|
SAMADA TIENANMEN ATAU TEHRANPERLUKAN KITA MERENCANAKAN SEBUAH REVOLUSI?TERASA sebuah kekuatan diperlukan untuk menulis berhubung dengan tajuk yang sengaja dipilih minggu ini. Untuk diabaikan, kezaliman seolah-olah masih terus kuat mencengkam kehidupan kita. Biar tanpa mempolitikkannya, kezaliman itu sudah melewati batas politik, mengalir seperti aliran sebuah sungai yang sudah melimpahi tebingnya di kiri dan kanan tanpa dapat dikawal lagi. Aliran sungai yang melimpahi itu akan terus mengalir. Pada mulanya ia akan memenuhi segenap kawasan yang rendah, berlurah dan berlubang. Setelah semua kawasan rendah, berlurah dan berlubang dikuasai maka air akan mula meninggikan dirinya dan terus berkuasa dan mahu menguasai. Kini bukit dan kawasan sederhana tinggi akan di'tawan'nya. Pada peringkat ini limpahan air kebiasaannya akan dipanggil banjir. Justeru banjir pula akan terus mengganas memenuhi ruang yang lebih kukuh dan tinggi. Hinggakan kediaman, sawah, ladang, sudah dijejakinya. Air akan terus mengganas dan memusnahkan apa sahaja, termasuk nyawa manusia dan ternakan serta binatang liar yang hidup bebas. Rumah yang besar, gedung yang tinggi atau kapal yang besar laksana Titanic mampu diruntuhkan air. Dalam sekelip mata segala kemewahan menjadi hamparan luas tak bererti. Demikianlah angkara air jika sudah menjadi lawan. Air dan kuasa politik hampir sama sifatnya. Air yang tenang dan mengalir perlahan di mana-mana anak sungai dan tasik, selalunya menjadi idaman pengunjung setiap minggu untuk membasahkan kepanasan diri selama seminggu setelah bertebaran di bumi yang gersang. Kuasa politik yang dijana oleh keadilan dan kesaksamaan akan setenang air tersebut, memberikan perlindungan dan rahmat kepada manusia yang bernaung di bawah kekuasaannya. Acapkali ketenangan itu selalunya amat dirindukan. Namun sifat air yang mengganas seperti banjir seringkali mendapat cemuhan manusia. Kejadian itu seringkali disifatkan sebagai satu gangguan kepada keselesaan dan kebahgiaan hidup. Kuasa politik yang 'keterlaluan' demikian juga sifatnya. Setelah segala ramuan telah ada digenggaman hasil undi yang siperolehi, maka segala apa jua dasar bolehlah dilaksanakan. Lupakan segala janji-janji semasa mahu meraih undi dan laksanakan sahaja dasar yang tidak berperikemanusiaan. Apa yang lebih penting ialah kepentingan segelintir manusia bernafsu buas, tanpa menghitung kepentingan rakyat marhain yang lain. Kezaliman bermula dari pelbagai sudut. Politik, sosial juga ekonomi. Jika kezaliman itu berbau politik tidak perlu dibicarakan lagi. Tentunya anda semua maklumi. Sosial juga menjadi terancam. Perpaduan bukan diasaskan dari sudut keagamaan. Sebaliknya perpaduan dibentuk untuk melancarkan segala dasar yang menzalimi itu dilaksanakan, agar tiada mendapat tentangan sesiapa. Jika boleh biarlah rakyat marhain taat 'membabi buta'. Hidup penuh kebebasan dan bersifat 'jalang'. Tiada disiplin yang menjadi ukuran. Ibadat hanya diukur dalam sembahyang, puasa, zakat dan haji. Itu pun selalu tinggalkan. Yang lain bukan ibadat, bukan keagamaan. Fatwa begini sering dianjur oleh kuasa politik sekular, yang memisahkan agama dengan kuasa politik. Jika agama dicampurkan dengan kuasa politik, agama itu akan membataskan segalanya. Riba dan faedah dilarang. Berjudi dan minum arak tidak boleh. Nafsu kejantanan akan liar tidak terurus dan 'kununnya' menzalimi diri dan wanita yang juga seiring dengan kemahuan duniawi. Seks bebas, tajaan siapa? Ekonomi juga sama. Riba berleluasa. Penindasan dalam jualbeli rumah, kereta, tanah, industri serta apa sahaja urusniaga yang berlaku setiap hari, setiap masa. Siapakah di antara pemimpin yang mengambil berat masalah ini dan jujur mahu membendungnya? Politik sekular adalah kezaliman. Apa yang