PERBICARAAN SAIDIN DEDAHKAN PENYELEWENGAN UMno

1 Mac - Seorang pengurus kewangan syarikat, Belinda Chow Dai Ying memberitahu mahkamah sesyen Kuala Lumpur semalam bahawa semasa menyediakan cek RM1 juta beliau sendiri tidak tahu ia adalah untuk sumbangan kepada Umno.

Katanya ketika diminta menyediakan cek tunai berpalang itu, beliau hanya diminta meletakkan nama Mikawa Sdn Bhd dan beliau sendiri tidak pernah bertanya bagi tujuan apa cek itu perlu disediakan.

Belinda, Pengurus Kewangan Bennes Engineering Bhd, memberi keterangan itu sebagai saksi ketiga pembela dalam perbicaraan rasuah bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Saidin Thamby.

Belinda berkata beliau hanya mengetahui bahawa cek itu bagi tujuan sumbangan kepada Umno apabila dirujuk oleh seorang kakitangannya, Zarina Abdul Aziz, satu atau dua minggu kemudian yang bertanyakan resit untuk pembayaran itu.

Beliau berkata perkara itu telah dirujuk kepada ketuanya Edward Lee Hock Soon dan Frankie Lee Kah Hoay yang merupakan antara Pengarah Nusantara Network Sdn Bhd ketika itu, yang memberitahunya bahawa wang itu adalah untuk sumbangan kepada Umno.

Saidin, 64, dituduh menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada Syarikat Nusantara Network Sdn Bhd pada 15 Mac 1997 lebih kurang pukul 12 tengah malam di No. 2, Jalan Selaseh 4, Taman Selaseh, Batu Caves dalam daerah Gombak.

Wang itu dikatakan sebagai upah bagi membantu syarikat terbabit mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya mereka diberikan sekeping tanah kerajaan di sebahagian daripada Lot 4287, Seksyen 4, Pekan Batu Caves, Mukim Batu, Gombak untuk dimajukan.

Saidin, bekas anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Paya Jaras, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(a) (i) Akta Pencegah Rasuah 1961 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Belinda berkata selepas membuat rujukan, beliau kemudian mengarahkan supaya Zarina meletakkan perkataan "pendahuluan kepada kontraktor" di bawah tajuk "Mikawa" dalam baucer pembayaran yang sedang disediakan.

Terdahulu beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah dirujuk oleh pihak bank berhubung pembayaran ke atas cek tunai yang dimasukkan ke akaun Saidin.

Perbicaraan ini sebagai satu bukti bahawa UMno mengutip pelbagai sumber dan melakukan penyelwengan dan rasuah untuk meneruskan aktivitinya. Apabila dikesan dan dilaporkan, pihak yang menerima akan menjadi mangsa 'kebuasan'  dan kerakusan pemimpin tertinggi parti itu untuk menyingkirkan 'penerima' berkenaan. Khidmatnya 'menerima' bagi pihak parti selama ini terus dilupakan!