|
KALAU TAK LARAT BERSILAT ELOK LAGI BERSILA
ANTARA PENCAK SILAT DAN KALARIPAYAT
(Artikel ini adalah
satu tribut kepada Ahli UMNO Bahagian Tanah Merah Kelantan yang mencorakkan aliran sejarah
UMNO di alaf baru)
Memang telah lama kita duga dan memang lama sudah
dijangkakan, gelanggang pencak silat Melayu akhirnya dibuka juga untuk menyaksikan
gelagat dua wira Melayu yang terbilang, selama ini. Wira Tua yang sekian lama PURA-PURA
terlalu gian mahukan seorang penanding menunjukkan kelakian di gelanggang, kini mendapati
cabarannya terjawab sudah. Terpulanglah pada orang UMNO seluruh negara menentukan berapa
lama pula rentak gong yang perlu dipalu sebelum persilatan kedua-dua wira itu
dipertarungkan.
Begini rupanya kehendak alam politik orang Melayu di alaf baru.
Mahathir terpaksa mencabar Tengku Razaleih secara berterus terang untuk menyatakan
hasratnya samada mahu bertanding atau tidak. Mungkin cabaran itulah yang ditunggu-tunggu
oleh Tengku Razaleih (Ku Leigh) selama ini. Sebelum itu dia terus menggunakan taktik
sindir-menyindir, sambil mengemukakan beberapa cadangan agar UMNO memperbaikki keadaan
suasana pemilihan para pemimpinnya di persidangan UMNO Mei nanti.
Masa Yang
Mematangkan Ku Leigh
Kelewatan Ku Leigh membuat pengumuman tentang kesediaannya
menandingi jawatan tertinggi dalam parti adalah satu bukti betapa masa yang lalu telah
menjadi guru yang paling berkesan kepada beliau. Seperti yang kita tulis dalam
"Setiap Rentak Ada Gongnya":
.....`` Tengku Razaleigh yang
banyak menghabiskan masanya di London, tidak berapa faham akan mainan politik di
tanahairnya sendiri. Budaya berterus terang yang dipelajarinya ketika di London dulu,
dianggapnya sebagai budaya UMNO, juga. Sedangkan itulah budaya yang diseleweng oleh setiap
pemimpin parti. Mereka lebih rela berpura-pura dengan cara berterus terang itu sebagai
topeng untuk menyorokkan perangai buruk mereka sebenarnya."........
Memang,
Tengku Razaleih bukannya calang-calang manusia dalam dunia politik Melayu. Kepercayaan
saya ini seperti yang banyak kali saya tuliskan dalam penulisan saya, sudah tentu
merupakan imej kepercayaan majoriti besar ahli UMNO di bahagaan Tanah Merah Kelantan.
Saya yakin ramai lagi ahli UMNO yang mempunyai pendirian dan keyakinan seperti ini.
Sebagai seorang ahli politik yang pernah berkhidmat kepada semua Perdana Menteri Malaysia
dalam sejarah negara ini, Ku Leigh amat faham apa ertinya kuasa politik. Mungkin
kesedarannya terhadap 'kuasa' itu selepas beliau tidak lagi menjadi anggota kabinet
Mahathir mematangkan beliau untuk memahami betapa pentingnya beliau bertarung sekali lagi
bagi pucuk pimpinan parti. Kini, beliau datang lagi, dengan penuh kesedaran bahawa
perlawanannya kali ini adalah satu persilatan mengikut rentak gong yang sudah lama dipalu
oleh Mahathir dan konco-konconya.
Tengku Razaleigh tentu sedar, lawannya Mahathir
kali ini bukannya Mahathir yang sama yang pernah ditentangnya pada kali pertama dulu.
Ketika itu Mahathir dianggap oleh Razaleigh sebagai seorang ahli politik yang setara
dengannya. Kerana itu beliau dan juga para penyokongnya yang setia telah cuai sedikit
untuk meneliti setiap langkah baik bunga ataupun buah silat Mahathir. Malahan, ketika
pengundian, kecuaian Tengku Razaleigh dan para penyokongnya terserlah sudah. Mungkin juga
keyakinan yang berlebihan yang telah membuatkan kecuaian itu menjadi satu kealpaaan yang
memuncak sehinggakan mereka lalai, selalai-lalainya.
