MENYANGGAH PENDAPAT PROF. DR. SYED HUSSEIN ALATAS
Namun, apabila penelitian demi penelitian dibuat, saya melihat Prof cuba melarikan topik perbahasan atau titik perbalahan dari tempatnya yang sebenar. Dengan kata lain, Prof tidak melakukan proses tahrir mahal an-niza` (satu istilah dalam ilmu Feqah Perbandingan). Dalam tulisannya pada 14 Mac 1999 itu, Prof memberi tiga makna sekularisme: 1) merujuk kepada kepaderian yang bukan sahaja mengasingkan diri di rumah-rumah ibadat tetapi juga terlibat dalam urusan hal ehwal duniawi; 2) satu aliran la diniyyah iaitu kefahaman tak beragama atau tak bertuhan dan; 3) merujuk kepada proses perbandaran dan industrialisasi yang menghasilkan nilai-nilai hidup tiada aturan agama seperti bersekedudukan tanpa kahwin, beranak luar nikah dan meninggalkan segala aturan agama walaupun mereka masih mengaku beragama. Dengan mencampakkan makna sekularisme yang ke-2 dan ke-3 (yang sebenarnya adalah satu dan sama sahaja), Prof tenggelam dalam mentafsir dan menganalisis maknanya yang pertama, sedangkan pada telahan saya Prof sendiri tahu bahawa sekularisme dengan makna yang ke-2 dan ke-3 itulah yang diterima pakai oleh umum di seluruh dunia, manakala makna yang pertama itu amat janggal dan tidak dipakai melainkan oleh sekumpulan paderi gereja Katolik abad pertengahan di Eropah Barat sahaja seperti yang disebutkan Prof sendiri. Umum sedia maklum bahawa setiap istilah dalam apa-apa bahasa sekalipun selalunya merujuk kepada lebih daripada satu makna. Tetapi yang diterima pakai ialah makna yang selalu dimaksudkan oleh orang ramai dalam penggunaan mereka sehari-hari. Manakala makna-makna yang janggal bagi sesuatu istilah hanya dipakai dalam bidang ilmunya yang khusus dan sememangnya sukar difahami orang awam. Jadi mengapa Prof melarikan diri daripada penggunaan umum dan muncul dengan satu makna yang amat jarang dipakai ataupun tidak lagi dipakai kerana pemakainya hanyalah sekumpulan paderi gereja Katolik di zaman pertengahan dahulu kala di Eropah Barat sahaja. Prof berada di muka bumi atau di atas awan? Jangan kerana hendak mempertahankan pihak yang telah kalah hujah, Prof menjadi seperti Tok Siak (dalam Berita Harian) atau Awang Sulong (dalam Utusan Malaysia) atau lebih parah seperti kartun Senyum Kambing, sedangkan Prof telah diiktiraf sebagai seorang sarjana, ilmuan dan ahli akademik yang dihormati. Walaupun Prof telah mengikuti jejak langkah gerakan Islam selama lebih kurang 50 tahun, adakah Prof juga pernah menyertai dan menyelami perjuangan mereka selama tempoh itu juga? Kalau jawapannya ya, mengapa Prof seolah-olah belum dapat membezakan Islam yang dimaksudkan oleh PAS dan Islam ala UMNO atau ala Dr. Mahathir? Islam pembawaan Ikhwanul Muslimin dan Islam pembawaan Taleban? Ataupun Islam mengikut takrifan Jamaat Islami dan Islam amalan Arab Saudi dan Iran? Oleh kerana Prof telah melarikan diri jauh dari makna asal sekularisme, maka natijah yang Prof perolehi jauh menyimpang. Keputusan yang dibuat masih dangkal dan nampak berpihak kepada Dr. Mahathir dan UMNOnya. Iaitu dengan menuduh Tuan Guru Nik Aziz memaksudkan sekularnya Dr. Mahathir itu hanyalah kerana beliau (Dr. Mahathir) ‘tidak dapat menerima bentuk negara yang akan ditajakan oleh PAS sebagai negara Islam yang menjalankan undang-undang yang dianggap undang-undang hudud oleh PAS’. Sungguh dangkal dan cetek! Sedangkan perkataan sekular yang dimaksudkan oleh Nik Aziz terhadap Dr. Mahathir itu adalah disengajakan supaya tidak disebut fasiq (lihat al-Qur’an surah an-Nur ayat 4 dan 5 serta tafsirannya) kerana bunyinya lebih keras walaupun makna sekular itu lebih teruk tetapi bunyinya lebih lembut. Dan mengapa pula dikatakan undang-undang dan perlembagaan yang dikehendaki PAS itu sebagai anggapan undang-undang hudud oleh PAS? Siapa yang menganggap? Hukuman ke atas penzina, penuduh orang berzina tanpa bukti, pencuri, pembuat fasad (hirabah) dan murtad itu adalah dinamakan hukuman hudud oleh Allah swt sebanyak beberapa kali dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi-Nya. Cuma di sini bukannya tempat untuk dibawa ayat-ayat