KENYATAAN SEBENAR YANG MENYANGGAH KETERANGAN PAHAMIN REJAB

Baru-baru ini pada hari Khamis 24 Februari 2000, Dr Mahathir telah bertemu dan berdialog dengan lebih kurang 500 Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan dan Institut Pentadbiran Awam. Di antara lain dalam taklimat dan dialognya dengan pegawai-pegawai berkenaan, Dr Mahathir telah menyentuh mengenai isu rasuah dan isu kegemarannya iaitu; mengutuk Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri.

Bersabit dengan isu rasuah, kita tidak berhajat memanjangkannya kerana sudah banyak diperkatakan mengenainya. Memadailah kalau kita katakan bahawa dalam isu ini, tindak-tanduk Dr Mahathir adalah "Cakap Tak Serupa Bikin". Tanpa segan-silu dia memberi nasihat (amaran?) kepada pegawai-pegawai kerajaan mengenai implikasi rasuah. Kita sekadar menasihatkan kepada dia: "Cerminlah diri sendiri dan Menteri-Menteri di sekeliling anda". Mana pergi itu "Pemimpin Melalui Tauladan" dan "Bersih, Cekap dan Amanah"?

Dalam dialognya Dr Mahathir sekali lagi membangkitkan isu "Kerendahan Moral Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim".

Dalam hal ini, kita ingin membangkitkan dua persoalan:
 

  1. Apakah Dr Mahathir sendiri, didalam hati sanubarinya (dengan andaian beliau mempunyai hati dan perasaan), kurang yakin dengan fitnah rekaannya sendiri maka beliau merasakan perlu mengulangi isu berkenaan berkali-kali? Atau sememangnya beliau melakukannya secara sedar, sekadar mempraktikkan kepercayaannya bahawa setiap pembohongan itu sekiranya di ulang dan di ulang beberapa kali, akhirnya, akan di percayai oleh pihak yang mendengarnya?

  2. Apakah seperti biasa Dr Mahathir ini merasakan dirinya kebal daripada arahan Mahkamah? Sungguhpun majlis tersebut merupakan majlis tertutup, hakikatnya ia masih merupakan majlis awam. Jumlah yang hadir, iaitu lebih kurang 500 orang, merupakan satu jumlah yang agak besar dan mereka ini terdiri daripada Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan. Tidakkah ini dengan jelas merupakan tindakan ‘Mengejek Mahkamah’ (contempt of Court)?

Kita juga di fahami di antara yang bercakap dalam majlis dialog tersebut, (untuk mengampu Dr Mahathir agaknya), ialah Dato Pahmin Rejab, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Sebagai menyokong hujah Dr Mahathir mengutuk Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim, beliau menyebut, di antara lain, kununnya beliau merupakan rakan baik Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim dan kununnya Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim ada menjemput beliau dalam satu majlis di rumahnya di mana (mengikut keterangan Pahmin) Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim telah merancang untuk menentang Dr Mahathir.

Disini untuk makluman umum, khususnya Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan (dengan harapan mereka tidak terkeliru dengan pengampu-pengampu Dr Mahathir), fakta sebenar adalah seperti berikut:

  1. Dato Pahmin Rejab bukan rakan baik Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim. Hanya secara kebetulan mereka sama-sama (sezaman) menuntut di Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1968-1971. Seperti umum sedia maklum, Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin mahasiswa dan penglibatannya adalah melalui Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan kemudiannya melalui Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Pahmin Rejab hanya melibatkan dirinya dalam Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya atau University Malaya Students Union (UMSU). Sebagai anggota ‘Students Council UMSU’ hubungan beliau dengan mahasiswa-mahasiswa melayu agak renggang.

  2. Majlis dirumah Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim yang disebutkan oleh Pahmin Rejab itu sebenarnya ialah perjumpaan beberapa ahli Alumni Universiti Malaya. Perjumpaan tersebut dianjurkan oleh beberapa bekas mahasiswa, di antaranya Sdr Dato Nordin Rejab, Ketua Pengarah Dewan Bandar Raya (abang kepada Pahmin Rejab). Dalam majlis tersebut, beberapa bekas mahasiswa telah naik ke pentas untuk bercakap, diantaranya termasuklah bekas-bekas pemimpin PBMUM seperti Sdr Omar Jaafar dan Sdr Dr Mahazir (sekarang Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan), sekadar menyebut beberapa nama. Sungguhpun pada malam tersebut sebilangan yang hadir ada mengkritik beberapa dasar dan tindakan kerajaan, termasuklah tindak-tanduk Dr Mahathir Mohamad sendiri. Secara umumnya, mereka yang naik ke pentas, kebanyakkannya melahirkan harapan untuk menghidupkan semangat perjuangan mahasiswa tahun 60-70an.

  3. Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan ringkasnya menyambut baik harapan bekas-bekas pemimpin mahasiswa tersebut. Beliau mengulangi prinsipnya secara tegas untuk membanteras amalan rasuah. (bekas Ketua Pengarah BPR ada hadir sama pada malam tersebut, termasuk Ahmad Sebi, penggerak belakang tabir Akhbar Straits Times). Sdr Dato Seri Anwar Ibrahim walaubagaimanapun dengan tegas menyatakan pendiriannya bahawa beliau TIDAK akan menentang Dr Mahathir Mohamad.


Inilah fakta sebenarnya. Penulis tahu kerana penulis turut hadir pada majlis di malam tersebut.

abduHU
25-02-2000