Memang begitulah hukum alam
dalam sesuatu pertarungan. Setiap peserta terpaksa berwaspada sehingga pertarungan itu
sudah diisytiharkan tamatnya. Sehinggakan pertarungan itu sudah mengisytiharkan
pemenangnya yang mutlak. Tengku Razaleigh sudah faham akan fenomena ini sekarang.
Kerana itu dia sudah berjaya menyimpan rahsia hatinya selama ini untuk tidak menyatakan
kesediaannya untuk bertanding jawatan dalam parti.
Bila Gong Mahathir Terus
Dipalu
Kita juga telah menjangkakan betapa Mahathir sudah mempunyai rencana
tersendiri untuk melemahkan pengaruh Ku Leigh terhadap rakyat yang mahukan UMNO kembali
bernafas gerang kembali. Kerana itu dia telah merencanakan agar tiga orang Menteri Besar
di Utara pergi ke luar negara dan besuara lantang sebagai satu kumpulan juara. Maka
tersebutlah kisah betapa tiga Menteri Besar daripada Perlis, Kedah dan Perak yang berpadu
suara mencadangkan agar Ku Leigh hanya dilantik bagi jawatan Naib Presiden sahaja. Alasan
mereka ialah "mahukan UMNO tetap bersatu."
Walaupun satu bahagian di
Perak telah mencadangkan nama Tengku Razeleigh bagi jawatan Naib Presiden, Tengku
Razaleigh masih tidak bersuara. Dia sengaja berdiam diri kerana mahu menguji suasana.
Laksana seorang pendekar pintar dan bertenaga dia hanya menghembuskan nafas panasnya dulu
ketika itu. Tidak ada 'bunga' dan 'buah' yang datang dari jurusnya ketika itu. Taktik ini
sudah dibaca oleh Mahathir sebagai satu taktik yang melampau. Kerana itu Mahathir cuba
menyanggah suasana dan mahukan Ku Leigh menyatakan hasratnya secara terbuka. Mahathir
berbuat demikian sebenarnya untuk mematikan sebarang spekulasi politik ketika dia berada
di Jakarta. Dia tidak mahu soalan pertarungan antara Ku Leigh dan beliau menjadi
soalan sensasi di Indonesia. Maklumlah, ketika itu dia mahu menonjolkan imej sebagai
seorang negarawan terulung yang layak dan mempunyai kredibiliti menjadi penasihat kepada
seorang peresiden kepada negara di mana rakyatnya adalah lapan kali ganda daripada
jumlah rakyat di Malaysia ini. Dengan lain perkataan, Mahathir telah memukul gong
persilatannya terhadap Ku Leigh semata-mata untuk mengabui rakyat Indonesia khususnya akan
keperwiraan yang ada padanya. Kalau kita bandingkan taktik cakap besar Mahathir selama ini
terutama sekali ketika dia menangani masalah Anwar Ibrahim, kita tahu Mahathir bersuara
lantang terhadap Ku Leigh dengan tujuan mengacah sahaja. Tidak lebih dari itu. Dia fikir,
kalau dia mampu mengacah Anwar selama ini dan tidak menerima reaksi negatif yang ketara
darinya, tentu sekali dia mampu berbuat demikian juga terhadap Ku Leigh. Sayang, Mahathir
tersilap langkah. Tengku Razaleigh yang dicabarnya itu bukannya manusia yang berada di
Sungai Buluh dan tidak mampu bersuara untuk menyanggahnya kembali. Ku Leigh amat faham
akan taktik Mahathir kali ini dan faham akan tipu helah itu.
Pukulan
Gong Yang Sumbang
Memang, kita menjangkakan taktik Mahathir kali ini akan merupakan
satu taktik yang sumbang dan akan memakan dirinya sendiri. Mungkin Mahathir sendiri tidak
perasan kenapa banyak sekali taktik politiknya tidak mengena sasaran dan matlamat yang
dianggarkan oleh para straegisnya. Terlalu banyak contoh yang boleh kita ungkitkan di
sini, tetapi eloklah kita imbas sahaja kerana ia amat memalukan orang Melayu juga
akhirnya. Upacara memerangi 'Fitnah lawan', majlis ucapan Mahathir yang menggunakan orang
upahan sebagai penyambut kedatangannya adalah segelintir contoh yang boleh kita ungkit
sebagai bahan kesedaran kepada orang UMNO yang memang kita tahu suka membaca artikel
seperti ini. Memadailah kalau kita katakan, taktik-taktik politik Mahathir bukan sahaja
sudah tidak mengena sasarannya, malahan semakin kerap taktik ini tidak pun menjadi.
