KISAH I
Sebelum saya meneruskan coretan
politik dalam tulisan kali ini, izinkan saya menyampaikan ucapan sedih dan dukacita yang
amat mendalam kepada pembantu-pembantu rumah dari kalangan rakyat Indonesia yang telah
didera sebegitu kejam dan di luar batas kemanusiaan oleh segelintir manusia yang tidak
punya hati dan perasaan sesama insan, yang menjadi sebahagian daripada rakyat kita.
Saya cukup yakin tragedi yang menimpa ke atas beberapa pembantu rumah perempuan Indonesia
sejak kebelakangan ini bukanlah terjadi begitu sahaja, tetapi berputik dari dendam dan
sakit hati yang amat mendalam di kalangan individu Cina tertentu yang menjadi majikan
mereka.
Titisan api dendam ini terbit akibat mahu “menuntut bela” ke atas
apa yang dinamakan ‘pembersihan etnik Cina’ di Indonesia ketika saat-saat menjelang
kejatuhan Suharto pada tahun 1998 dahulu. Oleh kerana kebanyakan minoriti Cina
terutama kaum wanita khabarnya telah diperkosa oleh segelintir rakyat Indonesia yang
kurang waras akalnya ketika rusuhan meletus menjelang kejatuhan Suharto dahulu, maka
ada segelintir kaum yang sama di negara ini mahu melampiaskan kemarahan mereka terhadap
pendatang-pendatang Indonesia yang datang mencari rezeki di sini. “Revenge’ ini
digunakan sebaik-baiknya kerana hampir kesemua pembantu rumah yang terlibat adalah kaum
wanita Indonesia dan bekerja pula di rumah majikan kaum Cina, yang merasakan bahawa
sesama kaumnya dahulu telah diperlakukan sedemikian buruk oleh rakyat Indonesia yang
menjadi majoriti di sana.
Maafkan saya. Saya tidak berniat untuk menelurkan
sentimen perkauman dalam tulisan ini, tetapi inilah persepsi dan firasat yang saya
perolehi terhadap apa yang seolah-olah mahu menjadi trend baru rakyat negara ini. Jika
tidak dibendung, ianya boleh menggugat kerukunan hidup bernegara baik antara umat Islam
mahupun antara Malaysia dan Indonesia. Kerbau yang membawa lumpur sebegini perlu
disembelih awal-awal supaya ianya tidak akan memalitkan kekotoran najisnya ke muka dan
maruah kita semua. Trend penderaan sebegini tidak harus sama sekali boleh wujud dalam apa
yang dinamakan sebuah masyarakat bertamaddun dan berpendidikan. Saya amat berharap agar
kerajaan Barisan Nasional segera membendung gejala songsang ini dari terus membiak menjadi
penyakit yang mudah merebak. Saya tidak mahu nanti rakyat di negara lain akan
memandang rakyat Malaysia sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan (apakah ini sebagai
reflect kepada sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan pemimpin tertinggi kerajaan negara
ini terhadap Anwar dan pendokong reformasi, maka rakyatnya juga kini mahu menjadi kejam
sama ?) Hukuman yang berat hendaklah dijatuhkan dan jika perlu, hendaklah digubal suatu
akta baru, misalnya Akta Perlindungan Pembantu Rumah untuk memastikan majikan-majikan
berhati serigala sebegitu tidak bertindak seperti haiwan kelaparan terhadap sesama insan.
KISAH
II
Dalam mana-mana pertempuran, perlawanan atau pun peperangan, tiada suatu
yang lebih memalukan atau jatuh moral bagi seseorang itu melainkan jika mengalami
kekalahan di tangan musuh atau lawannya. Kekalahan ini pula akhirnya akan menelurkan
bunga-bunga dendam di pihak yang menerima kekalahan. Dalam Perang Teluk 1991 dahulu, dari
segi taktikal Iraq dikatakan sebagai pihak yang kalah dalam perang menentang negara
bersekutu yang diketuai Amerika. Tetapi dari segi moral, Iraq boleh dianggap menang kerana
meskipun Amerika dengan bantuan 28 buah negara sekutunya serta dengan segala kelengkapan
perang yang canggih manggih, masih gagal menewaskan Iraq seperti dirancang (2 minggu)
sebaliknya perang itu berlarutan sehingga 3 bulan lebih walaupun akhirnya Iraq ditundukkan
dengan cara yang tidak wajar sama sekali.