dan hadis-hadis itu. Ia bukannya anggapan PAS! Oleh kerana sikap pelarian Prof tadi, maka konklusinya wujud pula istilah sekular Islam yang baru muncul pada 14 Mac 1999 oleh Prof. Dr. Syed Hussein Alatas untuk Tuan Guru Nik Aziz dan Dr. Mahathir. Jadi paling kurang Dr. Mahathir tidak kalah, dia sama sahaja dengan Nik Aziz! Saya juga dapat mengesan sikap pelarian Prof dalam artikelnya yang bertarikh 18 April 1999, iaitu yang mempersoalkan boleh atau tidak mendoakan kemusnahan musuh. Dalam artikel itu Prof menjadikan dirinya batu tempat Tan Sri Wan Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) bersandar supaya tidak tumbang dek kalahnya dalam berhujah tentang doa memusnahkan musuh. Prof lari daripada persoalan yang sebenar iaitu hakikat Wan Mokhtar tidak menyatakan Islam secara syumul dan menyeluruh. Wan Mokhtar berkata Nabi saw. mendoakan orang-orang Taif yang telah membalas dakwahnya dengan kekejaman dengan doa agar mereka diberi hidayah dan bukannya doa untuk memusnahkan mereka. Berdasarkan satu hadis ini Wan Mokhtar berpendapat adalah tidak boleh mendoakan kemusnahan musuh. Di sinilah dangkalnya ilmu Wan Mokhtar , jika benar doa itu sahaja yang beliau ketahui daripada Nabi saw.. Sedangkan banyak lagi doa-doa Nabi Muhammad saw. dan nabi-nabi yang lain meminta musuh dimusnahkan dan dilaknat. Antaranya telah dinyatakan oleh Ustaz Wan Ismail dalam artikel bertajuk Pemimpim UMNO dangkal ilmu (Harakah, 1 Mac 1999). Selain daripada itu ialah doa Nabi Nuh as. dalam ayat 26 dan 27 surah Nuh yang bermaksud: Nuh berkata,”Tuhanku, janganlah Engkau biarkan (selamat) satu pun negeri orang kafir di muka bumi ini. Sesungguhnya jika Engkau biarkan, mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu (yang lain) dan tidaklah mereka lahirkan melainkan zuriat yang melakukan maksiat lagi kufur”. Dan sebenarnya banyak lagi ayat-ayat lain yang membawa makna mendoakan kemusnahan musuh (dengan erti orang yang melampau), jika seseorang itu membaca al-Qur’an secara ikhlas dan menyeluruh (integrated citation). Di samping banyak juga hadis Nabi saw. sendiri yang mendoakan kemusnahan musuh atau melaknat kaki maksiat. Antaranya, “Allah swt. melaknat pembuat dan pemakai rambut palsu” (muttafaqun alayhi), “Allah swt. melaknat pemakan (dan semua pengamal) riba” (Muslim), “Allah swt. melaknat kabilah Ri`lun, Zakwan dan `Usoiyah kerana mereka melakukan maksiat terhadap Allah dan Rasul-Nya” (tidak dinyatakan oleh Imam an-Nawawiy sumbernya, namun beliau mensabitkannya sebagai sahih). Sebenarnya, banyak lagi doa Nabi saw. yang bukan sahaja dengan lafaz ‘laknat’ bahkan juga lafaz ‘binasakan’ jika dibuka semua kitab-kitab hadis dan sirah Baginda saw. Kalau dikumpulkan, sebuah buku tebal tentang doa memusnahkan musuh akan terhasil. Prof menyimpang daripada perbahasan sebenar lalu mempersoalkan “…adakah Dr. Mahathir itu Abu Sufyan? Pernahkah Nik Aziz dihalau dari kampung halamannya, tanah ditamparkan ke kepalanya, pengikutnya diseksa, ada yang dibunuh, dirinya dihina, dianggap gila dan diburu hendak dibunuh?” Jika jawapan kepada semua itu ialah tidak, maka tidaklah pada tempatnya (zalim) jika kita mendoakan kemusnahan musuh. Inilah satu pelarian. Orang kata Wan Mokhtar tidak amanah kerana tidak menyampaikan Islam secara syumul, tiba-tiba Prof membangkitkan soalan-soalan tadi. Kalaupun soalan-soalan itu masih relevan, apakah umat Islam perlu tunggu musuhnya benar-benar kafir, mereka dihalau dari kampung halaman, diseksa, dihina, dibunuh barulah hendak berdoa agar musuh itu dimusnahkan? Perlu difahami bahawa tidak semua orang kafir atau musuh perlu didoakan agar musnah. Yang dimaksudkan adalah yang melampau keingkarannya di kalangan mereka (kufrul juhud wal mu`anadah) sahaja dan yang melampau maksiatnya di kalangan orang yang mengaku Islam (fasiq, fajir, munafiq, `asin, munkir an-nasihah). Bukan semua orang yang tidak setuju dengan kita perlu didoakan musnah, sama ada orang itu kafir ataupun orang Islam sendiri. Jadi mereka yang dimaksudkan ialah orang yang faham tetapi memperolok-olok, diberi nasihat tapi menolaknya dengan sombong dan