Kenapakah agaknya ?
Kita tahu, Mahathir adalah seorang pakar politik yang
merancang banyak strategi. Dia menggunakan juga pakar strategi Amerika seperti yang
ditonjolkan oleh anak-anaknya. Dia mempunyai ramai penyokongnya di kalangan orang Melayu
yang amat taksub dengan kepimpinannya. Di kalangan orang yang bukan Melayu, memang
ramai penyokong Mahathir yang mahukan beliau terus berkuasa. Mereka mahu terus berpaut
kepada kuasanya dan terus menenggek kuasa itu untuk terus memperkayakan diri mereka.
Kekayaaan yang mereka perolehi sejak lapan belas tahun yang lalu mengikut kaedah ini
sudah membutakan mata dan hati mereka akan kehadiran berjuta orang Melayu yang
memperhatikan sahaja gelagat mereka itu. Kepada mereka, rakyat marhain Melayu sudah tidak
penting lagi. Mahathir adalah segala-galanya. Mereka lupa Mahathir akan terus berkuasa
HANYA kalau majoriti Melayu yang mereka perlekehkan itu akan terus mengundi 'nabi'
mereka itu dan terus mahukan kepimpinannya.
Memang, kalau kita lihat cara
Mahathir berkempen untuk menonjolkan dirinya, banyak sekali unsur amalan politik Amerika
dan juga negara barat yang lainnya. Inilah amalan terbaru dalam dunia politik Melayu.
Tetapi, apakah impaknya terhadap UMNO dan Mahathir sendiri, akhirnya ? Terlalu jelas,
hampir semua amalan baru menonjolkan Mahathir sudah ditolak oleh orang Melayu secara
keseluruhannya. Termasuk juga semua pemimpin Melayu yang diketahui amat rapat dengannya.
Kesan
negatif yang ditanggungi oleh Mahathir dan UMNO dalam penonjolan imej beliau itu
sebenarnya bukan sahaja satu tamparan kepada orang Melayu dan UMNO. Yang paling
kerugian adalah orang Melayu sendiri kerana kebanyakan perbelanjaan untuk menonjolkan imej
itu datangnya daripada rakyat juga. Kita tahu, kebanyakan projek menaikkan imej Mahathir
yang ditaja oleh UMNO adalah menggunakan wang kerajaan. Ini bererti, wang rakyat yang
digunakan untuk projek itu. Lihat sahaja apa yang dilakukan untuk projek Rakan Muda.
Berapa juta wang yang digunakan untuk mempromosikan projek itu yang digunakan bagi bidang
percetakan dan iklan? Siapakah yang membolot peruntukan itu kalau bukan Lim Kok Weng,
balaci penonjolan imej Mahathir ?
Bagaimana pula dengan segala projek untuk
melatih-tubi pemikiran pegawai kerajaan yang memberi kepentingan untuk menonjolkan
nama Mahathir. Lihat sahaja apa yang sedang dilakukan oleh hampir semua saluran Radio dan
TV di negara ini. Sebagai contohnya, ketika Mahahir berada di Jakarta, satu program yang
dikelolakan oleh Radio Saluran Lapan dan dikendalikan oleh Isa Ghani (kalau saya tidak
silap) telah menghabiskan hampir satu jam mengulang-ulang satu rencana Utusan Melayu
tentang pengiktirafan yang diberikan oleh orang Moscow terhadap Mahathir. Kita mampu
ketawa dengan rencana itu kerana kalau sesiapa yang pernah pergi ke Moscow tentu akan
mampu memberitahu penyiar tersebut betapa orang Russia tidak mampu membeli akhbar sekarang
ini kerana wang untuk membeli roti dan bawang untuk dijadikan sup pun merupakan
sesuatu yang amat pahit bagi mereka. Mungkin penyiar tersebut dan juga penerbitnya tidak
faham keadaan di Russia sejak dua puluh tahun yang lalu, kita orang luar mampu
mendapat hiburan daripada gadis Russia hanya dengan mengunjukkan beberapa keping
'Chewing Gum' yang boleh dibeli di kedai bebas cukai di pintu masuk lapangan terbang
Russia. Kalau kita belikan sebotol minuman setan, kita mampu berlibur mengikut rentak gong
syaitan pula.
Demikianlah cara jentera propaganda Mahathir beroperasi sekarang ini.
