counter.bloke.com

EVOLUSI DIPERSIA, REVOLUSI SEMAKIN NYATA!!

Keangkuhan UMno menuding jari ke arah parti lawan khususnya PAS sudah membuahkan natijah yang digeruninya. Semakin ditekan, semakin dimomokkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah, sebaliknya PAS bangun makin berani, makin gagah!! Suatu impak yang tidak pernah terduga sebelum ini oleh sesiapa hatta oleh Mahafiraun sendiri.

Kekentalan PAS semakin menyerlah kerana walau telah dipergunakan sehabisnya media perdana untuk menggambarkan betapa 'jijiknya' perjuangan parti yang memperjuangkan Islam itu, sokongan terhadap parti itu tidak juga luntur. Sebaliknya makin kuat dengan sokongan dan dokongan secara terbuka dan berani pelbagai pihak.

Berita penyertaan dua 'insan' yang suatu masa dahulu pernah mendapat publisiti meluas media, secara rasmi dan terbuka sebagai ahli PAS  sesuatu yang luar dugaan. Siapa menyangka Fauziah Ahmad Daud, penyanyi, pelakon setelah mendapat hidayah sekembalinya menunaikan umrah baru-baru ini mendokong perjuangan PAS. Dalam sidang medianya Ogy meminta rakan-rakan artis menyertai perjuangan PAS kerana beliau kini percaya dan yakin hanya satu parti di Malaysia hingga saat ini yang ikhlas berjuang demi Islam, demi kepentingan ummah.

Justeru bukan Ogy Ahmad Daud sahaja yang berkata demikian, malah ramai lagi. Begitu pula Dr. Abdul Hamid Arsat, pakar sakit puan yang seringkali mengutarakan pandangan dan buah  fikiran serta kepakarannya dalam bidang perubatan melalui siaran RTM suatu waktu  dulu. Apakah Dr. Abdul Hamid dan Ogy Mat Daud telah melakukan sesuatu yang dikatakan terkeluar dari garis keIslaman mereka? Apakah Astora Jabat lebih benar, atau apakah Dato' Haji Dusuki lebih Islam?

Suara keadilan rakyat makin bergema di merata-rata pelusuk rantau negara ini. Suara itu bukan sahaja menggemparkan kota dan laluan utama ibu negara. Malah suara keadilan makin jelas bertiup dari daerah pendalaman yang miskin dan masih jauh dari kemajuan kota. Suara keramat itu sudah lama didendangkan, makin kerap, makin jelas dan popular. Persis lagu popular minggu ini, suara yang menginginkan keadilan makin didengari hari demi hari, waktu demi waktu. Siapakah pencipta lagu keadilan ini? Siapakah penyanyinya dan siapa pula yang gemar mendengarnya?

Suara keadilan adalah suara keramat. Tuntutan samarata dalam pelbagai bidang dan keutamaan dalam bidang tertentu sudah semakin dibualkan. Tuntutan rakyat semakin jelas. Mereka tidak dapat menerima kenaikan harga barangan di pasaran tanpa sebab yang nyata. Mereka juga tidak dapat menerima pelbagai kenaikan berbagai barangan dan perkhidmatan yang semakin liar, semakin memuncak dan semakin mendesak. Siapakah yang mampu menahan kenaikan itu?

Sebagaimana dalam tulisan saya melalui minda mingguan minggu lalu, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan itu sama seperti aliran air sungai yang melimpah. Tidak mampu disekat atau dibendung. Ini berpunca dari polisi yang lemah dalam sebuah kerajaan yang mengaku kuat dan gagah! Golongan kapitalis dalam negara mengambil kesempatan ini melakukan 'penyembelihan' beramai-ramai ke atas rakyat negara ini yang tidak berdosa!!

Tuntutan keadilan bukan dalam kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Malahan tuntutan itu diperdengar dalam mesyuarat agong cawangan UMno yang berlangsung serentak  di seluruh negara, Ahad lalu. Pelbagai cerita menarik diperdengarkan melalui rakan yang masih mahu mengikuti perkembangan UMno yang disifatkan mereka sebagai parti hampir 'nazak' itu. Ada cawangan yang hadir 2 atau 3 orang sahaja, kemudian menjemput orang tua khususnya wanita dan gambar mereka dirakamkan dalam pelbagai sudut. Pastinya ini sebagai bukti bahawa mesyuarat agong cawangan itu sudah berlangsung dengan lancar!

