Saya merujuk artikel di MR ini tarikh 22.2.2000 oleh Cucu Datuk Bahaman (CDB)di perenggan berikut: "Penyingkiran Dato Ishak ini merupakan siri penentangan dan kebencian terhadap peranan ulamak dan agama Islam dalam membersihkan negara dari unsur-unsur maksiat. Sebelum itu, pengharaman Jemaah Al-Arqam (DA), meskipun akidahnya agak dipertikaikan kerana Aurad Muhammadiyah (AM), juga sebahagian daripada penghapusan mereka yang dianggap boleh dan bakal mengancam kekuasaannya kerana Arqam membawakan mitos Pemuda Bani Tamimnya untuk menggulingkan kerajaan Mahathir. ......"
Di sini, bukanlah saya berniat untuk membela pihak Al-Arqam secara membabi buta, tetapi adalah berdasarkan alasan untuk mengelakkan seluruh rakyat Malaysia ini dari mempertikaikan akidah seseorang sesuka hati tanpa bukti dan alasan yang munasabah. Sesungguhnya perbuatan begini amat bahaya kepada pihak yang menuduh seperti mana yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, : "Apabila berkata seseorang kepada saudaranya (sesama Muslim): " hai kafir, maka sesungguhnya dia telah menetapkan dengan ucapannya itu salah seorang daripadanya menjadi kafir, kalau seandainya itu benar. Akan tetapi, jika tidak benar maka kafir itu sendiri kembali kepada yang mengucapkannya." - Hadis riwayat Muslim.
Sesungguhnya, peristiwa pengharaman Arqam amatlah menghiris hati dan jiwa saya yang amat mengenali jemaah ini, kerana kedua ibubapa saya adalah bekas pengikut jemaah ini sewaktu saya masih bersekolah dahulu. Namun, berdasarkan pengetahuan agama yang saya miliki (sehingga kelas Khas di sek. Ugama kerajaan negeri Johor yang walaupun tidaklah sehebat mana) namun, saya tidak yakin akan tuduhan bahawa jemaah ini telah menyeleweng dari akidah Islamiah.
Anda semua boleh dapati bukti bukti yang jelas sekiranya anda semua mengikuti akan buku buku oleh Ustaz Asyaari sendiri terutamanya buku buku mengenai "Aqidah Mukmin" yang telah ditulis oleh beliau sendiri untuk beberapa siri. Sesungguhnya, isi kandungan buku itu sesiapa saja boleh baca kerana ianya jelas selari dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sama sahaja dengan apa yang saya pelajari di sekolah Ugama kerajaan negeri Johor berdasarkan kitab kitab dan ulamak ulamak Tauhid yang menjadi rujukan beliau.
Sebenarnya apa yang berlaku terhadap jemaah ini adalah sama seperti kes DS Anwar Ibrahim, di mana seluruh jentera kerajaan, baik mahkamahnya, ulamak-ulamaknya, polis-polisnya, saksi saksi yang boleh dibeli dipergunakan untuk mencipta bukti bukti sebagai membenarkan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap jemaah ini. Saya yakin ini adalah perancangan pihak yahudi yang amat takut dengan jemaah jemaah Islamiah yang sangat mementingkan kekuatan kerohanian. Di ciptanya pelbagai dakyah bagi menakutkan umat Islam akan alam kerohanian, sedangkan apa lagi yang boleh diharapkan akan kekuatan umat Islam di zaman ini, di mana umatnya umpama buih di lautan yang tidak boleh melakukan apa-apa melihat kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam yang lain.
Adapun, mereka mereka yang termakan oleh tuduhan dan bukti yang direka reka oleh kerajaan adalah mereka mereka yang hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja tanpa mendapat penjelasan dari pihak Ustaz Asyaari sendiri. Alasan pengakuan oleh Ustaz di kaca TV adalah satu cara biasa pihak kerajaan untuk memastikan rakyat percaya pada langkah langkah yang di ambil oleh kerajaaan terhadap mana mana individu yang menggugat kedudukan mereka-mereka yang berkuasa. Anda semua tahu bukan?
Pengakuan bersalah di tv banyak dipaksakan oleh pihak kerajaan sebagai membenarkan perbuatan mereka.Sedangkan jika anda dapat meneliti akan teks pengakuan Ustaz di tv tersebut (rujuk buku Arqam- tersungkur di pintu Syurga – Zabidi), tiada satu pun ayat yang digunakan oleh Ustaz Asyaari yang benar-benar mengaku bahwa beliau memang menyebarkan ajaran sesat. Pengakuan yang terpaksa itu hanyalah dilakukan apabila kerajaan memberi jaminan tidak akan mengganggu dan mengugut pengikut-pengikut Arqam lagi.
Dan kini, Allah telah membuka tembelang kerajaan setelah apa yang berlaku pada kes DSAI. Dan, sejak itulah, saya yakin sungguh sungguh bagaimana kerajaan (@mahadey) lakukan terhadap DSAI, begitu jugalah yang dilakukan terhadap Ustaz Asyaari dan jemaahnya. Tidaklah saya ini seorang pengikut yang taksub membabi buta, tetapi, bayangkanlah sekiranya TG Nik Aziz ataupun Tuan Guru Haji Hadi diperlakukan begitu oleh kerajaan, apakah seluruh ahli ahli PAS akan berdiam diri? Bezanya ahli PAS dan ahli Arqam ialah, ahli Arqam lebih lembut dan kurang emosional seperti kebanyakan ahli PAS (maaf jika menyinggung mana mana pihak). Sedangkan saya dan mereka mereka yang mengenali peribadi Ustaz sendiri sangat mengetahui bagaimana Ustaz ini seorang yang sangat mementingkan Syariat Allah, sehingga melangkah ke tandas pun Ustaz Asyaari sangat menjaga akan langkah kakinya apalagi lah pada persoalan Akidah yang sangat besar.