Tidak kira apa bahannya, asalkan masuk akal sikit pun akan dipergunakan untuk megabui
fikiran orang Melayu bahawa "Mahathir adalah segala-dalanya dalam kehidupan orang
Melayu di alaf baru ini. Mahatirlah pemimpin terunggul dalam sejarah peradaban Melayu,
Mahathirlah itu dan Mahthirlah ini." Semuanya adalah propaganda yang menjelakkan kita
jua.
Alangkah Pintarnya Orang Kelantan
Pemilihan yang dibuat oleh UMNO
bahagian Tanah Merah adalah satu fenomena yang akan diulang berkali-kali oleh beberapa
bahagian UMNO yang lain. Kita amat yakin dengan perkara ini. Bahagian Tanah Merah adalah
pencetusnya dan akan merakamkan keberaniann mereka itu dalam lipatan sejarah UMNO,
akhirnya. Tetapi, ada sesuatu yang tersirat di sebalik keberanian itu sebenarnya.
Jikalau
kita lihat sejarah politik Melayu, orang Kelantan merupakan golongan pengundi yang sanggup
mencatatkan perubahan secara total setiap kali suasana itu memerlukan tindakan mereka.
Ketika Dato' Asri bertindak membawa PMIP ke dalam Barisan Nasional dulu, orang
Kelantan menyokongnya untuk menantikan janj-janji pembangunan yang dihamburkan oleh
pemimpin negara ini. Melalui persemuafakatan itu, UMNO terus bertaring di negeri yang
bergelar Serambi Mekah itu. Tetapi hanya untuk seketika, kerana penyelewengan yang
berpanjangan di bawah kepimpinan UMNO itu tidak dapat dibiarkan oleh rakyat lagi.
Mereka memberontak dan mengambil keputusan untuk menyingkirkan pemerintahan UMNO
yang dipimpin oleh seorang Menteri Besar yang kini menjadi Presiden Dewan Senate. Sejak
itu PAS tidak perlu menoleh ke belakang lagi. Sebagai selingan mungkin, PAS telah
bersetuju berkongsi kuasa dengan parti serpihan UMNO yang dipimpin oleh Ku Leigh (Semangat
46) sebagai satu tanda hormat oleh Tuan Guru Dato Haji Nik Aziz kepada seorang anak istana
yang lama berpolitik di peringkat pusat.
Pada pemilu ke-10 dulu, walaupun
Semangat 46 sudah terkubur dan Ku Leigh rujuk semula kepada UMNO, kepintaran TG Nik Aziz
telah menentukan Ku Leigh tidak tergugat di Gua Musang. Cuma jumlah undinya yang menurun.
Inilah salah satu contoh kepintaran orang Kelantan berpolitik.
Kalau juara pelapis
politik UMNO seperti Anuar Musa, Mustapha Yaakob, Ibrahim Ali, dan Zainal Abidin Melor
boleh tumpas di tangan muka baru PAS, bagaimanakah Tengku Razaleigh dapat bertahan di Gua
Musang ? Apakah disebabkan masih ramai pengundi di Gua Musang itu yang bukan beragama
Islam, makanya Nik Aziz tidak dapat mempengaruhi mereka untuk memberikan sokongan kuat
terhadap PAS? Mengikut penelitian ramai analis, Nik Aziz sengaja tidak mahu menggugat
Tengku Razalaeigh kerana mahukan khidmatnya sebagai 'bumper' terhadap kerakusan Sultan
Kelantan. Adalah lebih mudah untuk melembutkan kerakusan Sultan Kelantan melalui hubungan
rapat orang PAS dengan orang Ku Leigh yang rapat dengan pihak istana. Mereka mengambil
jalan ini daripada menangani hal itu secara terus dengan pihak istana itu sendiri.
Inilah muslihat politik Nik Aziz yang sepatutnya telah dipraktikkan oleh Anuar Musa ketika
beliau berkrisis dengan Sultan Kelantan dulu.
Tetapi, Anuar Musa sudah tersilap langkah
dan sanggup mentabalkan seorang 'Sultan UMNO' untuk negeri Kelantan, tanpa memikirkan
perasaan rakyat Kelantan dan juga para pemimpin PAS yang berkuasa di negeri itu. Dengan
lain perkataan, ketika Anuar Musa terlalu gian mencuba taktik perang Mahathir di Kelantan
dulu, dia lupa bahawa orang Kelantan amat peka dengan keadaan sebenarnya di negeri mereka.
Yang lebih penting lagi, orang Kelantan lebih menghormati Nik Aziz daripada Mahathir,
walaupun mereka merupakan ahli totok UMNO.
