|
Pengakuan Fauziah Ahmad Daud :Bagaimana Saya Boleh Berubah!
Selalunya selepas qiyamullail dan sembahyang sunat witir, apabila orang semua balik,
saya akan mencari tempat di hadapan pintu Kaabah untuk mengerjakan sembahyang sunat
taubat, sembahyang sunat hajat dan sembahyang sunat tasbih. Setelah selesai, saya
akan buat tawaf sunat dan sembahyang sunat tawaf sendirian. Kemudian saya berdoa,
Begitulah kebiasaannya. Saya selalu balik lewat ke hotel.
Pada suatu malam,
sewaktu mengerjakan sembahyang sunat, saya menangis dan menangis. Saya teringat
selama ini saya lalai, dan telah menzalimi diri saya sendiri. Saya terus memohon dan
memohan keampunan daripada Allah. Saya tidak putus asa memohon.
Sebenarnya
sudah lama saya memohon petunjuk dan hidayah daripada Allah. Biasanya selepas
merakamkan Melodi dan melaser orang, saya akan balik ke rumah memohon ampun daripada
Allah atas apa yang saya lakukan.
Mengacarakan Melodi adalah kerja saya.
Tetapi saya berpegang kuat bahawa tiada Tuhan lain bagi saya melainkan Allah. Itulah
sebabnya saya bermohon sangat supaya saya diberikan hidayah dan petunjuk.
Saya
banyak melakukan sembahyang sunat taubat dan sembahyang tahajud, hampir setiap
malam, sebelum pergi membuat umrah. Saya memohon kepada Allah supaya saya diizinkan
untuk beribadah. Saya juga memohon supaya perjalanan saya di sana dipermudahkan.
Alhamdulillah,
apa yang saya mohon semuanya dikabulkan. Tawaf saya dipermudahkan, dan di
tempat-iempat dimana doa dikira mustajab, saya diberikan kesempatan untuk beribadah.
Saya
tidak putus-putus berdoa, memohon petunjuk dan hidayah Allah. Di Malaysia, di
Madinah, di Masjid Nabawi, di makam Rasulullah, sehinggalah di hadapan Kaabah.
Alhamdulillah, doa saya dikabulkan.
Sewaktu di sana juga saya menerima banyak
dugaan. Ada orang melemparkan kata-kata yang amat kesat kepada saya. Di tanah suci
Mekah, di hadapan jamaah-jamaah yang lain. Tetapi alhamdulillah, saya boleh
tersenyum. Kemudian ada seorang di kalangan jamaah itu memberitahu saya, "Ogy,
kalau Allah ingin mengangkat martabat seseorang, memang inilah yang harus
dilalui." Saya kata, alhamdulillah, saya mampu kontrol diri, dan saya boleh
jaga mulut saya. Saya senyum, dan saya minta maaf pada orang itu, walaupun saya
tidak buat apa-apa kesalahan pada dia. Tiba-tiba saya terfikir, oh barangkali saya
pernah laser orang sewaktu mengendalikan Melodi.
Sebenarnya saya telah
bersiap sedia untuk menghadapi ujian Allah. Semakin kita mendekatkan diri kepada
Allah semakin banyak dan berat ujian yang perlu kita hadapi. Apa yang saya lalui ini
umpama nyamuk sahaja. Rasulullah lebih teruk diuji. Saya kadang-kadang terfikir,
bagaimanalah Rasulullah menghadapi ujian yang lebih besar! Oleh itu saya mesti
kuatkan hati saya. Semakin saya diuji semakin saya sujud pada Dia.