Jadi, apa yang saya ingin tekankan di sini, tolonglah, jangan lagi tertipu dengan dakyah kerajaan akan penyelewangan Al-Arqam (kununnya). Kerana, sepertimana yang Ustaz Asyaari jelaskan di muqadimmah buku "Aurad Muhammadiah Pegangan DarulArqam" (yang kini dilarang oleh kerajaan) yang berbunyi: "…… "Title" penuduh sebagai ulamak dan bekas ahli Jemaah Darul Arqam (Saya kurang pasti siapa yang dimaksudkan oleh Ustaz di sini kerana tidak dinyatakan dengan jelas - penulis) sendiri memungkinkan umum masyarakat Islam mempercayainya, lantas meragui dan salah anggap terhadap saya sekaligus jemaah DA, AM serta Syeikhnya Asy Syeikh As Saiyid Muhammadiah bin Abdullah As Suhaimi Rahimahullah Taala.
Ini juga memungkinkan masyarakat Islam akan sewenang-wenangnya memain atau mempersenda sendakan perkataan "syirik" dan "murtad" dituju kepada pengamal Aurad Muhammadiah." Begitu juga apabila CDB ada menulis tentang pemuda bani tamim. Saya agak kesal penulis telah menggunakan perkataan mitos, kerana pemuda bani Tamim ini ada disebutkan oleh Rasulullah di dalam hadis hadis Baginda. Cuma orangnya tidaklah ditentukan lagi. Maka apakah salah sekiranya jemaah Al Arqam berlumba lumba berusaha agar Ustaz Asyaarilah orang yang disebut oleh Rasulullah tersebut, seperti mana para Sahabat zaman dahulu berlumba lumba berusaha agar merekalah yang disebut sebut oleh Rasulullah akan di satu masa nanti akan ada seorang pemuda yang akan menjatuhkan kota Konstantinople. Waktu itu para-para Sahabat berlumba lumba berusaha agar merekalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah, namun, Takdir Allah menentukan segalanya, rupanya pemuda yang dimaksudkan oleh Rasulullah tersebut ialah Sultan Muhammad Al Fateh.
Maka apakah salah perbuatan para Sahabat dahulu? Apakah gelaran pemuda bani Tamim ini tidak boleh diapplykan pada zaman kita ini? Apakah Hadis rasulullah hanya relevan untuk waktu dahulu sahaja? Sedangkan pemuda tersebut belum lagi tiba? Namun, tidaklah bermakna ianya menjadi satu kesalahan sekiranya pendapat jemaah Arqam itu salah, kerana pemuda bani Tamim ini bukanlah menjadi asas Akidah Islamiah. Ia hanya Khilaf sahaja. Sedangkan, pendapat jemaah Arqaam tersebut ada asasnya, bukan mengaku sembarangan. Itupun, bukanlah Ustaz Asyaari sendiri yang mengaku. Cuma pendapat pemimpin pemimpin jemaah Arqam yang amat mengenali watak Ustaz Asyaari sendiri. Itu sahaja. Maka atas amaran oleh Rasulullah yang telah saya sebutkan di atas tadi, maka saya juga sepertimana Ustaz Asyaari merasa bertanggungjawab untuk membersihkan kembali nama Jemaah Al Arqam dan AM walaupun sudah terlambat. Tidaklah Ustaz Asyaari dan jemaah Arqam itu maksum, tidak.
Ya, segala apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kesilapan dan kesalahan pengikut Arqam di antaranya ialah ada di antara pengikutnya yang kurang basic Tauhidnya yang mulai menyanjung atau mengangkat Ustaz Asyaari lebih dari sepatutnya tanpa disedari oleh Ustaz sendiri, dan mendedahkan alam kerohanian ke tengah masyarakat yang mana perbuatan seperti ini boleh membawa kepada fitnah.
Dan ini jugalah kesilapan Ustaz Asyaari yang tidak menyedari akan kesalahan para pengikutnya. Namun, untuk mengatakan AM ini adalah menyeleweng dari Akidah Islam tidaklah dapat saya terima kecuali bagi mereka yang tidak ada basic Tauhid yang semata mata mengamalkan AM semberono.
Bagi anda yang mempunyai asas Tauhid yang tinggi serta pengetahuan mengenai kerohanian dan Tareqat, silalah dapatkan buku buku penjelasan Ustaz Asyaari mengenai AM ini. Janganlah anda termakan lagi fitnah oleh kerajaan dan media perdana kita. Begitu juga kepada bekas-bekas ulamak kerajaan yang kini berada di dalam PAS, yang mana pernah terlibat dalam pengharaman Arqam ini, kajilah kembali akan Aurad Muhammadiah kerana sehingga kini AM ini bukanlah diamalkan oleh jemaah DA sahaja, tetapi oleh ramai lagi umat Islam di muka bumi ini, dan seterusnya, bersamalah membersihkan nama AM dan Arqam ini.
Akhir kata, saya ingin membuat pertanyaan untuk sama-sama kita fikirkan, logikkah, setelah 25 tahun Ustaz berjuang mengajak umat Islam, bukan sahaja di Malaysia ini, malah hingga ke luar negara, setelah ramainya anak-anak muda dan orang tua yang kembali berpegang pada ajaran Islam, kembali sembahyang 5 waktu, kembali menutup aurat ketika di mana waktu itu, wanita bertudung dipandang rendah dan pakaian purdah dipermainkan, setelah berkembangnya ekonomi umat Islam di negara ini sehingga diperakui oleh pihak kerajaan sendiri, adalah semata-mata hendak mengembangkan ajaran salah? Logikkah?