lebih penting dalam amalannya ialah peranan seorang rakyat dan sumbangannya untuk negara. Erti negara itu pula ialah segelintir pemimpin yang berkuasa. Malaysia boleh, negara boleh atau pemimpin itu sahaja yang boleh. Boleh menindas, menzalimi serta merampas wang dan harta rakyat dalam pelbagai cara yang halus dan sewaktu dengannya. Rakyat pula tak boleh. Dalam kata lain, rakyat mesti berkorban untuk pemimpin yang segelintir itu. Jika derhaka atau enggan telah ada akta yang menanti untuk menyiksanya!! Bagaimana keluar dari kezaliman ini? Mungkin satu persoalan yang akan terpacul dari setiap benak marhain yang telah terasa bagaimana kezaliman itu telah membakar diri dan anak bangsanya. Perlukah menghunus senjata membunuh kezaliman itu? Atau bagaimana caranya mengendalikan kezaliman yang berleluasa ini. Apakah ada satu cara terbaik yang dapat menyelamatkan pengorbanan jiwa dalam usaha membasmi kezaliman ini. Februari ini ada marhain di sebuah negara yang merayakan sambutan kesekian kalinya sebuah revolusi rakyat. Ia berlaku dalam tahun 1979 lalu. Hasil dari kezaliman yang berlaku oleh segenerasi pemimpin negara laksana mahafiraun yang berkuasa di negara ini, mahu terus memboloti kekayaan negara dari hasil minyaknya. Penyingkiran regim Shah di Iran menjadi titik sejarah revolusi abad moden, meskipun pernah tercetus beberapa siri revolusi sebelum ini. Kemuncaknya bermula setelah Ayatollah Khomeini yang lari dalam buangan kembali bertemu para suhada menyahut seruan jihad bersama rakyat negara itu yang sekian lama dibelenggu kuasa politik yang zalim lagi menzalimi. Pertempuran 11 Februari tahun tersebut menyaksikan ratusan ribu bilangannya yang terkorban dalam revolusi berdarah bagi menjatuhkan pemimpin regim Shah yang terakhir, iaitu Shahpur Bakhtiar. Akhirnya beliau mengumumkan perletakan jawatannya dan digantikan dengan perdana menteri yang dilantik oleh Imam Khomeini iaitu Mahdi Bazargan. Namun sebaliknya revolusi yang tercetus dalam bulan Februari 1979 itu tidak bermula dan berakhir di situ sahaja. Lipatan sejarah ini adalah untuk dikaji kekesanannya setelah berjaya menyingkirkan satu tahap kezaliman dalam satu generasi kehidupan. Pengkajian itu perlu menyeluruh supaya setiap langkah dikaji keberkesanannya dan kekesanannya serta kemantapannya, agar perlaksanaannya bukan sahaja dapat membuang jauh kezaliman tetap memelihara kehidupan sejagat yang amat berharga seterusnya. Apa yang telah berlaku di negara Iran perlu didalami supaya iktibar yang baik dapat dicontohi serta semangat jihad itu diterapkan kepada rakyat marhain negara ini. Sejarah pasti berulang dan kezaliman pasti ditumbangkan. Angin revolusi di Iran pada akhir tahun 70'an itu disambut pula oleh rakyat di sebuah negara yang menutup pintunya, siang dan malam, bertahun dan berabad lamanya. Mungkin juga medan Tienanmen perlu diingati kembali, diulangi sekali lagi dengan revolusi semangat juang yang kental untuk merobohkan tembok kezaliman pemimpin yang angkuh. Peristiwa sedekad kemudiannya itu iaitu di akhir tahun 80'an membuktikan seutuh mana sekali pun kezaliman, sehingga seutuh Tembok Besar Negeri China sekalipun, jika rakyat marhain bersatu pasti kekebalan itu rapuh dan gugur menyembah kuasa rakyat sebenar. Tajuk minda mingguan kali ini menyentuh tajuk isu yang dipaparkan dalam kuiz di awal pertemuan laman ini iaitu 'bagaimana UMNO harus ditumbangkan'. Alternatif itu berada di minda anda setelah mengkaji sejauhmanakah kekesanan setiap sesuatu itu untuk diputuskan dan dilaksanakan. Dan setelah diputuskan, keputusan yang jitu dalam bentuk satu jemaah dan perkumpulan diperlukan untuk menentukan gerak langkah selanjutnya. Pilihan itu samada secara pilihanraya, revolusi atau evolusi perlu dihormati!!
Polong Cyber |