TUNTUTAN KETERBUKAAN DAN KEADILAN YANG DIPINGGIRKAN

Amat menyayat hati jika kita bawa perasaan mengimbau insiden bagaimana usaha seorang yang benar-benar dedikasi mahu melihat negara ini membangun secara kemas dan teratur, telah terbantut secara tiba-tiba. Ramai yang mengeluh dan merasa hati tercedera.

Paling menyayat lagi ialah, apabila proses penyembuhan luka hati rakyat tidak mungkin secepat itu dibetahkan. Saban hari terlihat bagimana rakyat yang insaf melihat akan nasib srikandi pejuang rakyat terlambai-lambai berulang alik dari penjara ke mahkamah sejak beberapa bulan yang lalu. Walaupun senyuman beliau tidak pernah tawar, tapi kita tahu kesedihan menyelubungi tampuk hatinya.

Persoalan yang timbul: apakah ini tonton satu adigan kezaliman sedang bermaharajalela tanpa mereka mampu berbuat apa-apa? Dimanakah letaknya Keadilan dalam diri kita jika sesungguhnya kita yakin bahawa beliau tidak bersalah?

Jika kita tahu beliau di fitnah oleh satu kelompok yang sengaja berkospirasi, mengapa kita penganut keadilan sejagat membiarkan gejala paling aib itu berleluasa menggila-gila begitu?

Dalam konteks ini, kita sebagai rakyat sangat-sangat berharap semoga semua pihak bekerjasama. Kita tidak ingin dan tidak boleh membiarkan diri terseret dan berselingkuh dengan emosi yang kejam dan zalim. Tingkat rasional kita sejajar dengan ketamadunan peradaban dan ugama yang harus mencegah kita dari melakukan sesuatu yang merosakkkan.

Kita masih berharap supaya penentuan hukum harus mengembalikan pengadilan kedasar kekuasaan undang-undang. Kita mahu memanfaatkan kewujudan undang-undang secara luhur. Selama ini kita telah berhasil mewujudkan suatu masyarakat terbuka yang mahu ia sungguh-sungguh demokratis. Undang yang adil adalah kunci demokrasi masyarakat madani. Itu pegangan.

Seluruh rakyat berharap semoga dapat terus bebas mengajukan harapan dan kritikan, rungutan dan bantahan; tidak lagi sekadar objek yang rencana oleh pihak yang berkuasa semata. Kita sebagai rakyat mahu memainkan peranan juga. Itu juga doktrin demokrasi sejagat.

Kerana itu tidak nampak wujud, akhirnya timbullah satu riaksi – kesan dari akumulasi rasa kecewa, marah, perasaan perlakuan tidak adil, kebencian dan dendam. Emosi-emosi itu dengan sendirinya terarah kepada ''yang lain''.

Sebagai sebuah masyarakat yang terdidik dan berpelajaran segala macam disiplin (termasuk penghayatan ugama yang murni), kita telah belajar untuk menghadapi konflik-konflik dengan terbuka, rasional dan dialogal.

Pada hematnya, Demokrasi adalah bentuk kenegaraan yang memungkinkan pengelolaan konflik secara rasional dan wajar. Kita sudah memahami betapa pentingnya rasional dalam pengembalian keterbukaan sosial masyarakat. Malangnya keadaan yang wujud makin terasa menjadi suatu harapan yang sia-sia.

Malang lagi, apabila dimensi politik makin tertutup hingga membuatkan perhatian masyarakat terfokus pada unsur-unsur primordial. Seolah-olah apa jua yang ditetapkan 'pihak yang berkuasa harus diterima rakyat. Sekaligus rakyat menyaksikan riaksi yang tidak mereka ingini terjadi. Pada saat itu, rakyat semakin sering merasa diri mereka yang menjadi korban salah tafsir keatas tuntutan aman mereka. Sebaliknya tindakan mereka dianggap berunsur pencetus rusuhan.

Seharusnya, perkara paling mendasar yang harus diwujudkan dalam menangani isu masyarakat dan rakyat adalah KEADILAN yang luhur. Malangnya, pengalaman ketidakadilan itu yang makin nampak sangat-sangat meracuni hati orang. Jika begini gelagatnya, apakah perkembangan yang sedang di hayati sekarang terasa adil oleh seluruh masyarakat?

Di sekitar Dataran Merdeka, tiga umat berlainan agama dan suku kaum berdiri saling berpautan menuntut keadilan. Mereka berdemo aman sebagai yang dihakkan oleh Perlembagaan. Apakah itu rusuhan?

Malangnya, laungan keadilan yang mereka pinta, ditafsir sebagai provokasi keji, disalahtafsir hingga merosak niat luhur mereka. Begitu jugalah di Masjid Negara dulu.

Hematnya, tidak ada langsung gejala-gejala rusuhan yang dapat dijangkakan. Mereka tidak berniat melakukan sebarang provokasi.

Pasti mereka tertanya-tanya, “Apakah Demokrasi dan Keadilan sudah mati ditengah-tengah rakyat yang sedang tercekik?”

Prof. Dr. Mohd. Azil Sazuli, Ph.D (Cantab), London.
Bertugas di IPTA. KL