|
APA JADI KEPADA DETIK?
Permit Penerbitan Detik berakhir 30 November 1999. KDN, melalui pegawainya Che
Haslina Che Mamat, dalam surat bertarikh 9 Disember 1999 memaklumkan permohonan kami
untuk menyambung permit Detik diluluskan. Kami juga membayar RM500.00 seperti
diminta.
Selang tiga empat hari selepas itu, ketika menelefon pegawai yang
lebih tinggi, Tengku Mahmood Tengku Ismail, bagi mendapatkan nombor PP baru Detik,
kami dimaklumkan bahawa kelulusan itu ditarik balik. Tengku Mahmood memberitahu, ia
atas arahan pihak menteri.
Kami bertanya, "Pak Lah?" Jawab Tengku
Mahmood, "Siapa lagi Menteri Dalam Negeri?"
Episod seterusnya hanya
menjadi ulangan cerita yang tidak berkesudahan. Yang terbaru, kami dimaklumkan
bahawa pihak KDN belumpun memanggil mesyuarat untuk membincangkan masalah Detik itu.
"Saya tidak dimaklumkan lagi bila mesyuarat berkenaan akan diadakan kerana ia
membabitkan pegwai yang lebih tinggi," kata seorang pegawainya.
Saya
sendiri pergi ke pejabat Menteri Dalam Negeri di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur
memohon Abdullah Ahmad Badawi mengambil inisiatif yang perlu menyelesaikan problem
yang sengaja diadakan oleh KDN sendiri. Tidak sewajarnya KDN bersikap berdolak-dalik
dengan melengah-lengahkan pemberian nombor PP yang misteri itu.
"Kalau
you nak haramkan Detik pun, haramkan cepat. Senang sikit saya buat keputusan dengan
perjalanan syarikat kami yang tergendala sekarang. Sampai bila harus kami menanggung
kos operasi seharian tanpa pengeluaran majalah Detik," kata saya kepada seorang
pegawai KDN di Bangunan Arab Malaysian Bank, Jalan Lumut.
"Bukan senang
nak haramkan Detik," jawabnya.
"Ohh, jadi KDN sekarang sedang
mencari formula terbaik bagaimana mahu mengharamkan Detik," balas saya.
"Tidak
pula begitu," kata pegawai KDN itu.
Ya, tidak mudah menghadapi saat-saat
sukar seperti ini. Ada teman-teman menasihatkan kami agar mengambil tindakan
undang-undang kepada KDN. Kami amat menghormati pandangan dan cadangan yang
dikemukakan. Meskipun Detik terlalu kecil dibandingkan dengan penerbitan majalah dan
akhbar yang lain, rupanya peminatnya tetap setia. Kadang-kadang ada pemandu yang
menunjukkan isyarat "bagus" ketika berselisih dengan saya sambil
menunjukkan kepada logo Detik yang terpampang pada van Rusa saya.
Pejuang
Reformasi |