Umno pun keluarkan majalah untuk ahlinya dua kali sebulan," katanya ketika diminta mengulas mengenai kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Harakah semalam.

Abdullah berkata kebenaran bagi Harakah diterbitkan dua kali sebulan tidak mempunyai sebarang tujuan politik. "Kalau ada tujuan politik ia (Harakah) tak payah keluarkan langsung, tarik lesen sajalah.

"Tak ada tujuan politik...bagilah sama dengan parti-parti lain. Parti-parti lain pun tak diberi kesempatan untuk keluarkan lebih dari dua kali sebulan," katanya.

Kepada soalan lain, Abdullah berkata terpulang kepada akhbar itu untuk menentukan bila ia hendak dikeluarkan. Permit Harakah ditamatkan Isnin lepas.

Sementara itu Pengarah Urusan akhbar rasmi PAS, Datuk Hishamuddin Yahya dalam, kenyataannya semalam memberitahu 'Harakah' tidak akan diterbitkan Jumaat ini dan hanya akan diterbitkan pertengahan bulan ini dengan sedikit perubahan daripada segi konsep.

"Perubahan itu mungkin melibatkan harga, ketebalan akhbar dan sebagainya. Ini akan dibincangkan kemudian," kata Hishamuddin. Beliau berkata, pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan KDN membenarkan Harakah diterbitkan dua kali sebulan itu.

"Kita akan membuat rayuan selepas menerima surat rasmi mengenai kelulusan permit daripada KDN," katanya. Pengedaran bagi setiap naskah Harakah kini adalah antara150,000 dan 270,000.