TANPA terikat dengan mana-mana agenda politik semasa, marilah kita renungkan beberapa peringatan Allah sebagaimana ayat di bawah:
Isu siapakah yang layak menguasai masjid dan penyalahgunaannya seringkali diwar-warkan melalui media. Justeru itu timbul tanda tanya siapakah sebenarnya yang harus memainkan peranan bagi mengelakkan penyalahgunaan masjid?
Dari sudut perundangan negara masjid terletak di bawah penguasaan kerajaan-kerajaan negeri. Ini sama erti dengan setiap kerajaan negeri bertanggungjawab mengawasi perjalanan masjid yang berada di dalam lingkungan kekuasaannya.
Masjid bukan untuk dikuasai tetapi untuk dimakmurkan. Tidak ada ertinya mendirikan masjid tetapi dengan tujuan bermegah-megah dan mendatangkan keburukan di sisi Allah. Dalam hubungan ini Allah memberikan amarannya:
"Dan (di antara orang-orang yang munafik) itu ada yang mendirikan masjid itu untuk menimbulkan kemudaratan kepada orang (pada orang mukmin) dan kerana kekufurannya dan untuk memecahbelah di antara yang mukmin serta menunggu kedatangan orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: Kami tidak menghendaki selain kebaikan. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya)" ayat 107 - surah At-Taubah
Isu penyalahgunaan masjid bermula dengan khutbah yang didakwa menghentam kerajaan. Ia kemudian dikaitkan dengan kemerosotan undi ke atas parti memerintah saat ini. Pelbagai pihak terutamanya di pihak kerajaan BN sendiri menganggap kesempatan yang diambil melalui minda khutbah setiap Jumaat adalah sebahagiannya menyebabkan timbulnya sentimen anti kerajaan BN.
Justeru itu ia dikaitkan dengan kekalahan calon BN yang dikatogerikan sebagai tokoh ugama seperti Wan Mokhtar (MB Terengganu), Datuk Dr. Yusuf Nor dan Datuk Paduka Hamid Othman.
Kerajaan BN mengambil kesempatan ini untuk melanyak parti pembangkang terutama PAS kerana 'kununya' masjid telah disalahgunakan untuk kepentingan politik mereka. Satu penelitian yang mendalam perlu diberikan sebelum mengemukakan tuduhan dengan sewenang-wenangnya. Tanpa menghiraukan apa-apa impak selepas itu, isu ini berjaya dipolitikkan oleh segolongan tokoh agama yang ditonjolkan dalam media dan akhirnya isu masjid dianggap selesai di setakat itu.
Dalam ertikata lain, setelah terjadi perbahasan di antara pelbagai pihak maka rumusan akhirnya berpihak menyebelahi kerajaan negeri yang dikatogerikan sebagai pihak yang berkuasa ke atas masjid yang didirikan. Sebelum ini ada juga pihak yang menanggap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertanggungjawab terhadap aktiviti masjid yang disalahgunakan untuk tujuan politik seterusnya membawa kepada perpecahan masyarakat setempat.
Yang nyata Jakim hanyalah urusetia kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kepada Majlis Raja-raja. Jakim merupakan jabatan di peringkat Persekutuan dan segala perkara berkaitan dengan hal-hal agama di peringkat negeri terletak di bawah bidang kuasa Sultan atau Raja-raja Melayu. Bagi negeri-negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pula, kuasa itu terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong.
Berdasarkan fakta ini kerajaan negeri mengorak langkah kini membuat perlantikan semua ahli jawatankuasa masjid. Formula ini belum tentu merupakan satu tindakan yang tepat kerana cara perlantian dan kelayakan para ajk masjid itu masih boleh dipertikaikan. Dan walau pun Kerajaan negeri lebih hampir dengan kariah-kariah ini, mereka belum tentu akan dapat menguasai persekitaran yang berlaku.
Dalam konteks ini tidak ada untungnya, melantik ajk yang jahil agama dan bukan ahli masjid (orang yang memakmurkan masjid). Persoalan yang akan timbul nanti sejauh manakah jawatankuasa yang akan dilantik nanti benar-benar dapat memikulkan amanah mendaulatkan masjid sebagai rumah Allah sebenarnya tanpa terikat kepada sesiapa, mahu pun elaun yang bakal diterima.
Akan jadi lebih teruk lagi sekiranya terdapat unsur-unsur yang menekan kebenaran demi melindungi kegiatan yang tidak bermaruah yang dikaitkan dengan pihak berkuasa tertentu, sehingga umat Islam menjadi keliru antara kebenaran dan kepentingan.
Dalam hal ini konsep ibadat akan menjadi sempit iaitu hanya bersembahyang, berzikir dan membaca quran sahaja. Takrif sempit ini akan menjalar minda umat Islam yang jahil, tetapi kepada mereka yang sedar kepincangan ini akan beralih arah membina surau dan masjid persendirian yang tidak akan 'terbelenggu' oleh sebarang akta dan peraturan selain yang tercatat di dalam quranul karim.
Masjid adalah tempat orang Islam beribadat. Konsep ibadat pula janganlah disempitkan. Setiap jawatankuasa yang dilantik harus sedar bahawa masjid perlu menjadi pusat ibadat, pembangunan ilmu dan membangunkan ummah. Mimbar masjid setiap Jumaat pula adalah untuk membahaskan isu semasa yang menyentuh kegiatan umat Islam, sesuai dengan 5 rukun khutbah yang diwajibkan.
Jika perkara ini ditiitikberatkan kita percaya umat Islam tidak akan keliru dan potensi jemaah yang hadir pastinya memberangsangkan. Namun jika masjid disekat kebebasannya, maka masjid akan kembali sunyi dan tiada ahli yang akan memakmurkannya. Dan peranan masjid berkenaan dalam mengembangkan Islam akan terbantut .
Masjid yang pernah dikaitkan sebagai 'medan politik' sewajarnya tidak mendatangkan ketakutan pihak tertentu jika ianya memainkan peranan 'amar makruf nahi mungkar'. Tidak timbul soal caci mencaci, atau memaki hamun sekiranya peringatan yang dihamburkan melalui istitusi itu adalah dalam memberikan peringatan sesuai dengan 'ugama itu nasihat'.
Pihak yang disentuh sewajarnya menerima teguran dan nasihat yang dilafazkan melalui mimbar masjid setiap Jumaat sebagai teguran yang membina untuk kebaikan bersama. Dengan yang demikian maka barulah masjid memainkan peranannya sebagai pusat ibadat dalam takrifan sebenar mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi mungkar.
Sesebuah masjid yang bersifat sedemikian akan mendapat himpunan rahmat dan kelebihan dari Allah. Umat Islam tidak akan terkeliru dengan kebenaran yang datang dari Allah dengan 'kebebasan yang datang dari pemerintah'.
Kita bersifat angkuh terhadap Allah, selagi tidak mahu menerima teguran dan nasihat yang ikhlas tanpa mengira siapakah kita. Kita seharusnya memandang berat peringatan Allah melalui ayat 109 surah At-Taubah!!
Polong Cyber
http://mindarakyat2.tripod.com