Saya tertarik untuk melihat
perbandingan Perang Iraq –Amerika ini seumpama ‘perang’ Ku Li vs Mahathir dalam
tahun 1987 dahulu. Meskipun Ku Li kalah (43 undi) tetapi kemenangan Mahathir itu tidaklah
boleh dianggap membanggakan. Dengan kedudukannya sebagai “kuasa besar” di kerusi
Perdana Menteri dan memperalatkan pula segala jentera kerajaan dan tipu muslihat,
kemenangan 43 undi itu amatlah memalukan bagi seorang PM yang jika dirinya masih mempunyai
harga diri. Kelicikan mengeksploitasi segala sumber kekuasaan di pihak
Mahathir membawa kepada kekalahan KU Li, sekali gus menghancurkan impian Team B untuk
menguasai tampuk pemerintahan. Kekalahan inilah yang telah menunaskan bunga-bunga dendam
yang tidak berkesudahan di pihak yang kalah tadi.
Langkah pertama Ku Li menubuhkan
Semangat46 gagal merealisasikan hasratnya meraih kemenangan. Percaturannya menubuhkan APU
dan Gagasan Rakyat dalam pilihanraya 1990 dahulu tidak membuahkan sebarang hasil
berbanding dengan gagasan Reformasi yang dilancarkan oleh Anwar. Ternyata pencak
silat yang penuh dengan tipu daya dan kelicikan yang dipamerkan Mahathir masih mampu
membuatkan lawannya tersungkur ke tanah. Penubuhan S46 merupakan bara dendam yang
begitu marak sekali menyala dan membakar dalam jiwa Team B pimpinan KU LI. Hatta ada
orang kanan KU LI sendiri yang telah bersumpah berkerat rotan membakar jambatan antara
mereka dengan UMNO (Baru) Mahathir.
Sudah lumrah alam dan amalan orang-orang
dahuluan, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan. Hampir 10 tahun S46 bernafas
sebelum akhirnya dikebumikan sendiri oleh Ku Li pada 1997. Ku Li akhirnya menyeberang
berenang-renang ke dalam lautan UMNO Mahathir selepas jambatan yang dibina dahulunya telah
dibakar oleh seorang anak Yatim dari Negeri Sembilan yang menjadi orang kanannya. Sayang
seribu kali sayang, sebaik sampai ke pulau UMNO, pengharapan yang didambakan itu tidak
seperti diharapkan. Ku Li terpaksa melantik dan menabalkan dirinya sendiri sebagai
“Gurkha” sahaja kepada Mahathir. Impiannya agar Mahathir melantiknya menjadi
‘seseorang’ dalam UMNo tidak kecapaian kerana mana mungkin dua musuh boleh tidur dalam
sebuah selimut ? Hancur lagi harapan Ku Li meskipun ketika Mahathir melawat Kelantan
selepas kemasukannya ke dalam UMNo itu beliau telah meminta maaf dan berpelukan dengan
Mahathir, tetapi si Mamak Bendahara tersebut masih tidak percaya dengan permainan
pencak silat Ku Li. Membara lagi api dendam yang belum padam itu….
Menjelang
pilihanraya 1999 si ‘gurkha’ Ku Li diberi jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNo
Kelantan dan dilantik juga sebagai ahli MKT UMNo. Merasakan dirinya telah diberi
sedikit gula-gula oleh Mahathir, KU LI menaruh harapan yang agak tinggi untuk menawan
semula Kelantan dalam pemilu 99 itu. Namun sayang sejuta kali sayang, impian
untuk memeluk gunung apakan daya tangan tak sampai. Ku Li gagal membuat kejutan yang
diharapkan dan menjadi calon tunggal Parlimen yang menang di kerusi Gua Musang. Ketika
Mustapha Mohamad sedang tergolek-golek meraung di pembaringan, Annuar Musa pula
tersedu sedan menahan kepiluan, sementara Ibrahim Al-Kataki pula menderam-deram menahan
kemarahan, Ku Li masih mampu tersenyum panjang. Kali ini aku pasti menjadi
menteri….demikianlah impian.
Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di
tengah hari. Ku dengar guruh berdentam di langit, air tempayan telah ku curahkan. Ku Li
benar-benar mengharapkan agar ‘musuh’ lamanya itu melantiknya semula sebagai menteri.
Tapi harapan cuma tinggal harapan. Impian musnah terbang melayang. Ku Li dipermainkan lagi
oleh si Mamak Bendahara. “Tidak cukup syarat” menjadi ocehan untuk menjustifikasikan
tindakan ‘membalas dendam’ oleh Mamak Bendahara. Rasional apakah yang bermain dalam
benak Mahathir jika manusia setara KU LI, yang pernah menjadi menteri paling kanan dalam
kerajaan dan menang pula kerusi Parlimen, tiba-tiba diisytiharkan ‘tidak cukup syarat’
untuk dilantik menjadi menteri ?. Dan rasional apakah yang bermain dalam benak Mahathir
jika manusia sebebal Ibrahim Al-Kataki (dahulunya) dilantik menerajui hal-ehwal
undang-undang walhal beliau adalah si buta yang tidak bertongkat untuk melihat selok belok
undang-undang ?
Nyatalah bahawa anak raja ‘gurkha’ yang kalah perang tersebut
telah diperlakukan seperti bola yang menunggu masa sahaja untuk digolkan sekali lagi. Saya
tidak faham jika perlakuan Mahathir terhadapnya itu masih tidak dapat difahami
dengan bijaksana oleh Ku Li. Dan saya akan bertambah tidak faham jika Ku Li masih mahu
terus bersabar dan bersabar daripada membuat keputusan muktamad menentang kembali Mahathir
pada Mei depan. Saya masih juga tidak faham jika KU LI masih terfikir-fikir jawatan
manakah yang paling relevan untuk beliau tandingi dalam bulan Mei nanti. Jika
Mahathir tergamak memperlakukan KU LI sedemikian rupa walaupun telah menang pilihanraya,
demi melunasi dendamnya yang belum selesai, saya juga amat berharap agar Ku Li
mengambil tindakan balas yang serupa , juga demi melangsaikan hutang dendamnya yang belum
selesai dalam penantian selama 13 tahun itu.
Saya percaya jika Ku Li
mengambil keputusan muktamad menghunuskan kembali kerisnya untuk berpencak silat di
gelanggang menentang Mamak Bendahara sekali lagi, pertempuran Mei nanti akan lebih sengit
daripada tahun 1987 dahulu. Jika di tahun 1987 Ku Li cuma mendapat sokongan Team B sahaja,
tetapi kali ini KU Li akan mendapat ‘kekuatan’ yang luar biasa daripada
penyokong-penyokong Anwar yang masih berada dalam UMNo. Malah bukan sahaja Ku Li akan
disokong oleh penyokong-penyokong Anwar hatta mereka-mereka yang selama ini bergayut di
dagu si Mahafiraun itupun akan berpaling tadah demi memastikan muka manusia yang tak sedar
diri itu tidak lagi dipandang oleh mereka. Ku Li perlu sedar bahawa inilah masanya
untuk membalas “dendam yang belum selesai” setelah dikalahkan dengan penuh penipuan 13
tahun dahulu. Jika kena gayanya, bukan sahaja Ku Li akan menebus kembali jumlah
“43 undi” mengelat dahulu, malah mampu mencapai kemenangan majoriti mutlak, dalam
keadaan dimana tiada siapa pun lagi yang masih waras mahu menyokong si Mahafiraun yang
keras kepala dan liat nyawanya itu. Apa pun, yang pasti bulan Mei depan bakal menyaksikan
dua jagoan ‘musuh lama’ yang akan beraksi kembali di gelanggang demi melunasi
‘dendam yang belum selesai’ di pihak masing-masing. Mahathir mendendami Ku Li kerana
merasa marah dan sakit hati menentangnya dahulu manakala Ku Li pula mendendami Mahathir
kerana marah dan sakit hati menipu dan mempermainkannya dari dulu, kini dan ….(selamanya
??). Walau bagaimanapun, saya mengucapkan Selamat Berjuang kepada Ku Li supaya ‘dendam
yang belum selesai’ itu akhirnya akan terkabul jua hendaknya. Tetapi awasslah sentiasa
agar kesilapan dahulu tidak berulang kembali.
SALAM REFORMASI dari
Cucu
Datuk Bahaman