Pernah
pada suatu hari di sana, ketika menunaikan solat Maghrib, saya terasa seperti hendak
pitam. Selepas solat saya begegas balik ke hotel untuk berbuka puasa. Badan terasa
seram sejuk, macam nak demam. Saya berkata pada diri saya, "Ini semua
dugaan". Kemudian saya mandi dan ambil wuduk. Selepas itu saya bermohon pada
Allah, "Ya Allah, janganlah buat aku sakit. Aku rindu sangat nak tengok
Kaabah-Mu." Tidak sampai lima minit selepas itu badan saya pun pulih,
sehinggakan kawan-kawan sebilik dengan saya berkata,
"Ogy, tempat ni
memang tempat miracle ya?" Saya kata, "Ya, sebab di sini kita terlalu
dekat dengan Dia. Kita dapat direct access dengan Dia." Sewaktu di sana saya
memang rasa terlalu dekat dengan Allah. Pengalaman paling mengharukan saya, yang
tidak mungkin saya lupakan ialah, pada suatu malam saya terlewat pergi untuk
mengerjakan qiyamullail. Sebaik sahaja saya sampai di Masjidil Haram, saya jadi
tepaku menyaksikan di sekitar Kaabah. Berjuta orang sujud serentak apabila imam
melaungkan "Allahu akbar." Manusia daripada pelbagai lapisan semuanya
sujud pada Allah.
Saya berkata dalam hati, "Ya Allah, semua orang tak
kira siapa, sujud pada Engkau," dan saya menangis. Saya memang kuat menangis.
Saya tak dapat kontrol diri. Saya terus menangis. Saya tidak pernah mengalami
perkara macam ini.
Pada satu ketika yang lain, saya melihat ribuan orang
bergegas masuk ke Masjidil Haram untuk beribadah. Saya termenung dan berkata pada
diri saya, "Agaknya beginilah bila kita semua berhadapan dengan Dia. Semua
orang berusaha menyelamatkan diri masing-masing." Timbul kesedaran dan
keinsafan dalam diri saya, satu persatu.
Dan pada suatu hari, dalam bulan
Ramadhan, saya tak ingat malam ke berapa, sedang saya memohon sambil menangis-nangis
di hadapan pintu Kaabah, saya terdengar satu bisikan yang jelas di telinga kanan
saya. Bisikan yang bergema. Saya jadi takut. Suara bisikan itu suara seorang lelaki.
Saya dengar dia berkata,
"Sekarang sudah tiba masanya kamu menutup aurat
dan tinggalkan bidang ini." Mendengar bisikan itu saya terus mengeluarkan
kata-kata, "Aku redha ya Allah, aku rela," dan saya berjanji tidak akan
berpatah ke belakang lagi. Selepas itu saya menangis dan sujud syukur. Begitu lama
saya sujud sehingga orang ingat saya pengsan. Mereka goyang-goyangkan tubuh saya.
Allah
sayang saya. Allah juga sayang semua hambaNya. Allah maha pengasih, maha penyayang.
Apa lagi yang saya hendak? Di situlah terdetik di hati saya untuk menutup aurat.
Saya juga bertekad untuk meninggalkan dunia yang saya ceburi selama ini.
Saya
memang tak sangka perkara ini boleh berlaku. Selama ini saya cuma baca di
majalah-majalah mengenai keajaiban yang belaku di sana. Maklum sahajalah saya ni
artis. Jadi saya tak sangka perkara ini boleh berlaku pada saya. Walaupun sejak
kecil lagi saya memang telah diterapkan dengan kalimah La-ilaha-illallah Muhammadun
rasulullah, tetapi kadang-kadang saya lalai juga. Balik shooting pukul tiga empat
pagi, penat, syaitan pula hasut macam-macam.
Saya telah berkecimpung dalam
dunia hiburan sejak berumur 11 tahun. Sehingga kini sudah 26 tahun. Umur saya
sekarang sudah 37. Award apa lagi yang saya hendak, semua-nya sudah diperolehi. Nak
popular macam mana lagi? Satu Malaya dah kenal. Bahkan sampai ke Indonesia. Saya
tidak kesal meninggalkan semua ini.
Kemudian saya terfikir, barangkali Allah
tidak menilai hambaNya melalui penampilan, tetapi melihat pada hati kita.
Selepas
peristiwa itu saya mulai mengalami ketenangan jiwa dan rohani yang belum pernah saya
alami seperti itu. Hati saya berkata, "Inilah yang saya cari selama ini,
ketenangan rohani." Saya tidak pernah mengalami ketenangan seperti yang saya
alami sekarang. Selama ini jiwa saya berkecamuk. Bila kena gosip sikit saya
melenting, dan hati saya meronta-ronta bila orang berkata tentang saya.
