Tepat sekali jangkaan parti-parti
Alternatif sebelum pilihan raya umum lalu bahawa BN kembali "mengganas" jika
terus diberikan mandat besar, sekurang-kurangnya berbekalkan kemenangan majoriti dua
pertiga di peringkat Parlimen. Tidak mustahil beberapa projek yang diisytiharkan telah
dibatalkan akan diteruskan, mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza, dengan andaian
"majoriti rakyat menyokong kami, dan kami berhak melakukan apa saja".
Mangsa
pertama ialah beberapa pemimpin Alternatif yang didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan
dan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Mangsa berikutnya ialah media yang selama ini tidak berasa
was-was untuk menegur dan mengkritik penyelewengan dan penyalahgunaan penguasa. Target
utama, Harakah, akhbar rasmi PAS. Permitnya tidak digantung tetapi Pengarangnya, Zulkifli
Sulong bersama pencetak, diheret ke mahkamah. Edarannya hanya terbatas kepada ahli-ahli
sahaja, dan ini sebenarnya tidaklah terlalu menekan, namun syarat penjualan yang dihadkan
hanya boleh dijalankan di markaz PAS sudah dianggap keterlaluan.
Namun begitu,
ramai tidak menyedari bahawa mangsa tekanan paling dahsyat dalam isu pencabulan kebebasan
media ini ialah majalah DETIK. Permitnya yang telahpun diluluskan secara hitam putih pada
9 Disember 1999-melalui surat KDN 1505 (8757) (25), yang ditandatangani Che Haslina Che
Mamat, tiba-tiba diberitahu secara lisan, itu pun selepas Ketua Editor DETIK menghubungi
KDN-dikatakan ditarik balik oleh pihak menteri. Pengurusan DETIK sudah menjelaskan bayaran
permit sebanyak RM500.00.
KDN mengendalikan isu majalah DETIK ini secara berhelah.
Mereka menggantung tanpa tali terlebih dahulu sebelum surat tunjuk sebab "mengapa
tindakan membatalkan permit penerbitan tidak boleh dibatalkan" dikeluarkan. Ya,
bayangkan permit diluluskan pada 9 Disember 1999, "ditarik balik" pada 13
Disember, sedangkan surat tunjuk sebab KDN 1505 (8757) (26) bertarikh 24 Disember 1999
hanya dapat diserahkan kepada pemilik DETIK pada 27 Disember. Surat itu dijawab keesokan
harinya, 28 Disember dan dihantar secara tangan pada hari itu juga. (DETIK diluluskan
ketika Kabinet baru belum dibentuk dan "diharamkan" selepas MT Umno
bermesyuarat! ) Ramai bertanya, apa kesalahan besar DETIK sehingga ia dicadang untuk
"diharamkan" atau sekurang-kurangnya sudah digantung tidak bertali selama empat
keluaran? Menurut pegawai KDN, Teagku Mahmood Tengku Ismail, tiga kesalahan besar DETIK
ialah: (1) Tidak mencetak alamat penerbit. (2) Meletakkan Permit Penerbitan di bawah
kawalan orang lain. (3) Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi 0thman, tanpa memaklumkannya
kepada KDN.
Pengurusan DETIK masih menunggu keputusan sebenar yang bakal diputuskan
Menteri Dalam Negeri sendiri. Semoga majalah dua-tiga kali sebulan itu masih dibenarkan
untuk terus berdetik dan memeriahkan lagi dunia kewartawanan tanahair. Pak Lah tentu mahu
sekurang-kurangnya ada satu dua majalah serius yang tidak secara mutlak memihak pemerintah
sebagai bukti masih adanya kebebasan media di Malaysia. * AHMAD LUTFI OTHMAN