HUDUD PENYELESAI MASALAH JENAYAH
Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata pelaksanaan hukum hudud yang akan dibuat di Terengganu boleh membantu menyelesaikan
beberapa masalah jenayah kerana ia akan menimbulkan rasa takut orang ramai untuk melakukan sebarang kesalahan jenayah.
"Hukum hudud boleh menakutkan penjenayah dan secara tidak langsung membuat mereka untuk tidak melakukan sebarang aktiviti jenayah lagi,"
katanya pada majlis perjumpaan kesyukuran dengan orang ramai di Stadium Negeri, malam tadi.
Beliau berkata kebanyakan orang masih tidak memahami
hukum berkenaan dan hanya memahami konsep iaitu mereka yang mencuri akan dipotong tangannya, sedangkan secara psikologinya ia mampu mengurangkan jenayah
berkenaan.
"Bagaimanapun, pelaksanaan hukum itu akan dijalankan dengan berhati-hati dan bukannya sewenang-wenangnya untuk memotong tangan
pencuri tanpa bukti-bukti yang betul," katanya.
Menurutnya hudud ialah satu daripada perundangan syariah Islam untuk menangani masalah jenayah
bagi memastikan ia tidak berlaku dalam masyarakat Islam dan untuk menjalankannya ia perlu melihat kepada banyak aspek.
Abdul Hadi berkata
bagaimanapun masyarakat perlu terlebih dahulu difahamkan dengan hukum hudud itu dan sesuatu hukuman mengikut perundangan itu melihat kepada banyak perkara
termasuk daripada segi kejujuran orang yang melaporkannya, (pelapor) tidak membuat kesalahan yang bertentangan dengan agama dan sebagainya.
"Tidak
seperti yang difahami oleh masyarakat sekarang, pencuri akan dipotong tangan tanpa menjalani sebarang proses berkaitan hukum hudud yang diajar oleh
Islam," katanya.
Pelaksanaan hukum berkenaan juga akan memberi keharmonian kepada semua penduduk di negara ini tanpa mengira mereka bangsa
Cina, India atau Melayu, katanya.
|