Kesimpulan
Pencalonan nama Ku
Leigh bagi menandingi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti UMNO adalah satu
fenomena yang bersejarah dan dijangka akan mencetuskan beberapa pencalonan yang serupa
daripada bahagian yang lain. Dengan mencalonkan beliau kepada dua jawatan teratas
yang telah diberahminkan di atas putar-belit politik Mahathir, bererti sudah ada bahagian
yang berani mencabar kepimpinan Mahathir itu secara terus terang. Sekaligus, pencalonan
itu membakul-sampahkan rencana jijik yang didalangi oleh tiga menteri besar negeri atas
angin yang berlagak sebagai kerbau balau yang mudah dicocok hidungnya.
Mungkin
secara kebetulan pencalonan Tanah Merah itu dibuat selepas Mahathir mencabar
Tengku Razaleigh untuk membuat pendiriannya. Tetapi, pencabaran Mahathir itu sebenarnya
adalah satu gimik politik yang dibuatnya untuk menonjolkan kredibiliti wirawannya
untuk mengabui rakyat Indonesia. Inilah taktik yang kerap dilakukannya terhadap
Anwar Ibrahim setiap kali beliau mahu berangkat ke luar negara. Apabila disoal di luar
negara akan perkara itu, dia akan bersuara lantang untuk mempertahankan kewibawaannya
sambil memperlekehkan Anwar Ibrahim dan pergerakan reformasi di tanah airnya sendiri.
Memikirkan beliau kerap berjaya terhadap Anwar, Mahathir telah mengubah topik dengan
menggunakan taktik yang sama terhadap Tengku Razaleih pula. Dia lupa bahawa Ku Leigh
bukannya seorang ahli politik yang berada di Sungai Buluh.
Apabila Ku Leigh
menyahut cabaran terbuka Mahathir itu dan disambut pula oleh pencalonan terbuka daripada
UMNO bahagian Tanah Merah, bererti terbukalah secara rasminya gelanggang pencak silat
terulung di awal alaf baru ini. Apakah gelanggang itu akan merupakan tandingan seorang
pakar silat dengan seorang pakar kelaripayat (silat India yang berasal daripada Kerala dan
diamalkan oleh kaum Malayalam beragama Islam) adalah sesuatu yang amat ditungu-tunggu oleh
semua orang Melayu.
Kini, seluruh bahagian UMNO yang belum bersidang untuk membuat
pencalonan, sudah pun bergegar. Pelbagai cerita telah kita terima dari
beberapa ketua bahagian. Semua cerita ini berkisar kepada siapakah lagi yang berani
membuat pencalonan mirip tindakan Tanah Merah itu ? Bukankah ini sistem demokrasi yang
memestikan akal yang waras mengatasi sentimen berpolitik secara membuta tuli? Kalau ada
beberapa bahagian lagi dalam sehari dua ini yang mengikuti gelagat Tanah Merah, akan
terserlah nanti kelemahan yang ada dalam perwatakan 'Mahathir sebagai pemimpin ulung
Melayu' (he,he !) di alaf lalu. Kelemahan ini akan terserlah sedikit demi sedikit dan akan
menjadi duri yang mencucuk daging tubuh diri Mahathir sendiri. Semua para strategis
Mahathir amat faham akan kesan fenomena ini kalau dibiarkan berlanjutan.
Terpulanglah
kepada bahagian UMNO yang lain untuk terus meniru tindakan orang Tanah Merah itu dan
memberikan pencalonan yang lebih banyak lagi kepada Tengku Razaleigh. Biarlah mereka
mempunyai pencalonan yang seimbang. Barulah seronok pertarungan itu nanti. Barulah ada
fenomena buku bertemu dengan ruasnya. Barulah ada ooommph, kata orang Melayu di alaf baru.
Namun,
kita mesti terus berwaspada agar pertarungan itu berjalan dalam suasana politik yang
sihat. Untuk kepentingan parti dan bukan untuk kepentingan individu dalam parti. Bukankah
itu motto Mahathir yang diulang-ulangnya selama ini ? Cuma kita tidak mahukan
Kalaripayat bertukar menjadi "Larinya seorang Keparat". Kalau itu terjadi
janganlah salahkan Ku Leigh kalau kali ini dia mengubah silat menjadi Tomoi (tinju Siam)
pula.
Marhaintua@Hotmail.com
......bersambung.... 12 Mach, 2000.
|