counter.bloke.com

AGENDA MISTERI UMNo BARU 

MINGGU lalu Minda Rakyat menyentuh tentang sekelumit gerakan reformasi di Iran dan China. Apa yang telah berlaku di negara Iran perlu didalami supaya iktibar yang baik dapat dicontohi serta semangat jihad itu diterapkan kepada rakyat marhain negara ini. Begitu pula semangat juang yang kental sehingga sebuah kuasa besar dunia tunduk dan akur kepada kuasa sebenar - mahkamah rakyat!!!

Dua bukti telah tercatat dalam lipatan sejarah dunia dan sejarah manusia bahawa manusia mampu melakukan apa saja untuk perubahan. Malahan puluhan sejarah lain termasuk sejarah Firaun sendiri dan bagaimana seorang tukang sikat yang mati bersama anaknya agenda kebongkakan Firaun itu. 

Meskipun berbeda tempat, watak, masa dan kriteria sejarah, namun perkara pokoknya seseorang manusia itu boleh berubah, atau dalam kata lain sekelompok manusia boleh berubah. Atau dalam lingkungan yang lebih besar, sesebuah negara itu boleh berubah dengan berubahnya minda atau pemikiran rakyatnya.

Cuma negara kita masih belum melakukan perubahan itu dan sanggup tinggal dalam kezaliman dan terjauh dari rahmat Tuhan. Apakah agaknya yang terjadi kepada pemikiran orang Melayu? Mengapakah mereka masih mahu taat 'membabi buta' kepada seorang pemimpin yang zalim? Kesemua persoalan ini memerlukan jawapan dan tindakan dari kita.

Minggu ini saya bercadang mahu menulis sesuatu tentang 'evolusi'. Namun saya amat berterima kasih kepada Marhain Tua kerana pada 13 Februari (minggu lalu) semasa saya menulis rencana 'Perlukah Kita Merencanakan Sebuah Revolusi' beliau sudah pun menjelaskan makna evolusi beserta pandangannya sekali tentang UMNo, parti yang semakin rapuh itu. Justeru itu di minggu ini saya membatalkan niat saya untuk menulis tentang evolusi kerana pandangan saya dan MT dalam hal ini adalah bersamaan. (Sila rujuk di ruangan Minda dan Budi)

Mesyuarat agung cawangan UMNo sudah bermula dan ia nampaknya jadi satu agenda yang pelik. Umpamanya di Perak Tengah, Parit terdapat kira-kira 120 cawangan UMNo yang boleh dipersoalkan ketulenan majlis mesyuarat agung peringkat cawangannya. Bagaimana kalau suatu mesyuarat agung hanya dihadiri oleh 2 atau 3 orang ahli jawatan kuasa bersama-sama 10 atau 15 orang ahli yang lain dalam setiap cawangan? Apakah benar seperti yang pernah dikatakan oleh Setiausaha UMNo Datuk Khalil Yaakub mesyuarat sedemikian tetap sah, walau kehadiran AJK tidak mencapai separuh pun. Apa lagi mahu mencapai majoriti kehadiran.

Saya dapat satu makumat terbaru yang mengemukakan satu teori baru. Setiap bahagian perlu mengemukakan keputusan mesyuarat agung cawangannya sebelum bahagian tersebut mengemukakan keputusan bahagian masing-masing. Memang satu masalah kepada setiap bahagian UMNo apabila mesyuarat agung cawangan tidak dapat dilangsungkan kerana banyak sebab. Biar apa pun sebabnya ianya tetap menjurus ke arah kenyataan bahawa UMNo sudah dibenci dan dibuang. Penolakan keahlian bukan dibuat diperingkat MT UMNo lagi. Tetapi ahli sendiri yang memecat diri sendiri dan bertindak keluar parti. Mereka langsung tidak menghormati lagi kepimpinan bahagian UMNo, malahan kepimpinan MT dan sewaktu dengannya.

Sikap Naib Ketua Wanita UMNo Bahagian Tambun umpamanya, adalah satu pengajaran hebat kepada UMNo Bahagian Tambun bahawa mereka sedia berundur diri tanpa menunggu dipecat oleh MT UMNo. Malahan tindakan Haji Husni Hanadzlah menghantar wakil memujuk beliau supaya kembali kepada UMNo telah ditolah mentah-mentah, kerana sebelum tercetusnya 'gerakan reformasi' beliau merupakan salah seorang yang disebut-sebut akan bertanding di tiket Ketua Wanita Bahagian. Kini beliau dan suami adalah pejuang reformasi tulen kerana menyedari hakikat bahawa UMNo sudah tidak relevan dan patut dikuburkan.

Bagi UMNo Bahagian Pasir Pinji lain pula ceritanya. Ketua Bahagiannya Datuk Yahya sanggup menaja kedatangan ahli-ahli dari cawangan lain untuk hadir ke satu mesyuarat agung cawangan dan mengambil gambar kehadiran mereka sebagai 'bukti' kekukuhan dakwaan mereka bahawa setiap mesyuarat agung cawangan mendapat sambutan hangat.

Saya juga dapat satu maklumat baru yang akan saya kupas kemudian dalam ruangan Informasi bagaimana satu daripada cawangan UMNo dalam Bahagian Pasir Pinji, Ipoh bertindak terhadap mesyuarat agung 'palsu' cawangan mereka. Maklumat dan cawangan yang berkenaan akan saya paparkan kemudian untuk pengetahuan anda.

