counter.bloke.com

KERANA BUDI ...

Perbahasan webmaster dengan seorang teman berkisar terhadap ikhlas dalam memberi budi. Pepatah Melayu mengatakan orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Tapi apakah maksud budi dan bahasa dalam pepatah tersebut?

Kita mengatakan apabila kita berbudi orang yang menerima akan berbahasa kepada kita. Umpamanya jika seseorang yang sedang menaiki kereta melewati perkampongannya dan terlihat kita sedang berjalan keletihan. Pemandu kereta itu tidak mengenali kita dan bertanya 'anda orang barulah di sini? Cari rumah siapa? Atau boleh saya tolong anda?

Setelah mengetahui destinasi sebenar, pemandu kereta memberikan kita laluan untuk menaiki keretanya dan setelah sampai ke destinasi kita mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya sebagai mematuhi budaya orang berbudi, kita berbahasa ...

Contoh kedua, seorang pemandu teksi sedang mundar mandir dengan teksinya dan ternampak kita sedang berjalan keletihan. Pemandu teksi itu mungkin orang yang kita kenal dikenali sebagai Wak Bersahaja. Wak berhenti dan bertanya, 'kemana nak pergi Mat?' katanya menegur kita. Setelah faham, pemandu teksi membawa kita ke destinasi dan sebaik sahaja sampai pemandu teksi segera menunjuk meter dan jumlah yang perlu dibayar kita berikan kepadanya.

Pemandu teksi mengucapkan ribuan terima kasih kepada kita kerana sudi menaiki teksinya hari itu dan kita balas sama-sama kerana dengan kedatangan teksi itu tidaklah kita berjalan terlalu jauh menuju destinasi.

Dua contoh di atas hampir sama, melainkan watak pemandu kereta dalam contoh pertama hanya seorang pemandu biasa, memiliki kereta dan sedia menumpangkan kita. Manakala dalam contoh kedua pemandu teksi, mungkin kereta sendiri atau menyewa permit orang lain, cari makan dengan kita dan mengutip duit kita.

Dalam contoh pertama, kita perlu berterima kasih kepada pemandu kereta kerana mematuhi nilai budaya yang murni iaitu berterima kasih kerana membantu kita secara percuma untuk sampai ke destinasi yang ditujui.

Manakala dalam contoh kedua, pemandu teksi pula  sebaliknya berterima kasih kepada kita kerana sudi menaiki teksinya dan membayar harga tambang teksi. Dengan wang pembayaran itu dikumpulkan lalu dapatlah dia menjelaskan sewa kenderaan, membeli petrol, menampong kehidupannya sekeluarga dan seumpamanya.

Kerana Budi adalah lagu yang didendangkan oleh sebuah kumpulan muzik yang popular sejak sekian lama iaitu Spring. Kerana budi tergadai body. Kerana budi juga kita sering terhimpit oleh suatu perasaan dalam satu fenomena kemanusiaan yang berkesinambungan dalam hidup kita. Namun kita perlu mendalami dua sudut dalam setiap nilai budi. Inilah yang menjadi perbahasan webmaster dengan teman sebagaimana yang disebutkan di awalan penulisan ini.

Teman berkata jika anda seorang yang berada, anda merasakan pertolongan kepada seseorang itu termampu oleh anda atas ikhsan dan anda tidak memerlukan benda yang anda berikan itu, apakah pemberian anda mengharapkan balasan dari sepenerima? Apakah anda mahu berbudi dengan maksud untuk mendapat pembalasan. Apakah tidak cukup sekadar ucapan terima kasih malah anda mahu si polan yang menerima itu membalas kembali budinya dengan sesuatu nilai tertentu? Justeru itu di manakah keikhlasan kita yang memberi?

Dari sudut sipenerima pula, apakah perlu kita membalas budi orang berbudi kepada kita? Bagaimana jika kita tidak meminta budi yang ditaburkan itu, tetapi kita memang sangat memerlukannya? Apakah nilai ucapan terima kasih sahaja tidak sepadan dengan nilai budi yang dicurahkan terhadap kita. Apakah kita tidak di kalangan orang yang bersyukur, jika kita gagal membalas budinya?

Jika kita kembali ke dalam contoh satu dan dua di atas, mengapakah si pemandu teksi pula mengucapkan terima kasihnya kepada kita? Mengapa sipemandu dalam contoh pertama tidak berbuat demikian? Apakah nilai budi dalam contoh pertama dan kedua mempunyai nilai yang sama. Apakah nilai keikhlasan ucapan terima kasih oleh pemandu teksi lebih tinggi dari budi yang diberikan oleh pemandu dalam contoh pertama yang mendapat ucapan terima kasih atas budinya?

Contoh ketiga yang perlu dibincangkan dalam Minda Mingguan kali ini agak berlainan sekali. Seorang hartawan yang mempunyai perempuan simpanan berkata kepada bonser atau kepala penyangak, aku berikan kamu perlindungan dan projek jutaan ringgit secukupnya dengan syarat kamu laksanakan hukuman menurut cara kamu terhadap sendiri terhadap seorang pemuda yang menjadi pemandu khas kepada 'gundek'nya.

