PAS: TIDAK LIBERAL ATAU LEBIH SEKULAR

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menyifatkan bahawa sokongan dari bukan Islam terhadap PAS bukan kerana parti itu lebih sekular atau liberal. Sebaliknya PAS cuba untuk mengasaskan kehidupan bermasyarakat dan negara berteraskan satu sistem hidup yang lebih universal iaitu berdasarkan sistem yang dianjurkan oleh Islam.

PAS tidak perlu untuk bersifat liberal dan lebih lagi sekular kerana Islam yang PAS berpegang adalah sarat dengan pelbagai unsur liberalisme dan kebebasan.

Berdasarkan Islam, PAS menghormati kebebasan bercakap, kebebasan berpersatuan, kebebasan menganut apa sahaja agama dan budaya termasuk bahasa asalkan tidak menghina dan bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis.

PAS mengambil pendekatan Islam yang turut tidak membenarkan kebebasan tanpa syarat yang dibimbangi boleh merosakkan kehidupan bermasyarakat serta mencelarukan nilai dan norma kerukunan hidup.

Kenyataan Tuan Guru adalah sebagai memperbetulkan kenyataan Presiden MCA, Lim Liong Sik yang menyifatkan sokongan kaum Cina terhadap PAS kini kerana parti itu lebih liberal sekarang.