Tindakan Ketua Bahagian UMNo yang memalsukan mesyuarat agung cawangan masing-masing rupanya bukan satu perkara baru. Pada dua atau tiga tahun kebelakangan mesyuarat agung cawangan seperti satu kertas kerja yang dilakukan oleh 'one-man-show'. Keahlian UMNo sebenar juga dikutip daripada mereka yang terlalu dahagakan projek. Dan kebanyakan projek dimakan sendiri oleh ahli yang dahaga dan ahli-ahli palsu tidak mengetahui nama mereka sudah tersenarai sebagai ahli UMNo, mahupun sipenaja keahlian yang mendapat habuan projek.

Semasa negeri Perak berada di bawah pentadbiran Ramli Ngah Talib kecenderungan menerima habuan konsesi balak semestinya datang dari keahlian UMNo dan permohonan yang di'proxy'kan oleh Ketua Bahagian atau Wakil Rakyat masing-masing. Dalam setiap kali mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) seramai 4 orang wakil rakyat UMNo menerima habuan masing-masing yang sudah membariskan proxy masing-masing melalui syarikat tertentu.

Bagi setiap tahun cuma ada 2 atau 3 kali mesyuarat MMK perhutanan bersidang yang meluluskan konsesi balak bagi setiap mesyuarat kepada 4 orang wakil rakyat yang tertentu. Bukti itu amat jelas sekali kepada rakyat marhain negeri ini kerana dengan cuma sepenggal sahaja menjadi ADUN, bekas ADUN Belanja, Mohd Zaim Abu Hassan mampu memiliki sebuah rumah bernilai mencapai RM1 juta yang terletak di Taman Meru Height (sebelum Padang Golf Meru Height).

Semasa Mohd Zaim menjadi ADUN beliau tinggal di sebuah rumah kerajaan (quarters kerajaan) di Jalan Tambun (berhampiran padang polo) kerana beliau adalah exco yang susah (bekas Setiausaha Sulit Ramli Ngah Talib) kerana berjawatan seorang pegawai biasa sahaja. Namun sebaik sahaja beliau tertewas di tangan Dr. Faizol Fazli, ADUN Belanja  dari PAS, Mohd Zaim berpindah ke mahligai barunya itu.

Pemalsuan mesyuarat agung cawangan dan pemalsuan keahlian UMNo membuktikan kepada rakyat marhain negara ini bahawa UMNo begitu rakus untuk memegang kuasa. Ini sudah pasti lahir dari satu daya tarikan yang amat kuat sehingga kepimpinan bahagian dan tertinggi parti itu sanggup bergadai golok mengumpan ajk cawangan dan ahlinya untuk membuat satu resolusi yang mereka inginkan.

Di negeri Perak Hotel Casaurina merupakan pusat perjumpaan dan perbincangan di antara ahli politik UMNo dan Barisan Nasional. Di situlah juga anda boleh menemui sesiapa sahaja dari kepimpinan bawah hinggalah kepada Menteri sekali pun. Saya sendiri tatkala berdampingan bersama korporat UMNo (kerana saya bukan base politician) kerapkali berjabat tangan dengan Hamid Albar, Ting Chiew Peh, DSAI, Ramli Ngah Talib, Mohamad Nazri Aziz, Zahid Hamidi dan lain-lainnya yang kesemua mereka ini bertaraf menteri.

Skandal di Casaurina perlu dibongkar untuk menjadi tatapan rakyat sekelian bahawa apa sahaja mampu berlaku di sini bagi memenuhi impian politik dua tiga kerat pimpinan UMNo negeri bahagian dan cawangan. Pada tahun 1995 jika tak silap saya seorang rakan saya di'kurung' untuk memudahkan cawangan beliau memenuhi agenda bahagian Kuala Kangsar mencapai satu resolusi bagi persediaan menghadapai mesyuarat agung UMNo terbesar tatkala itu sebagai menyambut pembubaran S46.

InsyaAllah sekiranya ada kekuatan saya berusaha membawakan satu ruangan baru mungkin berupa 'Skandal Dari Casaurina' sekiranya mendapat maklumat penuh dan kerjasama dari semua pihak untuk menyalurkan maklumat bagi maksud pendedahan ini.

UMNo yang dahulu mendakwa pejuang bangsa, pejuang kemerdekaan sudah hancur bersama impian Ku Li dalam tahun 1988. Kebangkitan UMNo baru di bawah dinasti Mahathirisme penuh dengan penyelewengan, korupsi, skandal dan berbagai lagi yang tak mampu dibariskan kerana dibimbangi bercampur fitnah angkara pendedahan ini. Cukuplah sekadar pernah membongkar penangkapan Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan Sakidul, membuktikan kepimpinan UMNo bergelumang maksiat dan penyelewengan.

Di awalan penulisan ini saya ada menyebutkan tentang perubahan atau lebih popular dengan sebutan reformasi. Persoalannya sehingga bilakah kita mampu dicucuk hidung dan ditendang punggung untuk menegakkan dua tiga kerat pemimpin yang bersifat zalim dan menyeleweng. Apakah saban waktu kita membaca maklumat dan penyelewengan itu seumpama kita mandi di pagi hari kerana kesejukan?

Rakyat Parit seharusnya diberikan penghormatan kerana mereka sudah sedar bahawa bersekongkol dengan kezaliman bererti mereka menempah percuma sebuah bilik di neraka sebagaimana Mohd Zaim yang sering menempah bilik di Casaurina. Perhatikanlah dengan baik surah Hud ayat 113.

Takbir!!!

Polong Cyber
20 Februari 2000