Terdapat kisah di mana perdebatan hangat di kalangan wanita untuk merebut jawatan Ketua Wanita UMno cawangan. Ini hanya berlaku di kalangan hardcore UMno. Ahli yang datang hanya mampu menggelengkan kepala melihat perdebatan dan percakaran antara sesama mereka. Parti sudah hampir runtuh, namun mereka masih mahu bercakaran sesama sendiri.

Semuanya ini menggambarkan bahawa suara rakyat semakin berdendang dengan jelas. Evolusi dan nilai perjuangan selama ini makin dilupakan. Suara yang bergema  seperti halilintar menyambar, meraung menyamai sebuah tuntutan revolusi rakyat. Apakah tidak mungkin berlakunya sebuah revolusi rakyat?

Kehadiran Dato Haji Dusuki tidak menggentarkan pihak lawan UMno. Bahkan kehadiran Haji Dusuki  dianggap sebagai kehadiran seorang imam tatkala hendak menyembahyangkan jenazah yang terkujur. Tidak mampu menyaksikan ucapan kalimat terakhir sebuah parti orang Melayu yang sedia dikebumikan. Bacaan talqin yang benar dan menakutkan itu hanya untuk manusia yang masih hidup. Yang mati hanya menunggu pembalasan dan soalan mungkar nangkir.

Apakah manusia yang masih hidup mahu menerima kenyataan ini? Bahawasanya jenazah UMno sudah bersedia untuk dikebumikan? Segera, bacakan talqin untuk UMno. Jemput Haji Dusuki untuk membacakannya dan kemudiaan diikuti bacaan doa yang akan di'amin'kan oleh Yusoff Nor, Wan Mokhtar atau Hamid Othman. Siapakah yang mahu menyangkal kenyataan ini?

Bisikan reformasi kini menjadi pekikan dalam UMno sendiri. Dua jawatan yang dibrahminkan akan dipecahkan monopoli dan kekuasaannya. Satu petaka akan berlaku. Hari yang panas secara tiba-tiba memperdengar kilat sabung menyabung. Halilintar membelah bumi perpaduan. UMno terburai laksana berlakunya kiamat. Apakah masih relevan perjuangan itu?

AlhamduliLah sebaliknya berlaku dalam perjuangan memartabatkan Islam sebagai puncak kekuasaan. Biar pun difitnah dan dimomokkan dengan rakus, dokongan dan perjuangan yang berlaku dalam PAS dan BA semakin laju menuju puncak kecemerlangan. Semakin dihimpit semakin gagah. Anih! laksana  peranan sebuah 'spring' yang berfungsi di sebuah kenderaan. Henyakan dan hentakan membuatkan ia makin hebat, makin dikagumi.

Buah-buah kejayaan sudah memutik setelah berbunga sekian lama. Daun ikhlasan menutupi buah-buahan itu, yang hanya menunggu hari untuk ranum dan akan dipetik untuk merasakan nikmat kemanisannya. Pokok perjuangan yang diasaskan semenjak awal tahun 50'an di Gunung Semanggol menampakkan kesan mendalam. Hisbul Muslimin, tidak sia-sialah perjuangan ulama selama ini. Bertukar wajah menjadikan PAS lebih terkenal. Bukan sekadar di kalangan umat Islam sahaja, malah orang yang berada di luar Islam sudah bersedia menjenguk kehebatan perjuangan Islam. Kehebatan kepimpinan ulama.

Kekaguman mereka bukan khayalan lagi. Ucapan dan suara sokongan mereka makin terbuka dan makin jelas. Mungkin ini semata sebagai  menepati saat kehancuran UMno dan kecemerlangan BA khususnya PAS. Ini juga menepati ayat 1 hingga 3 surah An-Nashr bermaksud:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong. Maka bertashbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampunlah kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat"

Maka kemenangan ini bukan satu ciptaan manusia. Namun ia berlaku atas kehendak manusia itu sendiri setelah berbetulan dengan kehendakNya. Kita sebagai makhuk hanya pelengkap dalam satu sistem  dan rangkaian qadha dan qadar Allah. Mengapakah kita masih mahu menyatakan kesombongan kita dan  membiarkan diri kita berjuang bersendirian? Apakah kita tidak mahu sebagai pelengkap kemenangan ini dan menepati kehendak Allah itu?

Yang nyata suara  evolusi makin halus dan tenggelam. Gapaian reformasi mencetuskan ide bahawa kemungkinan satu cara terbaik dilakukan. Jika benar ramalan ini, adalah tidak mungkin melupakan impian untuk dijadikan kenyataan.

Revolusi, mustahilkah engkau menjadi satu kenyataan?

Polong Cyber
mindarakyat@hotmail.com
27 Februari 2000