Sekarang
saya bersyukur, alhamdulillah, saya rasa inilah petunjuk dari Allah, yang telah
mengkabulkan doa-doa saya selama ini. Sekarang saya kena sayang Allah lebih lagi.
Dia telah memberikan saya satu nikmat yang belum pernah saya rasai sebelum ini.
Dulu
saya pernah membaca dalam buku-buku... Saya gemar membaca buku-buku agama. Saya baca
mengenai kisah wali-wali dan juga sejarah nabi-nabi. Dulu saya tidak faham bila
mereka mengatakan mereka jatuh cinta pada Allah, dan mabuk kepayang pada Allah,
sanggup tinggalkan dunia semata-mata kerana ingin bersama Allah. Tetapi apabila saya
dapat nikmat ini, dapat melihat keindahannya, barulah saya faham, oh ini rupanya!
Sekarang apabila saya mengerjakan solat, saya berasa lain. Apabila ruku' atau sujud,
saya berasa begitu dekat dengan Allah. Saya selalu menangis. Hati saya akan berkata
"aku sayang pada-Mu Ya Allah", terutama apabila saya teringat selama ini
masyarakat memandang saya begitu dan begini, tetapi Allah tidak. Allah tahu isi hati
saya. Inilah yang saya cari selama ini. Saya harap Tuhan tidak menarik balik nikmat
yang telah diberikan Nya kepada saya ini.
Sebelum saya pergi buat umrah
dahulu saya kerap bermimpi saya memakai telekung. Saya tidak tahu apa alamatnya,
Saya takut nak bertanya pada orang lain mengenai perkara itu. Saya diamkan sahaja.
Tetapi setelah perkara ini berlaku, saya berkata pada diri saya, "Barangkali
inilah dia alamat mimpi-mimpi itu." Berkat kesabaran saya serta didikan
guru-guru saya seperti Ustaz Mokhtaruddin, Ustaz Abdul Hakim dan juga doa-doa
daripada ibu bapa, Kak Mimah, dan suami saya, serta keyakinan saya bahawa orang yang
sabar akan menang, saya kira inilah dia anugerah daripada Tuhan untuk saya.
Sekarang
saya rasa happy sangat. Tak pernah saya rasa macam ni. Saya berdoa pada Allah,
janganlah ditarik balik semua ini. Saya suka cara saya macam ni, berjubah, menutup
aurat, dan tak pakai mekap. Yang penting saya tahu Dia sayang saya, dan Dia hanya
menduga orang yang Dia sayang dan juga orang yang Dia beri perhatian.
Bukan
mudah untuk menjadi seperti sekarang. Saya telah melalui pelbagai dugaan dan
terpaksa bersabar. Bukan baru-baru ini sahaja, bahkan sejak beberapa tahun yang
lalu. Sejak empat hingga lima tahun yang lalu. Saya melaluinya tahap demi tahap.
Terutama sejak dua tahun yang lalu. Dua tahun yang lalu saya belajar mengecap nikmat
sabar, sehingga emak saya pun hairan.
"Eh, engkau dah tak tahu marah
ke?" kata mak saya. Saya senyum saja. "Entahlah mak. Tak tahu apa nak
dimarahkan," kata saya. Dan saya terus bersabar sehinggalah saya memperolehi
apa yang saya perolehi sekarang.
God is the greatest. Saat ini saya rasa
seperti dilahirkan semula sebagai Muslim. Dan saya juga rasa seperti dalam pantang,
takut salah cakap. Saya bimbang kalau saya sombong dan riya', Tuhan akan
bolak-balikkan iman saya. Dan perkara itu cukup mudah bagi Tuhan melakukannya.
Sewaktu
saya membuat tawaf wida' saya pernah berdoa sambil menangis-nangis di depan Kaabah.
Saya berdoa "Ya Allah, janganlah jadikan kedatanganku ini sebagai kedatangan
yang terakhir." Kini saya menjadi agen membawa orang pergi umrah dan haji,
Alhamdulillah! Saya akan kerap ke sana. Saya boleh terus menghampiri Tuhan |