Cerita Ogy - petanda baik bagi perjuangan BA

Saya yakin bahawa keputusan yang Fauziah Ahmad Daud (Ogy) ambil untuk kembali ke jalan yang diredai Allah dalam konteks keadaan negara yang dalam kegelutan sekarang ini adalah suatu petanda yang baik dari Allah kepada kita semua yang berjuang di jalan Allah.

Saya percaya Ogy berasa begitu terdorong untuk berbakti kepada Islam. Saya percaya Ogy juga berasa dahaga dan kehausan untuk mempelajari sebanyak mungkin mengenai agama Islam kita yang suci itu. Alhamdullilah. Bersama-sama kita berdoa agar Allah akan tetapkan keimanan kita semua.

Ingin saya ceritakan sedikit mengenai pengalaman saya. Saya bukanlah artiste seperti Ogy, tetapi jenis pekerjaan saya dulu yang memerlukan kehadhiran di-reception, luncheons dan dinners dikalangan “high society crowd” mendedahkan saya kepada arak, perempuan dan bermacam lagi maksiat dan kemungkaran. Kerana hendakkan pangkat dan kekayaan saya telah “join the crowd”, dan arak menjadi semacam 'air teh' bagi saya…pendek kata cara hidup saya terlalu sesat sekali hinggakan rakan-rakan yang balik dari meeting di Bangkok akan joke mereka terjumpa saorang budak jual bunga di persimpangan jalan dekat Dusit Thani Hotel yang sebiji muka saya.

Tapi Ogy tak lah teruk macam saya dulu. Tetapi langkah yang Ogy ambil besar maknanya bukan saja pada diri Ogy tetapi kepada kita semua. Sememangnya, saya yakin ini semua petanda yang baik dari Allah bagi kita semua.

Saya berubah 13 tahun dahulu, diwaktu saya berumur 38 tahun apabila berlaku satu peristiwa yang ganjil di Manila. Saya tidak akan cerita peristiwa ganjil di Manila tersebut sebab isteri saya sendiri pun ketawa terbahak-bahak dengan penuh ridicule apabila saya ceritakannya kepada beliau.

Saya ada menulis topik-topik agama dalam forum-forum reformasi, tetapi saya bukan berkelulusan akademik dari jurusan agama. Saya sebenarnya mula belajar membaca Al-Quran (termasuk terjemahan dan tafsiran) pada umur 38 tahun setelah berubah apabila berlakunya peristiwa Manila tersebut. Kebetulannya Allah takdirkan saya bekerja di Arab Saudi selama lebih 3 tahun, dan saya mengambil kesempatan mempelajari agama disana. Cuba buat Masters dibidang agama secara off campus tetapi Bahasa Arab saya terlalu terok dan saya berenti sekerat jalan. Saya berasa begitu dahaga sekali untuk memperolehi ilmu agama Islam kita, maklumlah setelah sesat begitu lama sekali. Hingga ke hari ini dahaga itu belum dapat di puaskan. Saya berlari kesini sana untuk mendengar ceramah agama, membeli dan membaca buku-buku agama, bertanya dan berbincang dengan ustaz-ustaz dll. Saya pernah beberapa tahun yang lalu mendekati orang Syi’ah, Arqam dan Tareqat tetapi bagi saya ada yang tak berapa kena dengan ajaran-ajaran tersebut.

Penulisan saya mengenai agama dalam forum-forum reformasi adalah hasil dari dahaga yang saya rasakan untuk mempelajari dan mengamalkan Islam. Setelah lama sesat rasa dahaga itu kuat sekali. Kadangkala saya cuba membincang atau menyampaikan sedikit sebanyak yang saya perolehi dari ceramah-ceramah agama kepada rakan-rakan dengan mendapat bermacam reaksi. Ada yang menerima dengan baik dan kami berbincnag, ada pula yang mendengar dengan teliti tapi lepas itu berkata..”aahh..aku dah tau semua tu”, ada yang mempersoalkan samada saya ni ada sijil empat sanawi lalu angkat kaki… macam-macamlah gayanya orang Melayu kita. Lain sekali reaksinya dari orang Islam dari bangsa lain yang banyak saya temui yang begitu minat sekali membincang dan bertukar maklumat mengenai Islam serta ingat mengingati antara satu sama lain.

Tapi awas, Ogy. Saya percaya Ogy akan mengalami banyak tekanan terutama dari rakan ‘dunia lama” yang telah Ogy tinggalkan. Tawakal sahaja kepada Allah. Insya Allah Ogy akan dilindungi. Saya berani kata begini sebab saya telah mengalami tekanan yang dahshat dari rakan-rakan “dunia lama” yang saya tinggalkan itu. Keadaan terlalu “hot” hinggakan saya bertukar bidang kerja (downward mobility dan bukan upwards - turun sikit kedudukkan). Tetapi kalau kita berserah sepenuhnya kepada Allah kita pasti akan selamat. Yakinlah.

Mengapa saya ceritakan mengenai diri saya? Bukan kerana riya. Hanya saya ingin mengatakan belum terlambat bagi yang belum belajar Al Quran (termasuk tafsiran) untuk mempelajarinya. Tidak terlambat walau pun umur dah lanjut untuk belajar ilmu agama Islam kita. Walau pun banyak yang telah saya pelajari tetapi hari demi hari saya dapati begitu banyak lagi yang maseh belum saya ketahui.

Dalam apa jua perjuangan yang suci seperti perjuangan reformasi kita, pasti banyak tekanan dan dugaan. Umpamanya sebagai Reformis saya telah diberi amaran secara bertulis oleh majikan, dan saya rasa segala helah sedang dicari untuk membuang saya. Tapi saya tidak rasa takut, saya tidak gentar kerana saya penuh yakin kepada pertolongan Allah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan Islam dari diperkosakan. Kalau saya dibuang kerja saya rasa penuh yakin akan dapat rezeki dari Allah dipekerjaan yang lain. Saya berserah kepada Allah sepenuhnya.

Sekiranya Ogy dan suami menghadapi sebarang apa tekanan, bertawakallah sepenuhnya kepada Allah dan jangan kompromi sedikit pun mengenai hukum-hukum dan ajaran agama Islam kita. Akan berlaku banyak percubaan untuk merosakkan aqidah, kerana musuh-musuh kita sedar doa’ adalah antara senjata yang kuat bagi kita, tetapi kalau aqidah kita rosak maka Allah tidak akan makbulkan doa’ kita.

Berpeganglah kita semua kepada kebenaran bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala-galanya. Kalau Allah katakan jadi, maka jadilah (Kun fayakun). Bagi ahli BA yang beragama Islam yakinlah bahawa Allah bersama kita semua. Saya berani berkata begini berdasarkan, antara lainnya, kes-kes murtad yang menjadi-jadi yang dibiarkan saja berlaku oleh kerajaan UMNO-BN. Allah telah berfirman dalam ayat 54 surah Al Maa-idah bahawa apabila berlaku murtad , Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka, dan mereka pun mencintai Allah. Kaum ini berjihad dijalan Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang yang mu’min dan bersikap keras terhadap orang kafir dan tidak takut dicela oleh sebarang celaan. Yakinlah wahai saudara saudari Islam samada PAS, Keadilan ,PRM atau DAP; yakinlah bahawa dalam konteks negara kita sekarang ini, kita adalah kaum itu, kaum yang mencitai Allah dan Allah cinta kepada kita. Yakinlah bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada kita kerana kita berjuang keranaNya.

Allahu Akhbar ! Allahu Akhbar ! Allahu Akhbar !

Tarabulsi.