Kenyataan
Akhbar
1
Mac 2000 (24 Zulkaedah 1420H) Sekat Penerbitan Harakah: PAS Bantah Keras
Pihak
PAS dan Barisan Alternatif (BA) mengutuk keputusan kerajaan menghadkan penerbitan
akhbar Harakah kepada dua kali sebulan berbanding dua kali seminggu pada masa ini.
Langkah zalim ini sangat bertentangan dengan amalan demokrasi yang dilaung-laungkan
oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Keputusan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini jelas sekali tidak menghiraukan pandangan umum
samada dalam parlimen mahupun luar parlimen, yang menuntut kebebasan bersuara bagi
seluruh rakyat termasuk parti pembangkang melalui penerbitan kepada ahli-ahlinya.
Pihak
kerajaan seharusnya diingatkan bahawa isu yang dibangkitkannya selama ini ialah soal
pengedaran akhbar tersebut, dan bukannya kekerapan penerbitannya. Pihak pengurusan
Harakah telah mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh KDN bagi menentukan yang
Harakah hanya diedarkan di pejabat dan markaz PAS kepada ahli PAS. Walaupun kaedah
ini menjejaskan edaran Harakah, ianya tetap dipatuhi. Namun kerjasama yang diberikan
oleh Harakah disambut dengan keputusan yang amat tidak munasabah oleh KDN.
Kita
memandang langkah kerajaan ini membawa kita semula sama seperti era penjajah di mana
suara rakyat dan kebebasan rakyat dicabuli. Inilah kesan daripada kekuasaan mutlak
yang digunakan oleh pihak BN setelah rakyat memberi mereka kuasa dua pertiga di
parlimen.
Kami
mendesak supaya KDN mengembalikan status quo penerbitan Harakah kepada dua kali
seminggu dan KDN perlu bertindak wajar dalam hal ini.
|