Bonser tadi lalu memukul dan membelasah pemuda yang miskin hidup bergantung kepada jawatannya sebagai pemandu tanpa mengetahui hubungan majikannya dengan hartawan yang selamanya ini disangkakan sebagai suami majikannya yang sah. Maka lebam-lebamlah mata pemuda miskin itu setelah pukulan bonser dilakukan dengan kedua tangan pemuda itu diikat atau dengan ertikata pemuda itu tidak diberikan peluang melawan.

Hasil dari perbuatan bonser itu, maka beliau dihadiahkan oleh hartawan itu sebahagian projeknya yang bernilai bilion ringgit dan syarat yang diberikan oleh hartawan bahawa bonser itu hendaklah berhenti dari menggasak orang lain dengan berakhir pukulannya ke atas pemuda miskin tadi, juga diterima. Amatlah tinggi nilai budi yang telah dicurahkan oleh hartawan itu disisi bonser tadi dan beliau pun bersaralah dari jawatan bonser atau kepala penyangak.

Ketinggian budi dalam contoh ketiga menyebabkan bonser 'bersyukur' kepada hartawan kerana telah menyelamatkannya dari ancaman memukul orang lain yang pasti akan didakwa di mahkamah. Justeru perlindungan dan jaminan oleh hartawan berkenaan, yang pastinya mampu miliki segalanya pasti dibalas dengan budi setimpal iaitu dengan melanyak pemuda miskin itu hingga lebam-lebam matanya. Jika tidak kerana Allah menyelamatkan, pasti pemuda itu kojol akibat tumbukan bonser yang ada niat membunuhnya.

Dari sudut hartawan pula beliau merasakan budinya telah dibayar oleh bonser tadi. Beliau merasakan bonser menepati konsep 'syukur' dan berterima kasih kepada beliau yang sudi memberikan projek bernilai bilion ringgit sebagai imbuhan kepada ketaatan bonser itu kepadanya.

Besok (6 Mac) adalah hari pembukaan perbicaraan Tan Seri Rahim Nor yang dituduh memukul dan membelasah DSAI dalam selnya pada hari beliau di tahan 20 September 1998. Sebelum ini semua hakim-hakim sudah dikumpulkan bagi mendengar taklimat ringkas dari PM Mahathir Mohamad. Hakim-hakim perlu bersyukur kepada kerajaan kerana telah membayar gaji mereka sekian lama. Kesyukuran itu bukan bermakna dengan lafaz atau mengamalkan sistem kerja mengikut prosedur sebenar.  Hukuman yang dijatuhkan pula bukan atas dasar perbahasan antara peguambela dan pendakwa tetapi kerana membalas budi yang ditabur sekian lama.

Setiap budi itu mesti dibalas, bukan sahaja dengan terima kasih tetapi juga dengan nilai perbuatan yang melambangkan terima kasih. Itu nilai yang dituntut dari kita. Jika tidak kita dikatakan tidak bersyukur kepada Allah. Fatwa baru ini dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, bukan Majlis Fatwa Kebangsaan yang sewajarnya membuat keputusan.

Sebenarnya orang yang tidak tahu berterima kasih itu sering menuntut kita berterima kasih kepadanya. Manakala kitta dianggap bersyukur dan berterima kasih sekiranya kita menjalankan tugas mengikuti prosedur kerja dan perkara itu tida pula bercanggahan dengan Al-Quran dan Hadis. Nilai terima kasih sebenar bukan di nilai oleh manusia. Kesempatan menulis sebegini juga adalah sebagai terima kasih dan syukur kepada Allah kerana mengajak diri  dan orang lain membuka minda ke arah kebaikan.

Menulis dengan melulu dan tuduhan sempit sebagaimana pandangan Kassim Ahmad dalam Utusan Meloya hari ini, 'semua ini perlu kita lakukan dalam konteks apa yang dikatakan 'tatadunia baru' yakni sistem imperialis dunia baru yang dipimpin oleh kaum Anglo-Saxon. Tanda kemunculan kuasa imperialis ini ialah Perang Teluk, atau lebih tepat perang pencerobohan terhadap Iraq oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh kaum imperialis ini.

Namun demikian, kita tidak harus fikir bahawa kuasa imperialis ini akan kekal lama kerana ia juga akan runtuh, sepertimana telah runtuhnya kuasa imperialis Kesatuan Soviet.

Konteks ini sangat berbahaya kepada perjuangan bangsa kita, kerana kaum imperialis ini menggunakan segala alat, termasuk kumpulan-kumpulan rakyat kita sendiri dan termasuk alat canggih Internet, untuk menjajah kita semula.

Begitulah sifat orang yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih, lalu menggunakan kesempatan menulis untuk membuat fitnah yang nyata terhadap mereka yang berjihad dan mengharapkan keredhaan di sisi Allah!!

Polong Cyber
https://mindarakyat2.tripod.com/
5 Mac 2000