Pemilihan UMno tidak membawa perpecahan, Mahathir perosak UMno
Pemilihan Umno 1987 tidak membawa perpecahan, yang merosakkan parti ialah Mahathir apabila beliau menyingkirkan semua menteri dan timbalan menteri Team B dan memastikan mereka tidak dapat menyertai Umno (Baru)
Laporan : AHMAD LUTFI OTHMAN
KUALA LUMPUR : Pertandingan Umno 24 April 1987, yang menyaksikan Mahathir Mohamad menang tipis jawatan Presiden, hanya dengan majoriti 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh, disifatkan banyak pihak dalam parti itu sebagai amalan demokrasi biasa, yang sebenarnya tidak membawa perpecahan.
Isu pertandingan Team A – Team B itu sentiasa dijadikan hujah oleh Mahathir dan konco-konconya bahawa pertandingan di peringkat tertinggi akan merosakkan perpaduan Umno.
"Masalah akan timbul bukannya ekoran dendam atau rasa tidak puas hati pihak yang kalah, tetapi ia menjadi kronik apabila pihak yang menang berdendam dengan puak yang kalah dan menggunakan kuasa yang ada untuk terus menghapuskan pihak yang kalah," kata Shahrir Samad, Ketua Umno Johor Bahru, dalam satu interviu khas dengan majalah Detik.
"Bukti pertandingan 1987 tidak menjejaskan prestasi parti ialah melalui kemenangan pilihan raya kecil calon Umno di Bukit Tuku, Kelantan dan Tanjung Puteri, Johor. Pilihan raya tersebut diadakan selepas pemilihan Umno 1987," tegasnya, yang juga merupakan calon Team B yang menang Ahli Majlis Tertinggi Umno tahun itu. Wawancara eksklusif itu akan disiarkan dalam majalah khas, Debat 3, keluaran Penerbitan Pemuda, awal Mac depan.
Sementara itu, Zaharin Mohd Yasin, yang dikenali sebagai penulis surat terbuka kepada Mahathir, dalam wawancara dengan Detik merumuskan: "Pemilihan 1987 tidak menyebabkan perpecahan. Bila Dr Mahathir terpilih sebagai Presiden, tugas pertama yang dilakukannya ialah dengan memecat beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak berpihak kepadanya."
Malah, kata Zaharin, yang pernah dipecat keahliannya dari Umno, perpecahan Umno yang membawa kepada pengharaman parti itu disebabkan "keras kepala" Dr Mahathir yang tidak mahu tunduk kepada beberapa pihak supaya diadakan semula pemilihan Umno kerana terdapatnya beberapa perkara yang tidak betul seperti menipu usia perwakilan dan cawangan tidak mendaftar tetapi menyertai mesyuarat Umno bahagian.
Pada pemilihan Umno 1981 dan 1984, pertandingan berlaku di peringkat Timbalan Presiden Umno, menyaksikan Ku Li menentang Musa Hitam. Walaupun Ku Li kalah, Mahathir mengekalkannya dalam Kabinet. Maka pada pilihan raya 1982 dan 1986, Umno tetap berjaya dalam pilihan raya umum.
Tetapi pada 1999, Majlis Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan. Hasilnya, Umno kalah 32 kerusi daripada 104 yang dipertandingkan.
"Jadi, mana relevannya pendapat yang mengatakan Umno akan berpecah jika ada pertandingan dalam jawatan tertinggi parti," tanya Zaharin lagi.
Beliau menambah: "Ekoran prestasi Umno dalam pilihan raya 1969, khususnya selepas beliau sendiri kalah pada tahun itu, Mahathir menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman menuduh Perdana Menteri pertama itu sebagai nyanyok dan gila kuasa. Usia Tunku hanya 65 tahun. Hari ini Mahathir sudah berusia 75 tahun. Jadi terserahlah kepada masyarakat untuk menilai siapa yang nyanyok dan siapa yang gila kuasa."
Interbiu penuh boleh didapati dalam majalah Retak, yang akan berada di pasaran minggu depan.
Dalam pada itu, kempen di peringkat bawahan bagi memastikan Ku Li mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan tertinggi parti semakin diperhebat. Yang menariknya, lobi ini tidak datang dari peringkat atasan, tetapi digerakkan oleh akar umbi parti yang sepakat mahu Dr Mahathir digantikan segera.
"Umno ibarat pesakit yang tidak juga sembuh diubati oleh doktor yang sama. Terpulang kepada pesakit itu untuk mendapatkan rawatan lebih baik daripada doktor yang lain pula," kata seorang pembantu rapat Ku Li.
Difahamkan tumpuan bahagian Umno dalam lobi mendapatkan pencalonan itu ialah bahagian-bahagian yang ketuanya tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya lepas ataupun yang kalah kepada Barisan Alternatif.
"Jangan lupa kenyataan bekas Setiausaha Agung Umno, Mohamad Rahmat ketika Anwar dipecat dulu. Ada 90 daripada 165 bahagian Umno yang menjadi penyokong kuat bekas Timbalan Presiden Umno itu. Dan bagi mereka yang terus simpati dengan Anwar walaupun masih memegang jawatan penting dalam Umno, petunjuk undi protes kepada Mahathir ialah dengan mengundi Ku Li," kata seorang pengikut setia Anwar dalam Umno di Selangor.
"Ingat, dengan undi protes juga, Umno kecundang banyak kerusi dalam pilihan raya lalu. Ku Li mungkin bukan tokoh unggul menggantikan Mahathir, tetapi dialah yang paling layak untuk mengajar Mahathir erti demokrasi dan akur dengan suara rakyat," tambahnya.