bongkak, tahu hukum agama tapi memutarbelitkannya mengikut nafsu dan selera sendiri. Apakah tekong-tekong UMNO tidak mempunyai sifat-sifat ini? Kalau benar mereka tidak bersifat sedemikian, kenapa mereka membela maksiat (salah satunya pertandingan ratu cantik/dedah) dan menghina pencegahnya bahkan terus menyingkirkannya? Kenapa mereka membuang penyeru makruf pencegah mungkar, bahkan mencantas dan memenjarakannya? Kenapa mereka menfitnah orang meliwat dan berzina tanpa bukti dan tidak menegakkan hukum haddul qazaf? Kenapa mereka menolak mentah-mentah nasihat ulama yang langsung tak berkepentingan, bahkan menghina dan membuat tohmahan serta fitnah terhadap seluruh ulama yang menunjukkan keikhlasan? Dan banyak lagi ‘kenapa’nya, walau kita tahu tekong-tekong UMNO tersebut ada jawapan sendiri selagi mereka tidak dibisukan oleh Allah swt. Namun jawapan dan alasan yang mereka berikan tidak lari daripada makna memutarbelit, memperolok (istihza’), negara ini berbilang kaum, atau belum sampai masanya lagi. Jadi tekong-tekong UMNO telah diberi nasihat, penerangan dan dakwah bil hikmah sama ada dari luar atau orang dalamnya sendiri, tetapi para pendakwah itu di’bunuh’ (bukan dengan erti kata mencabut nyawa). Maka itu, tidakkah puak ini telah melampau dan wajar didoakan agar musnah kerana mudaratnya amat besar terhadap orang lain? Jika Prof kata ayat-ayat al-Qur’an dan hadis tentang doa memusnahkan musuh adalah berkaitan orang kafir semuanya, sedangkan tekong UMNO masih Islam, maka tak wajar dan tak boleh mereka didoakan musnah; maka Prof perlu mendalami ‘Ulumul Qur’an dan ‘Usulul Fiqh. Para ‘pakar’ (kalau istilah ‘ulama’ tidak disenangi) dalam kedua-dua bidang tersebut berkata:”al-‘ibrah bi umum al-lafzi la bi khusus as-sabab” (Perkiraan adalah berdasarkan keumuman sesuatu lafaz, bukan berdasarkan sesuatu sebab khusus ayat atau hadis itu). Jadi tidak boleh berkata, “ayat ini untuk orang kafir di zaman itu sahaja”, sedangkan ‘kemungkaran dan sikap menentang ajaran rasul’ orang kafir itu sama dan wujud di kalangan orang Islam sekarang. Apakah Allah swt. memurkai maksiat yang dilakukan orang kafir zaman dulu sahaja, sedang maksiat yang sama dilakukan orang yang mengaku Islam sekarang tidak dimurkai? Kenapa kita mengkhianati akal kita yang dikurniakan Allah swt. ini dengan memberikan jawapan ‘ya’ bagi soalan di atas? Tentang ayat 129 (dan beberapa ayat lain) daripada surah al-A`raf yang ditafsirkan semula oleh Prof untuk menyanggah pendapat Ustaz Wan Ismail, saya mencadangkan agar Prof sendiri duduk dan belek semula kitab-kitab berkenaan sighah (bentuk) gaya Bahasa Arab dan kesannya terhadap pembinaan makna dan hukum. Prof boleh buka kitab-kitab Usul al-Fiqh seperti al-Mankhul dan al-Mustasfa (Imam al-Ghazzaliy), Nihayat as-Sul (al-Isnawiy), Syarhul Badakhshi (al-Badakhshi) dan banyak lagi. Saya tidak berminat untuk menjawab sanggahan Prof itu di sini kerana perbahasannya terlalu panjang. Satu perkara yang menyedihkan saya ialah apabila Prof berkata Wan Ismail menuduh Wan Mokhtar tidak amanah dan menyembunyikan ilmu Islam (sedangkan itu adalah fakta), dalam masa yang sama Prof menuduh Wan Ismail dengan tuduhan yang amat berat dengan berkata, “…lain dengan Ustaz Wan Ismail yang bergaya amanah dan terus terang. Wan Ismail mencipta apa yang tidak ada dalam al-Qur’an yang disabitkan…”. Saya nampak tuduhan mencipta apa yang tidak ada dalam al-Qur’an ini berdasarkan fahaman Prof yang tidak murni terhadap ayat 129 dan lain-lain daripada surah al-A`raf itu. Prof akan menarik balik tuduhan itu jika Prof betul-betul teliti dan murnikan semula fahaman terhadap ayat tersebut khususnya. Kesimpulannya, mendoakan musuh Islam yang melampau di kalangan orang kafir dan orang masih mengaku Islam sendiri adalah harus dan syar’ie berdasarkan nas-nas al-Qur’an dan hadis. Dan doa itu hendaklah umum tanpa menyebutkan peribadi tertentu sebagaimana disebutkan imam an-Nawawiy dalam Riadhus Salihin berdasarkan amalan Nabi saw. dan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ustaz Hj. Abdul Hadi Awang kepada akhbar.
Bahith `Ilmiy Azhariy, |